Mengenali keluarga Rasulullah SAW bukan sekadar mengetahui nama isteri dan anak Baginda, tetapi turut membantu kita memahami sebahagian daripada sirah serta kehidupan Nabi Muhammad SAW.
Berdasarkan sumber sirah yang dirujuk, Rasulullah SAW mempunyai 11 orang isteri sepanjang hayat Baginda. Baginda turut dikurniakan tujuh orang anak, iaitu tiga lelaki dan empat perempuan. Sempena Maulidur Rasul kali ini, berikut senarai nama serta fakta ringkas yang menarik untuk diketahui.
Baca juga: Teks Selawat Nabi Versi Jawi & Rumi Serta Audio & PDF, Sempena Maulidur Rasul!
FAKTA RINGKAS TENTANG KELUARGA RASULULLAH SAW

Gambar hiasan: Gemini AI
11 ISTERI RASULULLAH SAW
Isteri-isteri Baginda merupakan wanita-wanita yang mempunyai kelebihan dan kedudukan yang diberikan oleh Allah SWT melebihi para wanita yang lain. Keistimewaan dan kelebihan mereka disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa…” (Surah Al-Ahzab: 32)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya, jika terdapat ramai wanita sekalipun, nescaya mereka tidak akan pernah sama sekali menyamai isteri-isteri Nabi dari sudut kemuliaan dan kelebihan.(Lihat Tafsir Al-Maraghi, 22/5).
Bahkan isteri-isteri Nabi digelarkan sebagai Ummahatul Mukminin yakni ibu-ibu bagi orang-orang yang beriman sebagai satu pengiktirafan kedudukan dan kemuliaan mereka. Firman Allah SWT :
Maksudnya: “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka…” Surah Al-Ahzab (6)
Nama-nama mereka ialah:
- Saidatina Khadijah binti Khuwailid
- Saidatina Saudah binti Zam‘ah
- Saidatina Aisyah binti Abu Bakar
- Saidatina Hafsah binti Umar
- Saidatina Zainab binti Khuzaimah
- Saidatina Hind binti Abi Umayyah (Ummu Salamah)
- Saidatina Zainab binti Jahsy
- Saidatina Juwairiyah binti al-Harith
- Saidatina Ramlah binti Abi Sufyan (Ummu Habibah)
- Saidatina Safiyyah binti Huyai
- Saidatina Maimunah binti al-Harith
Saidatina Maimunah merupakan isteri terakhir yang dinikahi Rasulullah SAW. Bagaimanapun, beliau bukan isteri Baginda yang terakhir meninggal dunia kerana Ummu Salamah disebut sebagai isteri Rasulullah SAW yang paling akhir wafat. (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala, 2/202).
7 ANAK RASULULLAH SAW
Rasulullah SAW dikurniakan tujuh orang anak, terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan.
Anak Baginda yang terawal adalah al-Qasim, kemudian Zainab, kemudian Ruqayyah, kemudian Fatimah, kemudian Ummu Kulthum. Adapun ketika dalam Islam: ‘Abdullah, kemudian Ibrahim di Madinah.
Kesemua anak Rasulullah SAW meninggal dunia sebelum Baginda kecuali Fatimah yang masih hidup selepas kewafatan ayahandanya untuk beberapa tempoh.
1. Al-Qasim
- Al-Qasim merupakan anak lelaki pertama Rasulullah SAW.
- Disebabkan nama anak sulung baginda ini, Baginda mendapat gelaran kekeluargaan (kunyah) iaitu Abu al-Qasim (Bapa kepada Al-Qasim).
- Beliau dilahirkan di Makkah sebelum kenabian dan meninggal dunia ketika masih kecil.
2. Abdullah
- Abdullah merupakan seorang lagi anak lelaki Rasulullah SAW.
- Beliau turut dikenali dengan nama al-Tayyib dan al-Tahir. Terdapat perbahasan dalam sumber sejarah mengenai nama tersebut, namun pandangan yang dirujuk menyatakan al-Tayyib dan al-Tahir merupakan gelaran bagi Abdullah.
3. Ibrahim
- Ibrahim ialah anak lelaki Rasulullah SAW yang dilahirkan di Madinah.
- Beliau merupakan satu-satunya anak lelaki Baginda yang bukan daripada Saidatina Khadijah, sebaliknya dilahirkan oleh Mariah al-Qibtiyyah (hamba).
- Ibrahim meninggal dunia ketika masih kecil pada tahun ke-10 Hijrah.
4. Zainab
- Zainab merupakan anak perempuan Rasulullah SAW.
- Beliau berkahwin dengan Abu al-‘As bin al-Rabi’ dan dikurniakan anak termasuk Ali serta Umamah.
- Umamah juga mempunyai kisah tersendiri bersama datuknya apabila pernah digendong Rasulullah SAW ketika Baginda menunaikan solat.
5. Ruqayyah
- Ruqayyah merupakan anak perempuan Rasulullah SAW yang berkahwin dengan Saidina Uthman bin Affan.
- Pasangan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki bernama Abdullah.
- Ruqayyah meninggal dunia ketika Uthman berada di sisinya.
6. Ummu Kulthum
- Ummu Kulthum ialah anak perempuan Rasulullah SAW yang kemudiannya berkahwin dengan Saidina Uthman bin Affan selepas kewafatan Ruqayyah.
- Perkahwinan Uthman dengan dua puteri Rasulullah SAW menyebabkan beliau dikenali dengan gelaran Zun Nurain, yang bermaksud pemilik dua cahaya.
7. Fatimah
- Fatimah merupakan anak perempuan Rasulullah SAW yang berkahwin dengan Saidina Ali bin Abu Talib.
- Mereka dikurniakan al-Hasan, al-Husain, Muhassin, Zainab dan Ummu Kulthum.
- Fatimah merupakan satu-satunya anak Rasulullah SAW yang masih hidup selepas kewafatan Baginda. Beliau kemudiannya meninggal dunia kira-kira enam bulan selepas Rasulullah SAW wafat.
SIAPA MARIAH AL-QIBTIYYAH?

Gambar hiasan: Gemini AI
Satu perkara yang mungkin kurang diketahui ialah tidak semua anak Rasulullah SAW dilahirkan daripada Saidatina Khadijah. Menurut sumber, semua anak Baginda adalah daripada Khadijah kecuali Ibrahim yang merupakan anak bersama Mariah al-Qibtiyyah (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/237).
Mariah binti Syam‘un (gelaran Mariah al-Qibtiyyah) merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh al-Muqawqas, pembesar Iskandariyyah dan Mesir, kepada Rasulullah SAW. Beliau tiba di Madinah pada tahun ketujuh Hijrah dan memeluk Islam.
Selain itu, Mariah merupakan seorang wanita yang sangat menjaga kelakuannya dan sentiasa mengharapkan keredaan Nabi SAW. Beliau telah wafat pada tahun 16 Hijrah ketika zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab.
Sumber menyatakan Mariah al-Qibtiyyah adalah hamba Rasulullah SAW dan tidak menjadi kesalahan di dalam Islam seorang tuan menggauli hambanya.
Antara contoh lain Nabi Ibrahim AS juga mempunyai seorang hamba iaitu Siti Hajar dan Nabi Ibrahim AS mempunyai zuriat bersama dengannya. Untuk itu, Nabi SAW tidak melakukan kesalahan dan jauh sekali untuk mengkhianati isteri-isteri Baginda SAW yang lain.
Mempelajari kisah keluarga Baginda akhirnya bukan sekadar menghafal nama, tetapi menjadi salah satu cara untuk lebih mengenali perjalanan hidup Rasulullah SAW dan menambahkan kecintaan kepada Baginda.
Salam Maulidur Rasul…
Sumber: Zulkifli al-Bakri (1) (2) (3) (4) (5) / Portal Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: Gemini AI
