Seorang bapa dari Korea Selatan yang menjadi perhatian ramai selepas berusaha mencari tempat tinggal yang sesuai untuk anak lelakinya dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu lalu. Jeon Gyeong-cheol, 64, sebelum ini disahkan menghidap kanser hati tahap akhir dan telah menjalani kehidupan bersama penyakit berkenaan sejak tahun lalu.
AYAH ADA KANSER HATI, MENINGGAL LEPAS JUMPA PUSAT JAGAAN ANAK

Berita mengenai pemergian Jeon dikongsikan oleh Ketua Forum Pakar Sokongan Kecacatan Perkembangan, Jeong Yu-jin, menerusi media sosial pada Ahad.
Menurut Jeong, urusan pengebumian Jeon akan dilaksanakan tanpa penyediaan dewan penghormatan khas, selaras dengan permintaan mendiang.
Kisah Jeon sebelum ini mendapat perhatian kerana lebih 20 tahun hidup sebagai penjaga utama kepada anak lelakinya yang kini berusia 27 tahun.
Anaknya yang menghidap autisme itu dilaporkan mempunyai tahap perkembangan seperti kanak-kanak berusia sekitar dua hingga tiga tahun.
Situasi tersebut menjadi kebimbangan besar buat Jeon selepas dia menerima diagnosis kanser hati tahap akhir pada April tahun lalu.
Menyedari kesihatannya semakin merosot dan masa yang dimiliki mungkin tidak panjang, Jeon mula memikirkan kehidupan anaknya selepas ketiadaannya kelak.
Dia kemudian mengambil keputusan untuk mencari sendiri tempat yang mampu menerima serta menjaga anaknya.
Dalam usaha itu, Jeon mengembara ke pelbagai kawasan di Korea Selatan dan menghubungi hampir 1,000 pusat penjagaan. Namun, pencariannya bukan sesuatu yang mudah apabila banyak fasiliti tidak dapat menerima anaknya berdasarkan keperluan penjagaan yang diperlukan.
Coretan mengenai kehidupannya sebagai seorang bapa dan penjaga tunggal itu menarik perhatian pembaca sebelum kisahnya semakin dikenali selepas dia muncul dalam beberapa program televisyen termasuk MBC ‘True Story Expedition’ dan tvN ‘You Quiz on the Block’.

Pada Jun lalu, Jeon turut menghimpunkan tulisan yang pernah diterbitkan di Brunch dalam sebuah esei berjudul ‘Annyeong, Peter Pan’.
Karya itu mengisahkan perjalanan seorang bapa yang berusaha memastikan anaknya tetap mempunyai tempat untuk tinggal dan menjalani kehidupan dengan baik selepas dirinya sudah tiada.
Berjaya kumpul 80 juta Won
Sokongan yang diterima akhirnya membantu Jeon mendapatkan tempat yang lebih sesuai untuk anaknya apabila dia berjaya memindahkan anak tersebut ke sebuah komuniti khas yang menempatkan individu dengan kecacatan perkembangan tahap serius.
Dalam kemunculannya di ‘You Quiz on the Block’ bulan lalu, Jeon turut berkongsi harapan yang cukup menyentuh hati mengenai apa yang diinginkannya untuk anaknya selepas pemergiannya.
“Saya mahu memberitahunya supaya melupakan ayahnya dan hidup dengan bahagia. Tetapi saya tidak mahu dia melupakan saya sepenuhnya.
“Saya harap dia mengingati saya dengan sedikit rasa rindu, sebagai seorang lelaki tua yang pernah memandangnya dengan penuh kehangatan,” luahnya.
Perjuangan Jeon tidak terhenti selepas dia menemukan tempat yang sesuai untuk anaknya.
Pengalaman mencari kemudahan penjagaan untuk individu dewasa dengan autisme dan kecacatan perkembangan tahap serius turut membuatkan Jeon mahu membantu keluarga lain yang berdepan kebimbangan sama.
Dia berusaha menubuhkan sebuah yayasan kebajikan yang memberi tumpuan kepada golongan dewasa dengan kecacatan berkaitan autisme yang teruk.
Tidak lama sebelum meninggal dunia, Jeon pada 26 Ogos lalu mengumumkan penubuhan jawatankuasa persediaan bagi merealisasikan usaha tersebut.
Selepas pemergiannya, ahli jawatankuasa yang telah dibentuk dijangka meneruskan perbincangan dan usaha untuk merealisasikan penubuhan yayasan berkenaan.
Baca juga: “Cer Ambik Gambo” – Ucapan Sultan Perak Ketika Di MAHA Cuit Hati Rakyat, Pekat Betul Loghat Tuanku!
Sumber: Global Nation
