Bagi kebanyakan pelajar, duduk dalam dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali pun sudah cukup mendebarkan. Namun pengalaman itu dilalui berulang kali oleh Cikgu Zulkifli Md Pungut, 58, yang bakal menjadi calon peperiksaan berkenaan buat kali ke-26 tahun ini.
Pengetua SMK Simpang Renggam, Johor itu mula menduduki SPM sebagai seorang guru pada 2011 dan sejak itu menjadikan pengalaman sebagai calon sebagai salah satu cara untuk memahami cabaran yang dilalui pelajarnya.
Baca juga: Pernah Jalan Kaki 20KM & Basikal Dicuri, Ibu Tunggal OKU Autisme Gigih Hantar Makanan Demi Anak
CIKGU ZULKIFLI AMBIL SPM 26 KALI SEJAK 2011 JADI INSPIRASI, DEDAH SEBABNYA MESKI DAH JADI PENGETUA

Gambar ihsan Cikgu Zulkifli (2024): Pengetua SMK Tanjung Adang dan guru Matematik, Zulkifli Md Pungut bersama sijil SPM miliknya.
Lebih menarik, beliau bukan mengejar keputusan peperiksaan semata-mata. Sebaliknya, setiap kali menduduki SPM, beliau mahu melihat sendiri perubahan format, tahap kesukaran soalan serta tekanan yang dirasai calon.
Pengalaman tersebut kemudian dibawa ke dalam bilik darjah bagi membantu beliau menyesuaikan pendekatan pengajaran dengan keperluan pelajar.
“Duduk di dalam dewan peperiksaan membuka mata saya tentang tekanan masa, keletihan mental dan rasa cemas yang dialami calon.
“Pengalaman ini mengubah pendekatan pengajaran saya. Saya tidak lagi hanya mengajar tajuk dalam modul, tetapi turut memberikan tumpuan kepada teknik pengurusan masa, strategi menjawab di bawah tekanan dan pengurusan emosi,” katanya kepada Bernama.
Sanggup ulang peperiksaan demi nak memahami pelajar
Sejak 2011, Cikgu Zulkifli mengambil SPM sebanyak dua kali setahun sebagai seorang guru untuk menilai sendiri tahap kesukaran kertas soalan dan perubahan format peperiksaan.
Pada masa sama, langkah itu membolehkannya melihat cabaran peperiksaan daripada perspektif seorang calon, bukan sekadar pendidik yang mengajar di hadapan kelas.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran Awam Universiti Malaya itu turut serius membuat persediaan setiap kali bakal menduduki peperiksaan.
Beliau memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji dan menjawab set soalan, sama seperti calon sekolah biasa.
Antara bahan yang digunakan termasuk modul rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), soalan percubaan serta pandangan daripada rakan-rakan guru Matematik yang menjadi rakan semakan.
Sepanjang 26 kali menduduki SPM, fokus utama Cikgu Zulkifli ialah Matematik dan Bahasa Inggeris dengan sasaran untuk mengekalkan keputusan pada gred A dan A+.
Bagi SPM 2026 pula, beliau menyasarkan gred A+ dalam Matematik sebagai penanda aras prestasi peribadi selain mahu menjadi sumber inspirasi kepada pelajarnya.
Baca juga: Hebat! Bapa Usia 57 Rela Ambil Semula SPM Matematik & Add Math Demi Jadi ‘Rakan Belajar’ Anak
Soalan SPM sekarang bukan lagi sekadar hafalan

Gambar ihsan Cikgu Zulkifli (2022): Zulkifli (kiri) mendaftar sebagai calon subjek SPM subjek Bahasa Inggeris dan Matematik bagi memberi dorongan kepada anak bongsunya, Afif Ajmal; Gambar ihsan Cikgu Zulkifli (2020): Zulkifli menunjukkan sebahagian sijil SPM yang dimilikinya selepas 18 kali mengambil peperiksaan itu sejak 2011.
Selepas melalui peperiksaan itu berkali-kali, Cikgu Zulkifli turut dapat melihat perubahan yang berlaku dalam format SPM, khususnya peningkatan penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Menurut beliau, soalan kini tidak lagi hanya tertumpu kepada pengiraan rutin atau hafalan. Sebaliknya, calon perlu menganalisis maklumat, memahami konsep dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi kehidupan sebenar.
Antaranya termasuk perkara yang dekat dengan kehidupan seharian seperti pengurusan kewangan, analisis data dan statistik.
Bagi pelajar yang bakal menduduki Matematik pula, Cikgu Zulkifli berkongsi satu perkara penting yang perlu diingat ketika berdepan soalan panjang.
“Matematik bukan sekadar subjek mengira, tetapi satu bentuk latihan minda. Jangan melihat soalan yang panjang dan terus berasa gerun, sebaliknya pecahkan masalah kepada langkah-langkah kecil.
“Kuncinya ialah latihan berulang secara konsisten, membina kefahaman konsep asas dan jangan ragu-ragu untuk bertanya kepada guru,” katanya.
Bagi Cikgu Zulkifli, pengalaman menjadi calon SPM berulang kali akhirnya memberi satu perspektif yang berbeza dalam tugasnya sebagai pendidik.
Daripada merasai sendiri tekanan masa, keletihan mental dan keresahan ketika berada di dalam dewan peperiksaan, beliau dapat memahami dengan lebih dekat apa yang dilalui pelajar.
Pengalaman itu kemudiannya membantu beliau menjadi pendidik yang lebih peka terhadap keperluan calon, selain memastikan pendekatan pengajaran yang digunakan terus relevan dengan perubahan dalam sistem pendidikan.
Sumber: BERNAMA
