Menurut syarak, rujuk membawa maksud suami kembali semula kepada isterinya yang diceraikan dengan ikatan pernikahan asal (dalam masa iddah) dengan lafaz rujuk. Maka, adalah penting untuk Muslim di Malaysia khususnya, mendapat kefahaman tentang rujuk dalam Islam, terutamanya tentang kaedah rujuk yang disahkan di sisi syariat.
Adakah perbuatan menyentuh isteri dengan syahwat dalam tempoh iddah dikira sebagai rujuk? Ikuti penjelasan mufti di bawah.
RUJUK DALAM ISLAM
“Jika pasangan suami isteri itu bercerai talak 1. Kemudian, suami itu menyentuh isterinya tersebut dengan syahwat, adakah perbuatan tersebut dikira sebagai ruju’?”
Islam memberikan jalan keluar kepada umatnya untuk hubungan perkahwinan yang sukar untuk dipertahankan menerusi pensyariatan talak (cerai).
Dalam masa yang sama, syariat Islam menjadikan asal bagi talak adalah talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh.
Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah (tiga kali suci).
Justeru, dalam tempoh tiga kali suci tersebut seorang suami itu boleh untuk merujuk semula kepada isterinya yang telah diceraikan.
Baca juga: Trend ‘GRWM’ Di Media Sosial Makin Melampau, Hijabis Tak Malu Siap Tunjuk Tengah Butang Baju!
KAYU UKUR SAH RUJUK SEMULA KEPADA ISTERI
Persoalan utama berdasarkan pertanyaan di atas adalah, apakah kayu ukur yang diambil kira untuk seseorang suami itu merujuk semula kepada isterinya?
Maka, mufti di laman portal Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa terdapat beberapa pendapat daripada ulama yang berbeza dalam isu ini.
1. Mazhab Al-Syafi’e
Para ulama al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa tidak sah perbuatan ruju’ seorang lelaki melainkan hanya dengan perkataan. Sekiranya dengan perbuatan seperti seorang suami itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah, maka ia tidak dikira sebagai ruju’.
Maka tidak sah meruju’ menerusi perbuatan yang melibatkan berpelukan, menyentuh dan sebagainya selama mana seseorang itu mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk.
Di mana Imam Al-Nawawi turut berpandangan sama:
“Tidak sah meruju’ melainkan dengan ucapan. Sekiranya seseorang itu menyetubuhinya maka hal tersebut tidak dianggap sebagai ruju’. Maka tidak sah (ruju’) dengan perbuatan sekiranya seseorang mampu untuk mengucapkan (lafaz ruju’).” Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (7/266).
2. Mazhab Hanbali
Di sisi mazhab Hanbali, ada dua pendapat dalam isu ini, rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/523) :
- Pertama, ruju’ tidak berlaku melainkan dengan ucapan sahaja.
- Pendapat kedua menyebutkan bahawa ruju’ itu terhasil dengan persetubuhan, sama ada dengan niat ruju’ atau pun tanpa niat.
Baca juga: Awas, Suka Samakan Tubuh Isteri Dengan Wanita Lain, Suami Boleh Jatuh ZIHAR & Kena Kafarah!
Kesimpulan
Ekoran agama Islam di Malaysia bermazhabkan Al-Syafi’e, mufti menyatakan bahawa mereka cenderung kepada pendapat mazhab Al-Syafi’e dalam isu ini.
Dari sudut ruju’ antara pasangan yang bercerai tidak boleh berlaku dengan perbuatan semata-mata, sekiranya seorang lelaki itu mampu untuk melafazkan ruju’. Bahkan ia hanya sah dengan ucapan ruju’ dari pihak suami sahaja.
Mufti juga menyatakan, dalam kes-kes sebegini hendaklah pasangan tersebut mendaftarkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Kemudian setelah mendapat perintah mahkamah, proses ruju’ boleh diteruskan selama masih dalam tempoh iddah.
Proses-proses ini boleh dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan atau Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
Sumber: Portal Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: kasuntharaka93