Penyanyi Najwa Latif akhirnya bersuara selepas menjadi sasaran komen berunsur body shaming susulan persembahannya pada acara Keretapi Sarong 2026.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, Najwa mendedahkan bahawa dirinya sudah berdepan dengan kecaman sejak berusia 16 tahun.
NAJWA LATIF RESPON ISU BADAN BERISI SELEPAS BERSALIN

Bagaimanapun, dia berkata pengalaman tersebut membuatkan dirinya tidak lagi mengharapkan orang lain untuk mempertahankannya setiap kali berdepan pandangan negatif.
Menurut Najwa, dia memahami bahawa setiap orang mempunyai hak untuk memberikan pendapat, walaupun pandangan tersebut tidak semestinya dapat diterimanya.
“Bagi seseorang yang telah mengalami kebencian sejak berusia 16 tahun, saya tidak pernah menjangka ada sesiapa yang akan mempertahankan saya. Saya sentiasa percaya bahawa setiap orang berhak mempunyai pendapat masing-masing.
“Saya mungkin tidak dapat menerimanya tetapi saya akan menghormatinya walaupun saya tidak diberikan penghormatan yang sama,” luahnya.
Dalam perkongsian sama, Najwa turut menyentuh mengenai anak perempuannya yang dikaitkan dalam komen yang diterimanya.
Dia menegaskan bahawa anaknya sama sekali bukan beban, sebaliknya merupakan satu anugerah yang sangat bermakna dalam kehidupannya.
“Saya baca semuanya. Ketahuilah bahawa anak perempuan saya tidak pernah menjadi beban. Dia adalah satu anugerah yang indah,” katanya.
Najwa yang jarang berkongsi perkara berkaitan perasaannya secara terbuka di media sosial turut mengakui membaca segala mesej dan komen yang diberikan kepadanya.
Sokongan peminat amat bermakna

Kata penyanyi itu, sokongan yang diterima daripada orang ramai memberikan makna besar buat dirinya, terutama selepas berdepan dengan kecaman yang mengingatkannya kepada pengalaman ketika usia remaja.
“Saya jarang bercakap tentang apa yang saya rasa di media sosial tetapi saya sangat tersentuh dengan kasih sayang dan kebaikan anda semua.
“Terima kasih kerana memahami, kerana menyokong saya walaupun ketika saya tidak melihatnya, dan kerana memilih untuk berbuat baik kepada saya
“Saya tidak tahu apa yang saya lakukan sehingga layak menerima semua ini, tetapi saya berharap kebaikan anda kembali kepada anda. InsyaAllah amin,” tulisnya.
Mengakhiri perkongsian tersebut, Najwa menyifatkan sokongan orang ramai sebagai sesuatu yang membantu memulihkan sebahagian daripada dirinya yang pernah terluka akibat pengalaman dikecam sejak usia 16 tahun.
Baca juga: Tewaskan 71 SBP Lain! Sekolah Sultan Alam Shah Dinobatkan ‘SBP Terbaik Keseluruhan 2025’
Sumber: Instagram Najwa Latif
