Dapur

Isu Sambal Tumis Pakai Banyak Minyak Hangat Diperkatakan, Ahli Kimia Jelaskan Sebabnya!

20
SHARES
sambal tumis

Umum sudah sedia maklum, dari zaman dulu kala lagi memasak sambal tumis memang memerlukan penggunaan minyak masak yang banyak untuk memastikan sambal itu dimasak sempurna. Namun, entah bagaimana isu menggunakan banyak minyak dalam hidangan ini menjadi perbualan hangat di laman sosial.

Justeru itu, bagi menyelesaikan persoalan yang berbangkit berkenaan isu ini, mari baca penerangan lanjut dari seorang Ahli Kimia, ChM Doktor Fatimah Salim di bawah.

Baca juga: Petua Bersihkan Siput Sedut Yang Berselut Dengan Serbuk ‘Magik’ Ini, Memang Menjadi!

SAMBAL TUMIS GUNA MINYAK BANYAK? INI SEBABNYA…

sambal tumis

Sedang hangat mengenai isu sambal tumis banyak minyak. Jujur, memasak sambal memang perlukan banyak minyak.

Tujuannya adalah untuk pastikan bahan sambal masak sempurna, sambal berasa sedap dan sambal tahan lebih lama. Bukan apa, kandungan air yang lebih daripada minyak, akan menyebabkan kuman mudah membiak dan sambal cepat basi.

Mudah saja sebenarnya, kepada yang kurang minat minyak yang banyak, boleh saja asingkan minyak daripada sambal setelah sambal siap masak atau semasa dimakan. Minyak bersifat kurang tumpat, ia akan terapung atas masakan, maka mudahlah untuk diasingkan.

SAMBAL TUMIS BOLEH JUGA GUNA MINYAK ZAITUN

Rumah saya sentiasa ada stok sambal dalam peti sejuk. Biasa saya pakai minyak zaitun untuk tumisan yang pakai minyak banyak. Ada dua sebab:

  • Gunakan minyak yang lebih sihat.
  • Mengelakkan minyak membeku dalam peti sejuk.

Kepada yang tidak tahu sebab minyak membeku, boleh baca di sini. Ada yang risau pasal titik asap minyak zaitun? Jom baca pasal minyak zaitun di sini.

Tapi kan, bukan kita makan sambal hari-hari. Dan jumlah yang diambil juga sedikit. Banyak lagi makanan lain yang tinggi kandungan minyak. Maka, kita harus bijak untuk menyeimbangkan pengambilan minyak dan lemak harian daripada makanan.

MENGENAI MINYAK & CARA PENGGUNAAN YANG BETUL

Baiklah, alang-alang bercakap pasal minyak, mari kita ulangkaji pasal beberapa jenis minyak dan cara penggunaan yang betul.

sambal tumis

1. MENGGORENG (DEEP FRY)

Bagi menggoreng (deep fry), memang minyak sawit (sumber tumbuhan) paling stabil kerana tinggi kandungan lemak tepu. Maka, tinggi titik asapnya. Boleh juga digunakan minyak sumber haiwan seperti minyak sapi, namun minyak daripada sumber haiwan SAHAJA mengandungi kolesterol.

Pun begitu, kajian menunjukkan kolesterol daripada makanan hanya sedikit memberikan kesan kepada badan. Hal ini kerana, badan kita mempunyai mekanisma menghasilkan kolesterol sendiri. Maka, usahlah takut sangat dengan makanan yang mengandungi kolesterol.

Boleh baca mengenai salah faham tentang kolesterol oleh Ahli Nutrisi, Puan Syaza di sini.

2. MENUMIS

Menumis dengan suhu sederhana boleh guna minyak masak yang sederhana titik asapnya seperti minyak zaitun, jagung, canola dan kelapa.

3. DRESSING

Sekiranya dimakan begitu saja aka dressing, boleh ambil minyak yang rendah titik asapnya dan rendah kandungan lemak tepu. Minyak sebagai dressing membantu badan menyerap nutrisi larut lemak seperti vitamin A, D, E, K daripada komposisi salad.

JANGAN TAKUT MENGGUNAKAN MINYAK DALAM MASAKAN KERANA…

sambal tumis

Gambar: Sambal Ikan Bilis oleh Dr. Fatimah Salim.

Usah takut mengambil dan menggunakan minyak. Hal ini kerana, selain memberikan rasa kepuasan dalam makan, ianya juga membekalkan tenaga dan membantu dalam penyerapan nutrien tidak larut air.

Komponen minyak juga membantu badan melawan keradangan, mengekalkan kesihatan otak, pemulihan sel-sel badan, melawan jangkitan kuman dan untuk pertumbuhan badan. Cuma jika dibandingkan dengan nutrisi lain, minyak mengambil masa lebih LAMA untuk dihadam.

KOLESTEROL JAHAT (LDL) DALAM BADAN

Komponen minyak iaitu lemak trans pula dikaitkan dengan peningkatan kolesterol jahat (LDL) dalam badan. Namun ingatlah, bukan komponen minyak saja yang boleh menaikkan kadar LDL dalam badan. 

Senarai di bawah ini juga termasuk punca kepada tingginya Liproprotein Ketumpatan Rendah (LDL) dalam badan.

  • Tekanan (stress).
  • Pengambilan gula yang berlebihan.
  • Minuman beralkohol.
  • Merokok.
  • Gaya hidup tidak aktif.
  • Berat berlebihan.

Maka seperti yang selalu dipesan, BERSEDERHANA lah dalam apa juga makanan. Ingat, segala yang berlebihan boleh membawa mudarat. Kenali diri dan ambil tahu keperluan badan sesuai dengan aktiviti harian, jantina dan umur.

Dah jangan gaduh-gaduh, baik pengikut yang menegur dan ditegur buang yang keruh, ambil yang jernih. Pendekatan masing-masing, sesuai dengan bidang. Namun tujuan sama iaitu berkongsi ilmu.

Ahli Kimia, ChM Dr. Fatimah Salim.

Sumber: Facebook Fatimah Salim

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×