Euforia Bola 2026
Famili

“Ingatkan Bunyi Beg Jatuh”- Peniaga Terkejut Budak 3 Tahun Maut Terjatuh Dari Jambatan Victoria

jambatan victoria

Percutian sebuah keluarga ke Kuala Kangsar, Perak bertukar tragedi selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter ketika berada di Jambatan Victoria.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang semalam ketika mangsa dikatakan sedang berjalan bersama bapanya di atas jambatan bersejarah berkenaan.

Baca juga: “Armaan Happy Lah Mummy Hari Ini”- Hantaran Merdeka Terakhir Ibu Sebelum Sekeluarga Maut Di LPT1 Undang Sebak

BUDAK 3 TAHUN MAUT TERJATUH JAMBATAN VICTORIA, KUALA KANGSAR

jambatan victoria

Gambar: Threads @redzuan.manap

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Charan Ai Wan, berkata mangsa ketika kejadian sedang memegang tangan bapanya sebelum terjatuh ke bahagian bawah jambatan.

“Ketika kejadian mangsa bersama dengan bapanya berjalan di atas jambatan itu sambil memegang tangan dan kemudiannya jatuh pada ketinggian lima meter di satu lubang pada jambatan berkenaan.

“Sejurus selepas terjatuh di atas jalan berturap di bawah jambatan, mangsa yang ketika itu masih hidup dikejarkan ke wad kecemasan hospital namun disahkan meninggal dunia di hospital jam 7.40 malam,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Mangsa difahamkan berasal dari Kluang, Johor dan datang bercuti bersama keluarga ke Jambatan Victoria sempena cuti umum Hari Kebangsaan.

Baca juga: Kaki Kanak-Kanak 3 Tahun Digilis Tayar Kenderaan Bawa Bot Bomba Hari Kebangsaan, Dilaporkan Stabil!

Peniaga terkejut dengar bunyi kuat

jambatan victoria

Gambar Muhammad Zulsyamini Sufian Suri (NSTP): Keadaan Jambatan Victoria Kuala Kangsar di Enggor, yang ditutup susulan kes kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh daripada ketinggian lima meter di jambatan berkenaan semalam.

Dalam pada itu, kejadian berkenaan turut mengejutkan peniaga yang berniaga berhampiran jambatan tersebut.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Nyah berkata suami dan menantunya yang ketika itu menjaga gerai pada awalnya menyangka bunyi kuat yang kedengaran datang daripada beg yang terjatuh.

Bagaimanapun, mereka terkejut selepas menyedari bunyi tersebut sebenarnya berpunca daripada seorang kanak-kanak yang terjatuh dari tempat tinggi.

“Memandangkan semalam adalah hari cuti umum sempena Sambutan Hari Kebangsaan, jadi memang ramai pelancong termasuk yang membawa anak kecil ke Jambatan Victoria ini untuk merakam gambar kenangan,” katanya.

Jambatan berkenaan sememangnya menjadi salah satu lokasi yang dikunjungi orang ramai kerana nilai sejarah dan reka bentuknya yang ikonik.

Namun, tinjauan Berita Harian di lokasi hari ini mendapati Jambatan Victoria telah ditutup kepada pelancong atas faktor keselamatan. Kawasan kejadian turut dipasang pita larangan melintas oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan pihak polis.

Sumber: Berita Harian / Threads @redzuan.manap

FT Image: Muhammad Zulsyamini Sufian Suri (NSTP)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×