Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menjadi antara pilihan orang ramai untuk perjalanan jarak jauh, khususnya bagi mereka yang ingin ke destinasi di utara dan selatan Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, terdapat beberapa perubahan penting melibatkan jadual ETS yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.
Menerusi pengumuman Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), perjalanan terus menggunakan tren yang sama bagi beberapa laluan antara sektor utara dan selatan tidak lagi ditawarkan. Sebaliknya, penumpang perlu membuat pertukaran tren di KL Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Baca juga: Sasaran Mula Operasi Disember Ini, Rakyat Dapat Diskaun 30% Tiket Kelas Ekonomi ECRL Selama Sebulan!
KTM BERHAD UMUM PERUBAHAN JADUAL ETS MULAI 1 JANUARI 2027
Tiada lagi perjalanan terus JB Sentral ke Butterworth dan Padang Besar
Perubahan ini melibatkan perjalanan dari JB Sentral ke Butterworth dan Padang Besar serta laluan sebaliknya. Selain itu, perjalanan terus antara Butterworth dan Segamat, termasuk arah bertentangan, turut terlibat dalam penyusunan semula berkenaan.
Susulan perubahan itu, penumpang perlu turun dan menaiki tren lain di KL Sentral bagi meneruskan perjalanan ke destinasi pilihan.
Menurut KTMB, pembelian tiket bagi perjalanan jarak jauh yang memerlukan pertukaran tren di KL Sentral ketika ini perlu dibuat menerusi dua transaksi berasingan mengikut sektor perjalanan.
Bagaimanapun, pihak KTMB sedang menambah baik sistem tempahan bagi membolehkan pembelian tiket dibuat secara bersepadu melalui satu transaksi sahaja mulai Disember 2026.
Penumpang juga dinasihatkan menyemak jadual kedua-dua tren dan memastikan masa pertukaran di KL Sentral mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Tiket ETS dan ERT 2027 mula dijual 2 November
Dalam perkembangan sama, KTMB turut mengumumkan penjualan tiket perkhidmatan ETS dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi perjalanan Januari hingga Mac 2027 secara berperingkat mulai 2 November 2026.
Sebanyak 1,573,872 tempat duduk ditawarkan untuk tempoh tiga bulan berkenaan, menjadikannya jumlah penawaran tertinggi pernah disediakan KTMB bagi tempoh tiga bulan pertama tahun berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,520,592 tempat duduk diperuntukkan untuk ETS, manakala 53,280 tempat duduk lagi bagi ERT.
Berikut merupakan tarikh jualan tiket yang perlu diketahui:
- 2 November 2026, jam 12 tengah hari: Tiket perjalanan ETS dan ERT bagi Januari serta Februari 2027 mula dijual, melibatkan 1,035,384 tempat duduk.
- 1 Disember 2026: Tiket perjalanan ETS dan ERT bagi Mac 2027 mula dijual, melibatkan 538,488 tempat duduk.
Penjualan lebih awal ini membolehkan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih teratur, khususnya ketika cuti persekolahan, cuti umum dan musim perayaan.

Kekerapan perjalanan ETS ditambah pada 2027
Bukan itu sahaja, KTMB turut meningkatkan kekerapan perkhidmatan ETS bagi memberikan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang.
Jika pada 2026 terdapat 44 perjalanan berjadual sehari, jumlah itu akan ditingkatkan kepada:
- Isnin hingga Khamis: 50 perjalanan berjadual sehari.
- Jumaat hingga Ahad: 58 perjalanan berjadual sehari.
Peningkatan ini turut melibatkan laluan JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral yang akan menyaksikan pertambahan daripada lapan kepada 12 perjalanan berjadual sehari.
Langkah ini dijangka dapat memenuhi permintaan pengguna, terutamanya pada hujung minggu dan musim puncak.
Dua stesen baharu diperkenalkan sebagai hab tambahan ETS
Selain penambahan kekerapan tren, Stesen Kuala Lumpur Lama dan Stesen Subang Jaya turut diperkenalkan sebagai hab tambahan bagi perkhidmatan ETS pada 2027. Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan rel serta memberikan lebih banyak pilihan stesen kepada penumpang.
Pada masa sama, pembukaan hab tambahan berkenaan diharap dapat membantu mengurangkan tumpuan penumpang di KL Sentral, khususnya ketika waktu puncak dan musim perayaan.
Justeru, pengguna perkhidmatan ETS disarankan menyemak jadual perjalanan terkini menerusi saluran rasmi KTMB sebelum membuat tempahan bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.
Sumber: Facebook KTM Berhad / Laman web KTMB
FT Image: Wikipedia

