Kes kanak-kanak diserang anjing sekali lagi mencetuskan perhatian ramai apabila keluarga Nur Haira Wafiqah tampil menafikan dakwaan mengenai pemilikan anjing yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Dakwaan tersebut sebelum ini tular di media sosial selepas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kebajikan anjing, Malaysian Dogs Deserve Better, berkongsi maklumat terbaharu yang diterimanya berhubung insiden berkenaan.
DISERANG ANJING, BAPA SAUDARA NAFI DAKWAAN ANJING MILIK DATUK HAIRA

Menerusi hantaran di media sosial, NGO tersebut mendakwa menerima maklumat bahawa anjing terbabit dipercayai merupakan milik datuk kepada kanak-kanak berkenaan.
Susulan dakwaan itu, bapa saudara Nur Haira, Shahrizal Mohd Hanafiah tampil memberikan penjelasan dan menafikan perkara tersebut dengan tegas.
Menurutnya, anjing terbabit bukanlah milik keluarga mereka, sebaliknya merupakan zuriat anjing pemburu yang dilahirkan di kawasan semak berhampiran kebun.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Sekali lagi saya tegaskan, anjing tersebut adalah zuriat anjing pemburu.
“Dilahirkan di semak kebun, dibiarkan hidup seperti mana haiwan lain seperti babi hutan, monyet liar dan lain-lain,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Shahrizal turut mempersoalkan dakwaan yang mengaitkan keluarga mangsa dengan pemilikan anjing tersebut.
“Adakah membiarkan anjing tersebut hidup bermaksud kami memilikinya? Kenapa perlu wujud naratif untuk menyalahkan keluarga mangsa?” tulisnya.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata pihak keluarga menghormati usaha pihak yang memperjuangkan kebajikan dan nasib haiwan.

Hormat keadaan adik Nur Haira
Bagaimanapun, dia memohon supaya semua pihak menghormati keadaan Nur Haira yang kini sedang bertarung nyawa di ICU serta menjaga perasaan ibu dan bapanya.
“Kami menghormati perjuangan membela nasib haiwan. Namun untuk saat dan ketika ini, saya sangat memohon supaya hormatilah adik Haira yang sedang bertarung nyawa di ICU dan jaga perasaan Abi dan Umi adik Haira.
“Hentikan spekulasi dan tuduhan tidak berasas. Ujian mereka sudah cukup besar. Saya merayu sangat-sangat,” luahnya.
Kenyataan tersebut dibuat ketika keadaan Nur Haira masih menjadi perhatian orang ramai, susulan kejadian yang mengakibatkan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan serius.
Dalam perkembangan berkaitan, pelbagai pihak sebelum ini tampil memberikan pandangan mengenai isu keselamatan awam, anjing terbiar serta tanggungjawab pemilik haiwan susulan kejadian tersebut.
Sebarang dakwaan berhubung pemilikan anjing terbabit wajar diteliti berdasarkan fakta dan siasatan pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang belum disahkan serta menambahkan tekanan kepada keluarga mangsa.
Sumber: Threads Shahrizal Mohd Hanafiah
