Nur

Dah Lafaz Cerai Tapi Belum Disahkan Di Mahkamah, Boleh Bersetubuh Ke?

2
SHARES
hubungan intim suami isteri

Sekiranya seseorang telah menceraikan isterinya, tetapi belum disahkan mahkamah, adakah pasangan ini masih boleh melakukan hubungan intim suami isteri? Ikuti penjelasan yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah.

Baca juga: 7 Ciri Bekas Suami Masih Sayang Bekas Isteri, Ini Maksudnya ‘Gila Talak’ Ke?

HUBUNGAN INTIM SUAMI ISTERI

Apabila berlaku penceraian, setiap pasangan perlu mengambil berat soal hak dan tanggungjawab serta perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan agar tidak terjerumus melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Syarak.

Antara perkara penting yang wajib diketahui ialah berkaitan hukum talak dan rujuk beserta prosedurnya mengikut ketetapan daripada Mahkamah Syariah.

Hak menceraikan isteri dalam perkahwinan sah

“Dalam perkahwinan yang sah, seorang suami mempunyai hak untuk menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Penceraian pertama dan kedua masih boleh dirujuk selagi mana masih dalam tempoh ʿiddah.

“Sekiranya tempohʿiddah sudah tamat, suami tidak boleh rujuk isterinya kembali melainkan perlu mengulang semula akad nikah berserta maharnya sekali seperti perkahwinan pertama kali.” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/180)

Hukum syarak berkenaan jatuh talak

  • Dari segi hukum syarak, sejurus sahaja talak diucapkan maka talak satu akan jatuh serta-merta tidak kira sama ada lafaz talak diucapkan di mahkamah ataupun luar mahkamah.
  • Kesannya, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam satu rumah apatah lagi melakukan persetubuhan, sama ada talak rajʿī atau talak bain.
  • Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ʿajnabi (asing) kepada bekas suami. Inilah pendapat muktamad seperti yang disebutkan oleh Imam al- Nawawi Rahimahullah dalam raudhah al-ṭālibīn (8/418).

Baca juga: Nak Nikah Dalam Masjid TAPI Tengah Haid, Ini Hukumnya Pengantin Perempuan Kena TAHU!

PEMBAHAGIAN WAJIB MENGENAI JATUH TALAK

Kekeliruan timbul apabila ada pihak mengatakan talak hanya jatuh apabila dilafazkan di depan hakim di mahkamah tidak di luar. Menjawab kekeliruan ini, persoalan di atas boleh dijawab berdasarkan pembahagian wajib.

Ulama’ membahaskan wajib ada tiga jenis: wajib dari segi Syarak (Diyānah), wajib dari segi Undang-undang (Qaḍa’) dan wajib dari segi Syarak & Undang-undang. Pengertiannya:

1. Wajib Diyānah

Kewajipan yang dilaksanakan semata-mata atas suruhan Allah. Kewajipan yang perlu dilaksanakan walaupun tiada bukti yang boleh digunakan untuk membuktikan kewajipan tersebut, khususnya apabila didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

Contohnya:

Suami mentalakkan isteri tanpa saksi. Apabila isteri ingin mengangkat kes talak ini ke mahkamah bagi menuntut hak-hak berkaitan, sedangkan suami tidak mahu mengaku sudah melafazkan talak sehingga menyebabkan hakim memutuskan perempuan itu masih isteri yang sah atas faktor tidak mempunyai saksi dan pengakuan. Si suami tetap tidak boleh menafikan fakta yang dia sudah menceraikan isterinya.

Keputusan hakim berdasarkan apa yang terzahir sahaja, sedangkan Allah Maha Mengetahui segalanya. Mengikut ketetapan Syarak, talak tetap jatuh dan suami wajib melaksanakan segala suruhan dan larangan berkaitan talak dan rujuk walaupun hakim memutuskan sebaliknya.

2. Wajib Qada’

Kewajipan yang perlu dilaksanakan mengikut kepada ketetapan undang-undang semata-mata. Kewajipan ini boleh dibuktikan dan dituntut di mahkamah mengikut akta dan enakmen yang diperuntukan.

Contohnya:

Boleh didapati daripada soalan di atas, undang-undang mewajibkan setiap penceraian mestilah didaftarkan dan disahkan di mahkamah. Sekiranya penceraian tersebut masih belum mendapat pengesahan mahkamah, kesannya mereka berdua masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang.

Namun perlu diingatkan, status suami isteri tersebut hanya sah di sisi undang-undang sahaja, tidak di sisi syarak. Hal ini berlaku kerana syarak menetapkan talak tetap jatuh apabila syarat-syaratnya dipenuhi tidak kira mahkamah sudah mengesahkannya atau belum.

3. Wajib Diyānah dan Qada’ 

Kewajipan yang syarak dan undang-undang tetapkan dalam masa yang sama. Jadi, apabila suami menceraikan isterinya melalui prosedur mahkamah syariah dan mahkamah mengesahkannya, maka penceraian itu sah di sisi syarak dan undang-undang. (Lihat: al-Mausūah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 18/41]

Status talak berlaku di luar mahkamah

Pembahagian wajib di atas menunjukkan bahawa penceraian yang berlaku di luar mahkamah tetap dianggap sah di sisi agama walaupun mahkamah masih belum mengesahkannya.

Walaupun begitu, dinasihatkan kepada semua pasangan untuk mendaftarkan sebarang penceraian dan rujuk yang berlaku di Mahkamah Syariah. Dalam masa yang sama, mematuhi hukum-hakam berkaitan talak dan rujuk. Pengamalan ini lebih baik dan sempurna.

Baca juga: Hidup Rasa Gelisah & Kerap Rasa Risau, Buatlah Solat Tahajud Banyak Kebaikannya

KESIMPULAN

  • Berdasarkan keterangan di atas, boleh disimpulkan bahawa haram bagi suami untuk bersetubuh dengan isterinya sepanjang tempoh penceraian walaupun belum mendapat pengesahan mahkamah.
  • Kuasa mahkamah syariah berperanan sebagai institusi kehakiman dalam melaksanakan dan memelihara hukum syarak sedia ada demi memelihara kebaikan dan kepentingan anggota masyarakat.
  • Persetubuhan yang terjadi sebelum proses rujuk boleh dianggap sebagai zina. Suami dan isteri yang terlibat wajib bertaubat kepada Allah atas keterlanjuran yang dilakukan.
  • Akhirnya, apabila suami melafazkan kata-kata yang meragukan segeralah merujuk ke Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk penerangan lanjut. Sikap berdiam diri boleh membawa padah di kemudian hari.

Baca juga: Ini 6 Amalan Boleh Buat Semasa Dalam Kenderaan, Agar Beroleh Berkat!

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

FT Image: Blog Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Perak / Kenyataan Akhbar JAKESS

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×