Sebenarnya bukan mudah seseorang itu untuk bangun dari tidur sebelum masuknya waktu solat Subuh. Namun, sekiranya anda sudah terjaga, terdapat beberapa amalan sebelum solat Subuh yang boleh dilakukan bagi mengisi masa yang terluang itu.
Melalui perkongsian dari Ustaz Khairul Anuar Basri, 5 amalan ini amatlah bagus dilakukan sementara menunggu masuknya waktu solat Subuh. Malah, terdapat juga amalan yang sesuai dikerjakan oleh wanita yang sedang haid. Jom lihat!
Baca juga: Doa Pendek Yang Mustajab, Merangkumi 10 Perkara Penting. Subhanallah!
INI 5 AMALAN YANG BOLEH DILAKUKAN SEBELUM SOLAT SUBUH
Mungkin ada sesetengah di antara kita yang tercari-cari, apakah amalan yang baik dilakukan kalau kita bangun lebih awal daripada masuknya waktu Subuh? Berikut adalah 5 amalan yang sangat bagus dilakukan sebagai mengisi waktu sementara menunggu azan Subuh dilaungkan.
AMALAN SEBELUM SOLAT SUBUH YANG BOLEH ANDA LAKUKAN
1. SOLAT TAHAJJUD
Ini amalan yang paling utama dilakukan kerana solat tahajjud perlu kepada waktu khusus iaitu pada waktu 1/3 malam yang terakhir selepas bangun dari tidur.
Firman Allah SWT:
وَمِنَ الَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهٖ نَافِلَةً لَّكَۖ عَسٰٓى اَنْ يَّبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا
“Dan pada sebahagian daripada waktu malam, lakukanlah Solat Tahajjud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu akan mengangkatmu darjatmu ke tempat yang terpuji”. [Surah Al-Isra’ ayat 79]
2. BANYAKKAN BERDOA
Ini juga amalan yang sangat tinggi nilainya. Jika solat memerlukan diri suci dari hadas kecil dan besar, doa tidak memerlukan itu semua. Orang perempuan yang sedang haid pun boleh bangun berdoa di waktu 1/3 malam yang terakhir.
Sabda Rasulullah SAW:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
“Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman:
“Barangsiapa yang berdoa kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan baginya. Barangsiapa yang meminta kepadaKu nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripadaKu, nescaya Aku akan mengampuninya.” [Riwayat Al-Bukhari (1145)]
3. MEMBACA AL-QURAN
Ini ibadah yang sangat baik. Membaca Al-Quran akan memberi ketenangan di dunia, teman di dalam kubur dan syafaat di hari akhirat.
Sabda Rasulullah SAW:
يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَالرَّجُلِ الشَّاحِبِ , فَيَقُولُ : أَنَا الَّذِي أَسْهَرْتُ لَيْلَكَ ، وَأَظْمَأْتُ نَهَارَكَ
“Al-Quran datang pada hari kiamat seperti seorang lelaki yang kekuningan tubuhnya lalu dia berkata:
“Akulah yang menyebabkan engkau bangun malam dan menyebabkan engkau dahaga di siang harimu.” [Riwayat Imam Ahmad (22976), Ibnu Majah (3781) dan Al-Tabarani (5764)]
4. BERZIKIR KEPADA ALLAH SWT
Zikir itu maksudnya mengingati Allah. Mengingati Allah itu akan menyebabkan hati menjadi tenang. Boleh pilih zikir-zikir yang warid daripada Rasulullah SAW untuk diamalkan sebagai mengisi waktu di waktu pagi.
Firman Allah SWT:
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً
“Dan ingatlah akan Tuhan kamu dalam diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut.” [Surah Al-A’raaf ayat 205]
5. BANYAKKAN ISTIGHFAR
Istighfar ialah memohon kepada Allah untuk mengampunkan segala dosa-dosa kita. Waktu 1/3 malam yang terakhir juga dikenali sebagai waktu sahur. Banyakkan istighfar di waktu sahur kerana khasiatnya sangat banyak.
Nabi SAW bersabda :
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
“Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”.[Riwayat Abu Daud (1518)]
Begitulah sedikit sebanyak amalan yang baik dilakukan bila kita bangun awal sebelum masuknya waktu Subuh. Semoga bermanfaat.
Sumber: Facebook Khairul Anuar Basri