Nur

Bekas Suami Lafaz Rujuk, Tapi Isteri Enggan Kembali… Boleh Ke Wanita Tolak? Ini Penjelasan

lafaz rujuk

Tular baru-baru ini dengan sebuah drama yang mencetuskan persoalan tentang hak seorang isteri selepas perceraian. Antaranya, bolehkah bekas suami kembali bersama hanya dengan melafazkan lafaz rujuk walaupun isterinya tidak bersetuju?

Persoalan itu mendapat penjelasan daripada mantan Ketua Hakim Syarie, Dr. Naim Mokhtar menerusi satu hantaran video di Facebook selepas menonton dua sedutan babak drama berkenaan.

Baca juga: Boleh Berjimak Walaupun Tiada Air Untuk Mandi Wajib? Tapi..Sebelum Bersetubuh Ada Syaratnya!

ISTERI TAK SETUJU LAFAZ RUJUK BEKAS SUAMI

lafaz rujuk

Haris ugut cerai, kemudian mahu rujuk semula

Dalam klip pertama, watak Haris dilihat mengugut untuk menceraikan Zara sekiranya wanita itu meneruskan langkahnya.

“Zara, selangkah lagi awak ambil… saya akan ceraikan awak talak 1,” ujar Haris.

Namun, dalam sedutan kedua, Haris melafazkan hasrat untuk menerima Zara kembali sebagai isterinya.

“Nur Zara Binti Amin, aku terima kau balik sebagai isteri aku,” katanya.

Situasi itu menimbulkan persoalan, bagaimana pula jika Zara sebenarnya tidak mahu kembali kepada Haris?

Apa hak isteri jika tidak bersetuju dengan lafaz rujuk?

lafaz rujuk

Gambar hiasan.

Menurut Dr. Naim, undang-undang keluarga Islam di Malaysia menyediakan mekanisme untuk melindungi hak isteri yang tidak bersetuju dengan hasrat bekas suami.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami:

1. Rujuk hanya untuk talak raj’i

Rujuk boleh dilakukan bagi perceraian talak satu atau dua ketika isteri masih dalam tempoh iddah. Ia tidak memerlukan akad nikah baharu.

2. Isteri boleh menyatakan bantahan

Jika isteri mempunyai sebab yang dibenarkan hukum syarak dan tidak mahu kembali hidup bersama, perkara itu boleh dibawa ke Mahkamah Syariah.

3. Mahkamah akan meneliti alasan isteri

Sekiranya suami mendakwa lafaz rujuknya sah, Mahkamah Syariah boleh meneliti status rujuk serta alasan bantahan isteri berdasarkan keterangan kedua-dua pihak.

4. Jawatankuasa pendamai boleh dilantik

Berdasarkan peruntukan undang-undang keluarga Islam di beberapa negeri, jika bantahan isteri mempunyai alasan yang dibenarkan syarak, mahkamah tidak boleh memerintahkannya kembali hidup bersama suami dan boleh melantik jawatankuasa pendamai.

Perlu difahami, bantahan isteri tidak semestinya membatalkan kesahan lafaz rujuk dari sudut hukum syarak. Kedua-dua perkara ini mempunyai kedudukan yang berbeza.

Bagaimana proses pendaftaran rujuk di Malaysia?

Bagi pasangan yang ingin mendaftarkan rujuk, proses umumnya melibatkan beberapa langkah:

  1. Memohon pendaftaran rujuk di Pejabat Agama Islam negeri berkaitan.
  2. Mendapatkan pengesahan Mahkamah Syariah mengenai lafaz rujuk dan tempoh iddah.
  3. Mendaftarkan rujuk selepas pengesahan mahkamah.
  4. Mendapatkan sijil rujuk daripada Pejabat Agama.

Prosedur sebenar boleh berbeza mengikut negeri.

Jelaslah, isu rujuk bukan sekadar suami melafazkan hasrat untuk kembali bersama. Kedudukan lafaz tersebut, alasan bantahan isteri dan proses undang-undang perlu diberikan perhatian supaya hak kedua-dua pihak terpelihara.

Sumber: Facebook Dr. Naim Mokhtar / MyGov Malaysia / Jabatan Mufti Negeri Selangor (1) (2)

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×