Kegembiraan menyambut kelahiran anak kedua bertukar menjadi berita duka buat sebuah keluarga apabila seorang wanita, Nur Izzatul Hani binti Hor Izam, dilapor meninggal dunia selepas melahirkan bayinya.
Baca juga: Air Ketuban Pecah Terpaksa Guna Lorong Kecemasan Di DASH, Wanita Dalam ‘Contraction’ Mohon Maaf
WANITA MENINGGAL DUNIA SELEPAS LAHIRKAN ANAK KEDUA, ‘COLLAPSE’ KETIKA BERSALIN

Gambar: @azrinahani
Namun, detik kelahiran yang sepatutnya menjadi kenangan manis buat keluarga bertukar pilu apabila Izzatul dilaporkan tidak sedarkan diri ketika proses bersalin.
Pemergian arwah yang dikongsikan menerusi Threads pada 28 September 2026 mengundang rasa sebak ramai, lebih-lebih lagi apabila anak perempuan yang dinantikan itu berjaya dilahirkan dengan selamat.
Anak perempuan yang dinanti selamat dilahirkan, ibu tidak sedarkan diri
Menerusi hantaran Threads, rakan arwah, Asdiana Khairuddin atau @merrypushah_, memaklumkan bahawa Izzatul menghembuskan nafas terakhir selepas selamat melahirkan anak keduanya.
Menurut perkongsian tersebut, arwah tidak sedarkan diri ketika melahirkan bayi perempuan yang dinanti-nantikan dengan penuh kegembiraan. Asdiana turut menitipkan ucapan takziah buat keluarga arwah, khususnya suami dan anak lelaki yang ditinggalkan.
“Al-Fatihah Hani. Minta sedekahkan Al-Fatihah buat sahabat saya yang baru sahaja meninggal dunia pagi tadi (28 September, semalam) selepas selamat melahirkan cahaya matanya yang kedua. Anak perempuan yang dinanti dengan penuh kegembiraan bertukar duka selepas arwah tidak sedarkan diri semasa melahirkan bayinya.
“Bersalin di dunia, berpantang di syurga buatmu Nur Izzatul Hani. Semoga tabah buat suami dan anak lelakinya. Kita jumpa dekat sana ya Hani, dah tak ada dah geng jalan-jalan naik bas selepas ini,” luah Asdiana Khairuddin.
Ungkapan tersebut mengundang rasa hiba dalam kalangan warga maya yang turut menitipkan doa buat arwah serta keluarga yang sedang melalui kehilangan besar.
Saksi terdengar pengumuman ‘code red’ sekitar jam 4 pagi

Perkongsian mengenai pemergian Izzatul turut mendapat perhatian apabila adiknya, @azrinahani, memuat naik hantaran bertulis “Al Fatihah kakak syurga saya”.
Di ruangan komen hantaran berkenaan, seorang pengguna Threads, @leerawr13, berkongsi bahawa dia berada di wad bersalin Hospital UPM ketika kejadian kecemasan tersebut berlaku.
Menurut individu berkenaan, dia terdengar pengumuman kecemasan atau ‘code red’ sekitar jam 4 pagi lebih yang memaklumkan terdapat seorang ibu mengalami keadaan collapse di bilik bersalin.
Individu itu turut menceritakan bahawa pasukan perubatan memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum ibu berkenaan dibawa ke unit rawatan rapi (ICU), manakala bayinya pula dibawa ke unit rawatan rapi neonatal (NICU).
Berikut merupakan perbualan antara adik arwah dan individu berkenaan di ruangan komen Threads:
“Saya dekat hospital yang sama masa kakak awak kena code red. Saya dalam wad bersalin time itu,” tulis @leerawr13.
“Ya Allah yeke, boleh tak cerita keadaan dekat sana masa tu? Kakak saya sakit sangat ke,” balas @azrinahani.
“Hospital UPM kan?” tanya @leerawr13.
“Betul…kami sesiapa tak ada waktu kejadian ya Allah siannya kakak. Awak ada dengar apa apa ke?” soal adik arwah.
Baca juga: Cemas! Belum Sempat Masuk Hospital, Wanita Bersalin Atas Motosikal.. Tali Pusat Masih Bersambung!
Individu tersebut kemudian menceritakan detik yang didengarinya ketika berada di wad berkenaan.
“Saya dekat wad bersalin time itu. Tapi tak jumpa lah kakak awak. Cuma masa tidur dalam pukul 4 pagi lebih dengar announcement kata code red dekat labour room. Mereka kata ada mommy collapse. Kita berdoa juga harap mommy itu selamat.
“Then pagi itu, tanya nurse ada code red ke tadi. Dia kata a’ah. Mommy collapse tiba-tiba lepas bersalin. Mereka buat CPR. Then mommy masuk ICU kejap. Bayi dekat NICU. Dalam tengahari nurse datang dekat saya lagi cakap mommy dah meninggal,” jelasnya.
Mendengar perkongsian tersebut, adik arwah meluahkan rasa tidak terbayang dengan apa yang dilalui kakaknya, apatah lagi bayi perempuan itu merupakan zuriat yang sangat dinantikan.
“Ya Allah tak terbayang…dia mesti kesakitan + ketakutan. Dia sangat menantikan zuriat girl ini. Sesaat pun Allah tak izinkan jumpa,” tulis @azrinahani.
Individu berkenaan turut menyampaikan ucapan takziah serta mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga.
Pemergian Izzatul pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan buat keluarga, terutama suami dan anak-anak yang kini meneruskan kehidupan tanpa kehadiran insan tersayang.
Semoga keluarga arwah diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini, manakala anak-anak yang ditinggalkan membesar dalam lindungan serta kasih sayang orang sekeliling.
Sumber: Threads @merrypushah_ / @azrinahani
