Cantik

Wanita 50 Tahun Kongsi 17 Petua Penjagaan Diri, Patutlah ‘Maintain’ Awet Muda & Sihat!

3
SHARES
petua penjagaan diri

Meniti usia 50an bukan mudah untuk menjaga kesihatan dan kecantikan diri. Namun, ia bukanlah perkara mustahil untuk dilakukan sepertimana perkongsian petua penjagaan diri dari seorang wanita yang sudah menjangkau umur tersebut.

Walaupun sudah mencecah 52 tahun dan memiliki 5 cahaya mata, Puan Dzuriasikim Dzulkefli masih kelihatan seperti anak muda oleh kerana rutin dirinya yang mengamalkan gaya hidup sihat. Justeru itu, mari teruskan pembacaan anda untuk mengetahui kunci penjagaan dirinya di bawah!

Baca juga: Ini 3 Cara Buat Mask Putih Telur Untuk Atasi Masalah Kulit Wajah, Barulah Meletops!

PETUA PENJAGAAN DIRI, AWET MUDA DAN BERPANTANG

petua penjagaan diri

Gambar: Puan Dzuriasikim Dzulkefli yang kini berusia 53 tahun.

Saya dihujani dengan permintaan di messenger meminta saya menulis tentang penjagaan diri serta petua yang saya amalkan. Anda mungkin mahu anggap ini sebagai petua awet muda memandangkan usia saya pada tahun ini mencecah 52 tahun (2022).

Apa yang bakal saya kongsikan adalah amalan rutin saya, yang menjadi sebahagian dari hidup saya sejak remaja atau di zaman persekolahan kerana telah diajar oleh arwah ibu dan nenek. Ianya juga adalah amalan dalam keluarga sejak dulu lagi.

Oleh kerana sudah disemai dari kecil, segala amalan ini bukanlah saya lakukan kerana terpaksa atau mahu dipandang cantik dan muda. Ianya telah menjadi suatu kebiasaan bagi keluarga kami dan saya ajarkan pula kepada anak-anak saya.

Alhamdulillah, walaupun sudah hampir 53 tahun usia saya, dengan izin Allah, saya tidak ada masalah kedut di wajah yang ketara termasuk di bahagian mata. Tidak ada sebarang masalah sakit-sakit sendi, tapak kaki, lutut, mahupun badan.

Tiada sakit-sakit kepala, tidak ada masalah angin dalam badan. Masih boleh membaca dan menulis tanpa menggunakan cermin mata, masih berambut lebat, tiada masalah kulit menggeleber.

Apa sahaja ilmu yang dikongsi, jika anda rasa dapat membawa kepada kebaikan, bolehlah diambil dan diamalkan juga nanti.

1. JARANG DAN TIDAK SUKA MINUM AIR MANIS

Antara keburukan minuman manis:

  • Tambah berat badan.
  • Tak puas minum atau susah rasa kenyang.
  • Risiko diabetes.
  • Melemahkan otot.

Lebihkan air masak atau air mineral ya.

2. SUKA MAKAN BUAH TERUTAMA KAYA VITAMIN C

Malam-malam kalau lapar, makan je buah. Dan antara buah yang saya selalu amalkan adalah Lemon!

Yes, lemon sangat bagus untuk kekalkan keremajaan dan awet muda. Saya amalkan minum air lemon suam bersama madu setiap pagi dan malam!

3. SUKA BERSENAM DAN BERSUKAN

Saya memang suka bersenam dan bersukan sejak dari zaman sekolah lagi. Anda pasti tahu tentang ini. Anda boleh lakukan banyak senaman yang nampak sungguh ringkas tetapi sebenarnya sangat mencabar. Cubalah.

Senaman boleh bantu detox, menjadikan kulit kita awet muda, anjal dan sihat. Senaman juga boleh bantu minda kita untuk berfikiran lebih positif dan beri banyak faedah lain.

4. BIASAKAN MEMBACA SELAWAT KETIKA MEMBASUH MUKA

Ini diajar oleh arwah bapa saudara saya sejak saya berusia 12 tahun lagi. Sejak itu saya amalkan selalu. Setiap kali mandi dan cuci muka, saya akan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Saya amalkan ini hingga sekarang.

Kata arwah bapa saudara, selain mendapat pahala, amalan ini dapat menaikkan seri jernih pada wajah. Wallahualam.

5. SUKA IKUT PETUA ORANG-ORANG TUA

petua penjagaan diri

  • Tak boleh berkemban waktu nak makan.
  • Amalkan pakai kain batik di rumah (yang sebenarnya kena selalu berpakaian yang ada “ikat” di pinggang, supaya kita tak makan banyak).
  • Kurang minum ais.
  • Tak makan bersulam air (makan selang seli dengan air).
  • Mandi sebelum makan, bukan selepas makan.
  • Banyak lagi (saya pernah tulis tentang pesan orang tua).

6. SENTIASA CERIA DAN POSITIF TIDAK SUKA NEGATIF

Setiap masalah cuba atasi dengan cara positif. Selalu bersangka baik. Buat baik dengan semua orang. Pesan arwah ibu, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Macam itu lah. Ringkas dan mudah tetapi sangat bermakna bila orang tua berpesan.

TIPS MUDAH UNTUK KEKAL CERIA DAN BAHAGIA DALAM HIDUP:

  • NEVER HATE – Usah benci apa dan sesiapa pun.
  • DON’T WORRY – Jangan terlalu bimbangkan masa depan dan masa silam. Jangan bimbang dengan cakap orang. Jangan bimbang benda yang tak perlu.
  • LIVE SIMPLE – Bersederhana selalu.
  • EXPECT A LITTLE – Usah terlalu berharap dengan orang, dengan apa yang kita usahakan, dengan perkara yang kita belum pasti. Tenang selalu.
  • GIVE A LOT – Amalkan banyak memberi dari menerima ya. Beri bantuan, sedekah, senyum, kata-kata baik. Beri bahagia. Apa sahaja yang baik.
  • GIVE A SMILE – Selalu senyum dengan semua orang. Termasuk di waktu kita sedang bersedih.
  • “KEEP IN TOUCH” with Allah. Yang ini semua boleh faham kan?

Saya juga adalah seorang yang sangat susah untuk marah. Jika tidak gemarkan sesuatu, saya lebih suka berdiam dari bertengkar.

7. SUKA JAGA PERSONALITI

Mungkin sudah terikut dengan arwah ibu dan cara dibesarkan dalam keluarga kami, kalau boleh, saya sentiasa nak nampak kemas dan cantik. Setidak-tidaknya untuk diri saya sendiri.

Orang yang suka menjaga keterampilan. Duduk dalam rumah pun kadang bergincu. Yang ini isteri-isteri harus praktikkan tau. Dalam rumah pun haruslah kelihatan berseri, kemas, bersih dan menarik!

Usah bersiap hanya untuk keluar rumah sahaja. Kata Ustaz Azhar Idrus… “Ada isteri yang bila hendak ke pasar malam, berjam dia bersiap. Tapi kalau di rumah kadang sisik ikan pun ada melekat di muka”. Lucu tetapi dalam maknanya.

8. DENGAN IZIN ALLAH SWT, SAYA JARANG SANGAT SELSEMA, BATUK ATAU DEMAM

Mungkin kerana penjagaan makanan, pengambilan air yang cukup, juga kerana sering bersenam, saya jarang sakit. Kalau kerja, saya paling jarang ambil cuti sakit. Alhamdulillah.

Dengan kata lain, kalau kita selalu jaga makan, kesihatan pun terjaga. Makanan adalah “ubat” kepada kita. Jika tidak jaga makan, suatu hari nanti kita mungkin perlu makan ubat untuk sihat.

9. SUKA MAKAN ULAM-ULAMAN

Contohnya: Ulam raja, pucuk paku, ibu kunyit, pudina, daun selom (daun dalam laksa tu), pegaga dan macam-macam termasuk yang pahit, payau, berlendir. Segala ulam saya memang suka.

Sebab ini sudah jadi kebiasaan dalam keluarga saya sejak saya kecil. Jika susah nak dapatkan ulam, bolehlah digantikan dengan salad.

Saya juga suka makan halia muda dan kunyit muda sebagai ulam. Jujurnya saya makan ulam bukan kerana untuk awet muda, tapi kerana sudah ketagih dan terbiasa!

10. SUKAKAN REHAT DAN KETENANGAN

Saya suka cari masa untuk diri. Rehat dengan cukup. Buat aktiviti yang saya gemari contohnya bercucuk tanam, menulis, membaca atau apa sahaja yang menceriakan hati.

11. SENTIASA CUBA JAGA SOLAT TAHAJJUD

Kalau boleh tak mahu dan sangat tak suka nak kongsi ini. Bimbang ada yang fikir saya riak pula. Tapi saya nak ajak semua supaya amalkan yang satu ini. Ia adalah punca bahagia bagi banyak perkara.

Cubalah untuk sentiasa jaga Tahajjud. Kunci jam, bangun malam. Memang susah, tapi lama-lama dah terbiasa dan susah nak ditinggalkan. Dan kelebihan Tahajjud ni sangatlah besar. Ramai orang tahu tapi tak ramai yang buat. Jom kita cuba bangun tahajjud mulai hari ini.

Tahajjud adalah “ubat” bagi banyak perkara. Boleh buat kita tenang. Dan orang-orang yang tenang, adalah orang-orang yang menang.

12. MINUM AIR MASAK DENGAN SECUKUPNYA

Jangan malas atau culas ye. Cubalah minum air dengan secukupnya selama 2 minggu dah lihat perbezaan pada kulit wajah anda. Minum banyak air kosong untuk memastikan organ-organ badan berfungsi dengan baik.

Jika tubuh badan kekurangan air, ia juga boleh menyebabkan masalah kulit kering dan kusam. Masalah kulit ini membuatkan seseorang itu kelihatan lebih tua daripada usia.

13. SUKA MAKAN IKAN

Ini pun kerana sudah terbiasa dari kecil. Lauk kegemaran saya ialah ikan. Semua orang tahu ikan kaya dengan kandungan lemak omega-3 yang tinggi (contoh, salmon dan ikan sardin) baik untuk hati dan sistem saraf. Lemak Omega-3 juga akan memberi anda rambut dan kulit yang sihat.

14. MAKAN PISANG

Mungkin kebetulan, tapi buah pisang adalah salah satu “snek” kegemaran saya yang menyihatkan. Pisang kaya dengan kalsium yang khasiatnya membantu mengembalikan keseimbangan elektrolit serta menyerap lebihan air yang ada dalam tubuh.

15. TOMATO

Ini dah jadi sebahagian dari ulam kegemaran. Bila dah besar baru saya tahu dalam buah tomato terdapat pigmen merah (likopen) yang khasiatnya boleh membantu untuk memperlahankan proses penuaan.

16. SKINCARE

Gunakan skincare. Skincare adalah sama seperti baja untuk pokok. Pasti ada beza pokok yang berbaja dan tidak bukan? Wanita perlu pakai sekurang-kurangnya serum dan sunscreen setiap hari!

17. BERPANTANG PENUH SELEPAS BERSALIN

Saya tulis huruf besar ini sebab ramai wanita moden tak suka berpantang. Ambil ringan. Serta mungkin juga kerana tidak seiring dengan banyak pendapat moden.

Tapi saya kongsikan di sini sebahagian dari amalan berpantang saya dari kelahiran anak pertama hingga ke 5 ya (penulis akan sambung di artikel seterusnya).

Sebenarnya, cantik adalah bersifat luaran dan sangat subjektif. Segala petua ini adalah lebih kepada penjagaan kesihatan diri. Kesihatan adalah sangat berharga dan tak dapat dijual beli.

Masa pula tak akan dapat kita putar kembali nanti. Jadi wanita, jagalah kesihatan diri luar dan dalaman.

Sumber: Facebook Dzuriasikim Dzulkefli

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×