Empat beradik kembar mencuri tumpuan apabila kesemuanya mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Keempat-empat mereka, Amir Muttaqin Md Khairuddin, Aniq Muttaqin, Abid Muttaqin dan Adib Muttaqin, masing-masing berusia 23 tahun dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Baca juga: Bayi Baru Lahir Kini Dapat RM3,000! Kerajaan Negeri Melaka Perkenal Bantuan Untuk Anak Asnaf
EMPAT BERADIK KEMBAR DAFTAR UTHM

Menariknya, bukan sahaja mendaftar di universiti yang sama, malah keempat-empat kembar itu turut memilih program pengajian yang serupa iaitu Sarjana Muda Pengurusan Hartanah (Kepujian) di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), UTHM.
Menurut Adib, pilihan tersebut dibuat kerana mereka sebelum ini memiliki Sijil Penilaian Harta Tanah daripada Institut Penilaian Negara (INSPEN), sekali gus mendorong mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang sama.
Katanya, peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di UTHM memberi pengalaman baharu yang cukup bermakna buat mereka sekeluarga.
“Sememangnya kami mahu meneruskan pengajian dalam bidang pengurusan hartanah dan UTHM menjadi pilihan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Kami gembira dan teruja kerana akhirnya dapat melangkah ke peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.
Bagaimanapun, kegembiraan itu turut bercampur dengan perasaan sedih dan berdebar apabila mereka perlu berjauhan daripada keluarga serta memulakan kehidupan baharu di negeri orang.
Adib berkata, pengalaman pertama bergelar mahasiswa menuntut mereka untuk menyesuaikan diri dengan suasana universiti, selain perlu berjauhan dari keluarga di Kelantan.
Dalam pada itu, menjadi kembar empat di universiti dilihat memberi kelebihan kepada mereka, terutama ketika mengikuti pengajian dan menjalani rutin harian sebagai mahasiswa.
Dapat ulang kaji bersama

Mereka dapat belajar dan mengulang kaji bersama, selain saling mengingatkan mengenai jadual kuliah, tugasan serta urusan kehidupan di kolej.
“Kami boleh saling membantu dalam pembelajaran, mengulang kaji bersama dan mengingatkan antara satu sama lain supaya tidak terlepas kelas atau tugasan.
“Apabila berada di kolej pula, kami boleh saling membantu jika ada perkara yang diperlukan,” katanya.
Keempat-empat mereka merupakan sebahagian daripada 3,302 pelajar baharu program Sarjana Muda yang mendaftar di UTHM bagi sesi akademik 2026/2027.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali berkata, daripada jumlah keseluruhan pelajar baharu berkenaan, seramai 1,885 merupakan pelajar lelaki.
Katanya, pendaftaran pelajar baharu berlangsung di kampus induk UTHM di Parit Raja serta kampus Pagoh, Muar, melibatkan pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan menerusi lapan fakulti.
Sumber: Harian Metro
