Bagi sesetengah pemilik perniagaan, lokasi strategik mungkin menjadi perkara utama yang difikirkan sebelum membuka restoran. Namun bagi Adam Corrie, ada satu lagi perkara yang tidak kurang penting iaitu memastikan pekerjanya mudah menunaikan solat.
ADAM CORRIE PILIH LOKASI RESTORAN PERLU ADA SURAU & BERDEKATAN MASJID

Adam Corrie di The Curve.
Bukan sekadar fikir untung, solat pekerja pun jadi perhatian
Menerusi perkongsian di Threads, pelakon berkenaan berkongsi pengalamannya ketika hadir melihat proses sertu restoran yang bakal dibuka di The Curve pada bulan ini.
Apa yang membuatkan Adam berasa lega apabila mendapati surau di pusat beli-belah berkenaan terletak tidak jauh dari restoran tersebut.
Menurut Adam, ketika berada di lokasi, dia sempat bertanya kepada pihak pengurusan mengenai kedudukan masjid berdekatan.
Soalan itu bukan sekadar untuk dirinya sendiri, sebaliknya turut mengambil kira kemudahan pekerja lelaki yang perlu menunaikan solat Jumaat, “Masjid dekat tak? Senang staf lelaki kami nak pergi solat Jumaat.”
Rupanya, lokasi untuk menunaikan solat berada tidak jauh dari pusat beli-belah tersebut. Malah, ia boleh dikunjungi dengan berjalan kaki kerana terletak di seberang jalan di hadapan mall.
Perkara itu membuatkan Adam berasa lega, lebih-lebih lagi restoran berkenaan bakal beroperasi tidak lama lagi.

Bagi pelakon itu, menjalankan perniagaan bukan semata-mata soal mengejar keuntungan. Sebaliknya, aspek keberkatan dan tanggungjawab terhadap pekerja serta orang di sekeliling juga perlu diberi perhatian.
“Bagi saya, bila kita buat bisnes, memang kita nak untung. Tapi dalam mengejar keuntungan, jangan lupa kita juga mencari keberkatan,” kongsinya.
Menurutnya, seseorang pemilik perniagaan mempunyai tanggungjawab terhadap perniagaan, pekerja dan masyarakat di sekeliling. Namun yang paling utama, katanya, adalah tanggungjawab kepada Allah SWT.
Adam kemudian menitipkan satu pesanan mengenai makna rezeki yang menurutnya tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah keuntungan semata-mata.
“Rezeki bukan sekadar berapa banyak yang masuk. Semoga setiap usaha yang kita bina, ada keberkatan di dalamnya,” katanya lagi.
Warga maya memuji langkah diambil Adam Corrie dalam memilih lokasi perniagaan

Gambar dikongsikan warga maya: Surau di The Curve (kiri), menu di cafe KOPIHUT Adam Corrie (kanan).
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian warga maya yang rata-rata memuji cara Adam mengambil kira keperluan solat ketika merancang perniagaannya.
Ada yang menganggap pemikiran sedemikian sebagai sesuatu yang wajar dicontohi, khususnya apabila melibatkan kebajikan dan kemudahan pekerja.
Malah, beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman mereka mengenai surau di The Curve yang disifatkan selesa, bersih dan mesra OKU.
Ada juga yang mengambil kesempatan berkongsi pengalaman menikmati makanan di beberapa cawangan lain KOPIHUT, selain mengucapkan tahniah dan mendoakan agar perniagaan Adam dipermudahkan serta berjaya.
“Alhamdulillah, hari itu first time makan dekat KOPIHUT Kajang, mee kari with fried wantan sedapnyaaa! Kuah pekat dan berasa, memang confirm singgah lagi lepas ini,” Afiq.
Dalam pada itu, perkongsian Adam turut mengingatkan bahawa aspek kecil seperti lokasi surau mungkin nampak remeh ketika memilih premis perniagaan.
Namun, bagi pekerja Muslim, kemudahan untuk menunaikan solat dengan mudah boleh memberi nilai yang jauh lebih besar dalam rutin bekerja. Apatah lagi apabila pemilik perniagaan sendiri sudah mengambil kira perkara tersebut sebelum restoran dibuka.
Semoga usaha baharu yang bakal dimulakan Adam Corrie bersama pasukannya bukan sahaja berjalan lancar, malah membawa rezeki dan keberkatan seperti yang diharapkannya.
Sumber: Threads @adamcorrielee
