Euforia Bola 2026
Inspirasi

Raih Top 5 Pemanah Berkuda Wanita Di Sukan Nomad Dunia, Adawiyyatunnisa Tampil Anggun Beraksi Dalam Busana Songket

pemanah berkuda

Bukan mudah untuk membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa, lebih-lebih lagi apabila terpaksa menukar kuda pada saat akhir. Namun, cabaran itu tidak menghalang pemanah berkuda negara, Adawiyyatunnisa Azham Affif, mencipta keputusan membanggakan di Sukan Nomad Dunia Keenam 2026 di Kyrgyzstan.

Atlet berusia 20 tahun itu menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan kategori wanita dalam penampilan pertamanya di temasya berkenaan.

Baca juga: [FOTO] Hari Pertama Masuk Universiti, Puteri Mahkota Leonor Santai Pakai Tshirt & Ayahanda Pandu Kereta Sendiri 38 Tahun Lalu

PEMANAH BERKUDA ADAWIYYATUNNISA RAIH TEMPAT KELIMA

pemanah berkuda

Foto Israr Khalid (JEQMA): Adawiyyatunnisa apabila muncul atlet Malaysia kedua terbaik, selepas Haddif Hamidi, dan menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan kategori wanita pada Sukan Nomad Dunia 2026.

Sertai 2 acara, masuk kelompok lima terbaik

Lebih menarik, Adawiyyatunnisa bukan sahaja berdepan atlet dari pelbagai negara, malah perlu menyesuaikan diri dengan kuda gantian selepas pilihan pertamanya mengalami kecederaan.

Mewakili Akademi JEQMA (Jawi Equestrian Martial Arts), Adawiyyatunnisa menyertai dua acara pemanahan berkuda di Kyrchyn Gorge, Issyk-Kul pada 3 dan 5 September lalu.

Dalam acara gaya Kyrgyz, dia mencatat 21.25 mata untuk berada di tempat keempat.

Kedudukannya ketika itu hanya dipisahkan 0.06 mata daripada wakil Rusia, Yulia Lozhnikova, yang meraih pingat gangsa dengan 21.31 mata.

Anna Sókólska dari Poland pula memenangi pingat perak dengan 28.10 mata, manakala Gunbileg Ganbaatar dari Mongolia muncul juara dengan 30.09 mata.

Namun, cabaran lebih besar menanti dalam acara gaya Magyar atau Hungarian apabila kuda pilihan pertama Adawiyyatunnisa mengalami kecederaan.

Dia kemudiannya terpaksa menggunakan kuda gantian dan menamatkan saingan di tempat ke-13. Seorang lagi wakil Malaysia, Qaseh Nur Humaira Azmi pula berada di kedudukan ke-14.

Gabungan keputusan kedua-dua acara itu akhirnya meletakkan Adawiyyatunnisa di tempat kelima keseluruhan wanita.

Baca juga: Dua Beradik Cilik Juara Memanah Berkuda Dengan Dana Sendiri Di Perancis, Kalahkan 15 Negara!

“Masih ada banyak yang perlu saya perbaiki”

pemanah berkuda

Foto Israr Khalid (JEQMA): Pemanah berkuda negara, Adawiyyatunnisa Azham Affif ketika beraksi pada Sukan Nomad Dunia Keenam 2026 di Kyrchyn Gorge, Issyk-Kul, Kyrgyzstan.

Walaupun berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik, Adawiyyatunnisa tidak menganggap pencapaian tersebut sebagai noktah.

Sebaliknya, pelajar tahun pertama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu melihat pengalaman di Kyrgyzstan sebagai peluang untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki prestasinya.

“Walaupun mendapat kedudukan lima teratas, masih ada banyak yang perlu saya perbaiki dan tambah baik terutamanya dari segi teknik, konsentrasi dan konsistensi.

“Ini satu motivasi untuk saya teruskan bekerja keras untuk mempertajamkan kemampuan seterusnya mencapai potensi terbaik saya dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Dalam saingan yang menghimpunkan 123 peserta itu, Adawiyyatunnisa turut muncul sebagai wakil Malaysia kedua terbaik dalam kategori lelaki dan wanita selepas Haddif Hamidi.

Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia di Kyrgyzstan kali ini merupakan penampilan ketiga negara dalam Sukan Nomad Dunia selepas edisi 2018 di Iznik, Türkiye dan 2022 di Astana, Kazakhstan.

Sukan Nomad Dunia Keenam berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September dengan penyertaan atlet dari 51 negara dalam pelbagai sukan tradisional dan warisan.

Bagi Adawiyyatunnisa, pentas antarabangsa pertamanya itu bukan sekadar tentang kedudukan kelima. Ia menjadi pengalaman penting untuk seorang atlet muda mengasah teknik, membina keyakinan dan membawa nama Malaysia lebih jauh dalam sukan pemanahan berkuda.

Baca juga: Umur Baru 11 Tahun, Nur Aamily Saffiya ‘Sapu’ Emas Pidato Umum Di UK & 3 Terbaik Keseluruhan English!

Sumber: AWANI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×