Seorang pelajar Tingkatan Satu berdepan detik cemas apabila diserang dan digigit anjing liar ketika dalam perjalanan ke sekolah di Krubong, Melaka.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi ketika Muhammad Anas Fakhry Mohamad Azdly Shah, 13, berbasikal dari Taman Krubong Perdana ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong.
DIGIGIT ANJING LIAR, PELAJAR TINGKATAN SATU CEDERA

Sekadar gambar hiasan – Magnific
Menurut bapanya, Mohamad Azdly Shah Jamaludin, 46, anaknya dipercayai dikejar sekumpulan enam hingga tujuh ekor anjing liar sebelum salah seekor daripada haiwan terbabit menggigit kaki kirinya.
“Nasib baik doktor memaklumkan luka tidak begitu dalam dan tidak membabitkan taring bawah, jika tidak mungkin kecederaannya lebih teruk.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa, tetapi berharap perkara ini diambil serius sebelum berlaku kejadian lebih buruk,” jelasnya kepada media tempatan.
Mohamad Azdly Shah berkata, insiden berkenaan turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa memandangkan kumpulan anjing liar terbabit dikatakan sudah lama berkeliaran di sekitar kawasan Taman Krubong Perdana.
Lebih membimbangkan, laluan tersebut menjadi antara jalan yang kerap digunakan pelajar untuk ke sekolah, khususnya mereka yang berbasikal.
“Sebenarnya saya bimbang kejadian itu berulang lagi dan menjadi lebih buruk, terutama kepada kanak-kanak,” katanya.

Mengimbas kembali kejadian, Muhammad Anas berkata dia pada awalnya tidak menyedari kehadiran sekumpulan anjing berkenaan ketika berbasikal.
Bagaimanapun, keadaan berubah ketika dia mengayuh melalui kawasan berbukit apabila sekumpulan enam hingga tujuh ekor anjing mula menyalak.
“Tiba-tiba seekor daripadanya mengejar dan sempat menggigit kaki kiri saya ketika sedang mengayuh basikal. Selepas menyerang dan menggigit saya, anjing itu mengejar abang saya yang berada di belakang, tetapi dia tidak diserang,” ujarnya.
Baca juga: Bapa Saudara Nur Haira Nafi Dakwaan Anjing Milik Datuk, Mohon Hentikan Spekulasi & Hormat Keluarga
Sumber: Harian Metro
