Perkhidmatan e-hailing bukan sahaja menemukan pemandu dengan pelbagai ragam penumpang, malah kadangkala membawa mereka bertemu individu yang tidak disangka-sangka. Begitulah pengalaman seorang pemandu e-hailing apabila mengetahui penumpangnya merupakan Profesor Emeritus Ar. Hijjas Kasturi, antara tokoh penting dalam dunia seni bina Malaysia.
PEMANDU E-HAILING TAK SANGKA BAWA BAPA SENI BINA NEGARA, HIJJAS KASTURI

Gambar UiTM: Profesor Emeritus Ar. Hijjas Kasturi
Kisah itu dikongsikan seorang pemandu e-hailing menerusi hantaran Threads @muhammadamirulzahari yang tular di media sosial.
Menurut Amirul, dia pada mulanya langsung tidak mengetahui identiti lelaki berkenaan ketika mengambilnya bersama isteri di sebuah stesen KTM.
Tak sangka penumpang rupanya tokoh seni bina
Menerusi perkongsian tersebut, Amirul berkata dia mengambil pasangan berkenaan pada Isnin, 10 Ogos lalu, sekitar jam 8.30 malam selepas mereka pulang daripada bercuti.
Walaupun melihat pasangan itu berpenampilan kemas dan kelihatan seperti orang berada, perkara yang lebih menarik perhatiannya ialah cara mereka berinteraksi.
Katanya, kedua-duanya sangat merendah diri dan sopan ketika berurusan dengannya.
Malah, apabila Amirul terpaksa meletakkan keretanya agak jauh kerana tidak menemui tempat untuk meletak kenderaan, pasangan tersebut tidak merungut.
Sebaliknya, mereka beberapa kali meminta maaf sebelum berjalan bersama Amirul ke kereta sambil membawa bagasi sendiri.
“Cara mereka berinteraksi sangatlah humble dan polite. Aku terpaksa parking jauh sebab tak ada parking. Mereka tak ada cakap apa-apa, hanya minta maaf berkali-kali dan ikut saja aku ke kereta sambil sorong luggage. Aku pun pelik, patutnya aku yang minta maaf,” kongsinya.

Gambar rimbundahan.org
Sepanjang perjalanan pula, Amirul berkata perbualan mereka berlangsung secara santai tanpa sebarang perkara yang membuatkan dia berasa kekok. Malah, lelaki berkenaan hanya bertanyakan kepadanya sama ada dia berasal dari kawasan sekitar.
Amirul turut menyifatkan pasangan itu sebagai sangat lemah lembut ketika bercakap.
Dalam nada berseloroh, dia berkata sekiranya mengetahui lebih awal bahawa lelaki tersebut merupakan seorang arkitek terkenal, sudah tentu banyak perkara ingin ditanyakannya.
“Kalau aku tahu dia arkitek terkenal, memang aku dah tanya macam mana nak design bangunan Avengers,” selorohnya pula.
Rumah disangka resort, baru sedar siapa penumpang dibawa
Perkara yang membuatkan Amirul mula berasa pelik berlaku ketika mereka hampir tiba di destinasi. Melihat kediaman pasangan itu yang begitu besar, dia pada mulanya menyangka lokasi tersebut merupakan sebuah resort.
Namun sangkaannya meleset apabila pasangan berkenaan memberitahu bahawa tempat tersebut sebenarnya rumah mereka.
“Sampailah nak drop mereka di lokasi, aku tanya ‘ni resort ke?’ Sebab besar dia lain macam. Both of them jawab, ‘Ehh tak, this is our house.’,” kongsinya lagi.

Gambar IG Rimbun Dahan: Rumah Penang
Menurut Amirul, lelaki berkenaan turut berkongsi bahawa mereka pernah menganjurkan program melukis untuk kanak-kanak di kawasan tersebut.
Ketika itu, barulah timbul persoalan dalam fikirannya bahawa pasangan yang dibawanya mungkin bukan individu biasa. Lebih membuatkannya terkejut, lelaki berkenaan turut membantunya mengeluarkan bagasi selepas tiba di rumah.
Selepas selesai bekerja, Amirul kemudian membuat carian di Google sebelum mengetahui bahawa penumpangnya ialah seorang tokoh arkitek yang sangat dihormati di Malaysia.
Amirul berkata, dia berkongsi pengalaman tersebut kerana terkesan dengan sikap rendah diri dan kesopanan pasangan berkenaan.
Malah, dia menegaskan bahawa dirinya tetap berasa senang hati menerima mereka sebagai pelanggan walaupun dia tidak mengetahui siapa mereka sebelum itu.
Bagi Amirul, pengalaman tersebut bukan sekadar tentang membawa seorang pelanggan yang terkenal.
Sebaliknya, dia melihatnya sebagai satu peringatan bahawa seseorang yang mempunyai kedudukan dan pencapaian hebat tetap boleh memilih untuk melayan orang lain dengan penuh hormat.
Malah, pengalaman tersebut menjadi satu kenangan istimewa kerana tanpa disedari, dia berpeluang membawa seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia seni bina Malaysia.
Warganet turut kagum dengan keperibadian orang hebat

Gambar IG Rimbun Dahan: Rumah Uda Manap
Hantaran berkenaan kemudian mendapat perhatian ramai pengguna Threads dan telah meraih lebih 8,000 tanda suka.
Di ruangan komen, rata-rata warganet turut memuji sikap pasangan tersebut yang dikatakan tetap merendah diri walaupun mempunyai kedudukan dan latar belakang yang hebat.
Ada juga pengguna yang mendakwa pernah bekerja dengan Hijjas dan berkongsi pengalaman masing-masing mengenai keperibadiannya, “Bekas bos saya, sangat gentleman. Kalau naik lif pun dia tahan lif bagi kami pekerja ni masuk dulu.”
Seorang lagi mendakwa kediaman Hijjas, Rimbun Dahan di Kuang, Sungai Buloh, sering dibuka kepada orang ramai menerusi program hari terbuka.
Tidak kurang juga yang kagum apabila mengetahui pasangan tersebut masih menggunakan pengangkutan awam.
SIAPA SEBENARNYA PROFESOR INI?
Hijjas Kasturi merupakan antara nama yang cukup berpengaruh dalam perkembangan seni bina moden Malaysia dan sering dikaitkan sebagai antara pelopor penting bidang tersebut.
Sepanjang kerjayanya, beliau yang juga membawa gelaran Bapa Seni Bina Negara Malaysia terlibat dalam penghasilan pelbagai karya seni bina ikonik yang menjadi sebahagian daripada landskap negara.
Antaranya termasuk Menara Maybank, Menara Telekom yang turut dikenali sebagai Menara Rebung dan Kompleks Haji Sepang.
Beliau juga pernah menerima pelbagai pengiktirafan dalam bidang seni bina di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Gold Medal Award daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia serta Pingat Presiden oleh Lembaga Arkitek Malaysia pada 2023.
Lihat siaran ini di Instagram
Sumber: Threads @muhammadamirulzahari
FT Image: Threads @muhammadamirulzahari
