Nur

Awas, Suka Samakan Tubuh Isteri Dengan Wanita Lain, Suami Boleh Jatuh ZIHAR & Kena Kafarah!

12
SHARES
hukum zihar

Sebagai seorang suami, anda perlu berhati-hati ketika membuat pertuturan. Hal ini kerana, anda boleh dijatuhkan hukum zihar sekiranya menyamakan anggota tubuh isteri sendiri dengan wanita lain. Di mana, suami yang terpalit zihar bakal berdepan dengan kafarah!

Apakah itu zihar? Ikuti penjelasan lanjut di bawah.

Baca juga: Lepas Pasangan Meninggal Dunia, Lelaki Ramai Kahwin Lain Tapi Wanita Jarang, Ustaz Kata Ini Sebabnya!

HUKUM ZIHAR KE ATAS SUAMI

hukum zihar

Gambar hiasan: Google

Pengertian zihar

Dari segi istilah, zihar ditakrifkan sebagai perkataan suami menyamakan isterinya yang belum tertalak secara bain dengan wanita yang mahram muabbad (iaitu wanita yang diharamkan berkahwin dengannya) kepadanya. Manakala menurut syarak, zihar itu berlaku pada keseluruhan anggota badan diqiyaskan kepada bahagian belakang.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar adalah perbuatan suami melafazkan kata-kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami tersebut menyetubuhi isterinya dalam keadaan demikian, (suami wajib membayar kafarah zihar).

Ia dinamakan sebagai zihar kerana merujuk kepada perbuatan yang berasal daripada perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya.

Aspek penyamaan yang dibuat itu menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti mana haramnya ia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.

Hukum zihar

Firman Allah S.W.T:

“Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka dari kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” Surah al-Mujaadilah (2)

Merujuk kepada ayat di atas, zihar disifatkan sebagai ucapan yang mungkar lagi dusta. Keduanya itu merupakan suatu bentuk keharaman yang menjadikan zihar dalam maksudnya yang sebenar adalah haram hukumnya.

Manakala di dalam kitab Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, disebutkan hukum zihar adalah haram dan termasuk daripada dosa besar dan siapa yang melakukannya dianggap berdosa dengan ijma’.

Baca juga: Cara Mohon Perceraian Jika Suami Berzina, Bukti Gambar Mungkin ‘Tak Laku’ Di Mahkamah!

LAFAZ ZIHAR SORIH & KINAYAH

  • Lafaz zihar sorih (jelas)

Lafaz zihar sorih adalah menyamakan anggota aurat isteri atau anggota badan bahagian zahir isteri yang merupakan bahagian istimta’ (bersedap-sedap) seperti kaki, tangan, kulit, peha, mulut dan seumpamanya dengan anggota badan mahramnya yang memungkinkan keseronokan seksual (talazzuz) mahramnya.

Antara contoh lafaznya ialah, “tangan awak macam tangan anak buah saya.” Serta merta berlaku zihar walaupun suami tidak berniat kerana ia merupakan lafaz sorih.

  • Lafaz zihar kinayah (kiasan)

Lafaz zihar kinayah adalah dengan cara menyamakan isteri dengan mahramnya pada anggota badan yang melambangkan kemuliaan seperti wajah, mata dan lain-lainnya.

Seperti contoh, “mata awak macam mata anak buah saya.” Lafaz ini tidak dikira zihar sekiranya niat si suami untuk menyatakan kemuliaan serta kekaguman mahupun suami tidak berniat apa-apa.

Selain itu, dikira sebagai kinayah juga jika menyamakan dengan anggota badan yang tidak dikhususkan seperti suami menyamakan isteri dengan mahramnya secara mutlak tanpa menyebut mana-mana anggota.

Malah, menyamakan anggota dalaman dengan mahramnya seperti hati, limpa, buah pinggang, paru-paru dan seumpamanya, tidak dikira zihar. Selain itu, ia termasuk juga anggota yang boleh dipisahkan daripada badan seperti susu badan, mani, suara, rambut, gigi, kuku dan sebagainya.

Anggota ini tidak dihukum sebagai zihar dengan penyamaan anggota tidak hakiki dan tidak dijadikan tempat istimta’ (bersedap-sedap).

KAFARAH ZIHAR

Allah S.W.T telah memberikan rukhsah (keringanan) dalam isu zihar dengan menjadikan padanya kafarah dan bukannya talak seperti pada zaman jahiliah. Kafarah bagi seseorang yang melakukan zihar adalah seperti berikut:

  • Pertama: Bebaskan seorang hamba.
  • Kedua: Sekiranya tidak ada, perlu berpuasa dua bulan secara berturutan.
  • Ketiga: Sekiranya tidak mampu, perlu beri makan kepada 60 orang miskin.

Baca juga: Islam Melarang Lakukan ‘Hubungan Kelamin’ Pada Awal, Tengah & Akhir Setiap Bulan? Ini Kata Mufti

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Hukum Siri Ke-215 & Irsyad Hukum Siri Ke-706) /

FT Image: CahayaIslam

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×