Euforia Bola 2026
Inspirasi

Pernah Dipandang Rendah, Kini Wanita Muslim Berhijab Dari Malaysia Ini Bergelar Peguam Di Mahkamah Tinggi New Zealand!

peguam bela

Perjalanan panjang dalam pendidikan akhirnya membawa Nur Zahirah Khairudin, 25, ke satu detik yang cukup membanggakan apabila beliau kini diterima sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara di Mahkamah Tinggi New Zealand (Barrister and Solicitor of the High Court of New Zealand).

Baca juga: Raih Top 5 Pemanah Berkuda Wanita Di Sukan Nomad Dunia, Adawiyyatunnisa Tampil Anggun Beraksi Dalam Busana Songket

NUR ZAHIRAH KHAIRUDIN CIPTA KEJAYAAN JADI PEGUAM BELA & PEGUAM CARA DI MAHKAMAH TINGGI NEW ZEALAND

peguam bela

Gambar Akram Zulkifli: Nur Zahirah bersama ibu dan bapanya.

Kisah wanita kelahiran Malaysia itu dikongsikan oleh Akram Zulkifli menerusi Threads. Akram yang merupakan kenalan rapat keluarga Zahirah di New Zealand berkata, pencapaian tersebut sememangnya wajar diraikan.

Bercerita lanjut kepada penulis SirapLimau, Akram menyatakan Zahirah membesar di New Zealand sebelum keluarganya kembali ke Malaysia selama kira-kira lapan tahun.

Sepanjang berada di Malaysia, beliau menamatkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan Tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia, sebelum kembali ke New Zealand pada Disember 2018.

Setahun kemudian, Zahirah berjaya menamatkan National Certificate of Educational Achievement (NCEA) Level 3 di Hagley College dengan Excellence Award dalam English Language & Literature. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian di University of Canterbury dan memilih laluan yang cukup mencabar dengan mengambil double degree.

Beliau mengikuti Bachelor of Laws serta Bachelor of Arts, dengan Japanese Language & Culture sebagai major dan Linguistics sebagai minor. Dalam masa sama, Zahirah turut melibatkan diri dalam komuniti pelajar Malaysia di universiti.

Beliau pernah memegang jawatan Vice President Canterbury Malaysian Students Association (CMSA) bagi sesi 2022 hingga 2023.

Tampil sebagai wanita Malaysia Muslim berhijab dalam profesion guaman di New Zealand

peguam bela

Gambar Akram Zulkifli.

Selepas berjaya menamatkan kedua-dua ijazah pada penghujung 2025, Zahirah meneruskan pengajian dengan mengikuti Professional Legal Studies Course (PROFS). Kursus tersebut berjaya dilengkapkan pada Mei 2026 sebelum beliau melangkah ke peringkat seterusnya dalam kerjaya guaman.

Kemuncaknya hadir pada 11 September apabila Zahirah diterima sebagai Barrister and Solicitor of the High Court of New Zealand selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang Arif Hakim, Paulson.

Lebih membanggakan, Akram turut menyifatkan Zahirah sebagai satu-satunya wanita Malaysia dan Muslim berhijab yang berada dalam kedudukan tersebut di New Zealand.

Di sebalik pencapaian akademik dan kerjayanya hari ini, Nur Zahirah membesar dalam keluarga yang sederhana. Ayahnya bekerja sebagai posmen di New Zealand, manakala ibunya menjahit secara sambilan untuk membantu keluarga.

Tidak henti di situ, menurut Akram lagi, Zahirah pernah melalui situasi apabila dirinya dipandang rendah hanya kerana penampilan, termasuk apabila ada dalam kalangan komuniti di sana yang seolah-olah menilai dirinya berdasarkan rupa paras dan ‘beauty privilege’.

Namun, pengalaman tersebut tidak menjadi penghalang untuk beliau terus membina masa depan melalui pendidikan dan usaha sendiri. Sebaliknya, Zahirah membuktikan bahawa penampilan bukan ukuran kepada kemampuan seseorang, apatah lagi dalam menentukan sejauh mana seseorang itu mampu melangkah dalam bidang yang diceburinya.

Baca juga: [FOTO] Hari Pertama Masuk Universiti, Puteri Mahkota Leonor Santai Pakai Tshirt & Ayahanda Pandu Kereta Sendiri 38 Tahun Lalu

Bagi keluarga Zahirah pula, kisah ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda supaya melihat pendidikan sebagai tunjang dalam membina masa depan.

Mereka tidak mahu pencapaian Zahirah sekadar dilihat sebagai kejayaan seorang individu, sebaliknya menjadi contoh bahawa usaha menuntut ilmu mampu membuka lebih banyak peluang.

Perjalanan Zahirah daripada NCEA Level 3, menyambung double degree, aktif dalam komuniti pelajar Malaysia, melengkapkan latihan profesional sehingga diterima di Mahkamah Tinggi New Zealand menunjukkan setiap pencapaian itu dibina secara berperingkat.

Lebih daripada sekadar gelaran di hadapan namanya, kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa seseorang tidak perlu menunggu keadaan sempurna untuk menetapkan impian yang besar.

Pada usia 25 tahun, Zahirah sudah melangkah ke satu tahap penting dalam kerjayanya dan membawa bersamanya satu mesej yang cukup jelas buat anak muda iaitu pendidikan boleh menjadi jalan untuk membina masa depan yang mereka impikan.

AMARAN: ARTIKEL INI MERUPAKAN TEMU RAMAH EKSKLUSIF SIRAP LIMAU DENGAN PIHAK TERBABIT. JADI, ANDA TIDAK DIBENARKAN MENYIAR ARTIKEL INI DI LAMAN SESAWANG YANG LAIN TANPA PEMBERIAN KREDIT YANG TEPAT.

Sumber: Threads @akramzul

FT Image: Akram Zulkifli

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×