Euforia Bola 2026
40 Minggu

Isu Panas Doktor Lelaki Nak Lihat, Sentuh Berlapik Kemaluan Wanita Untuk Bersalin… Ini Hukumnya!

doktor lelaki

Ramai bakal ibu mungkin pernah tertanya-tanya tentang keadaan apabila terpaksa mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki, terutama ketika proses bersalin yang memerlukan pemeriksaan pada bahagian aurat.

Baca juga: Ini 3 Doa Yang Dirakam Dalam Al-Quran… Bukan Sekadar Anak Soleh, Tapi Juga Berpotensi Hebat!

HUKUM DOKTOR LELAKI MELIHAT/MENYENTUH (BERLAPIK) KEMALUAN WANITA YANG MAHU BERSALIN

doktor lelaki

Gambar hiasan: Gemini AI

Menurut perkongsian Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, hukum asal lelaki melihat atau menyentuh kemaluan wanita adalah diharamkan, termasuk ketika proses kelahiran jika keadaan tersebut tidak mencapai tahap darurat.

Bagaimanapun, terdapat keadaan tertentu yang membolehkan doktor lelaki menjalankan pemeriksaan atau rawatan terhadap wanita bersalin.

Bila doktor jantina lelaki dibenarkan?

Menurut penjelasan tersebut, kelonggaran diberikan sekiranya terdapat keperluan yang berkaitan dengan keselamatan nyawa atau tiada pilihan doktor pakar wanita.

Antara keadaan yang dinyatakan ialah apabila wanita terbabit mempunyai masalah kesihatan yang boleh memudaratkan nyawa, kekurangan doktor pakar wanita serta kekangan kewangan suami untuk mendapatkan pilihan lain.

Dalam situasi tersebut, doktor lelaki dibenarkan melihat atau menyentuh bahagian berkenaan dengan berlapik mengikut kadar yang diperlukan untuk rawatan. Ia juga disarankan supaya ditemani suami, mahram atau sekumpulan wanita yang dipercayai seperti doktor wanita atau pembantu perubatan.

Penjelasan itu turut menyebut keadaan tersebut tidak dianggap sebagai dayus, khususnya apabila ia melibatkan kemaslahatan nyawa, kepakaran perubatan dan kemampuan kewangan yang terhad.

Baca juga: Bukan Hanya Siti Khadijah, Kenali 11 Isteri & 7 Anak Rasulullah SAW.. Ini Nama Yang Dicatat Dalam Sirah

Aurat tetap perlu dijaga mengikut keperluan

Walaupun terdapat kelonggaran dalam keadaan tertentu, ia bukan bermaksud aurat boleh didedahkan tanpa batas. Sebaliknya, prinsip yang digunakan ialah keperluan tersebut hendaklah sekadar kadar yang diperlukan.

Antara kaedah fiqh yang dirujuk ialah:

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya: Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara yang asalnya haram

Harus memandang aurat kerana darurat (keperluan) ketika dalam perubatan. (jika tiada doktor pakar wanita)

الضرورة تقدر بقدرها

Maksudnya: “Darurat itu mengikut kadar Keperluannya.” (hanya memandang/menyentuh [berlapik] bahagian kemaluan yang perlu dirawat dan menutup aurat di bahagian lain)

حفظ النفس على مصلحة ستر العورة عند التعارض

Maksudnya: “Mendahulukan maslahat menyelamatkan nyawa daripada maslahat menjaga aurat jika kedua maslahat itu bertentangan.” (aurat perlu dijaga tetapi jika melihat/menyentuh kemaluan wanita itu diperlukan kerana kekurangan doktor pakar wanita, maka doktor pakar lelaki boleh melihatnya/menyentuh [berlapik], didahulukan maslahat nyawa daripada maslahat aurat)

Didalam Kitab Kifayatul Akhyar disebutkan:

واعلم أن أصل الحاجة كان في النظر إلى الوجه واليدين ، وفي النظر إلى بقية الأعضاء يُعتبر تأكّد الحاجة ، وفي النظر إلى السوأتين يُعتبر مزيد تأكُّد الحاجة . ولذلك لا بدّ من التشديد البالغ في مثل حالات التوليد وختان الإناث اليافعات

“Ketahuilah bahawa keperluan yang sangat mendasar untuk dilihat adalah wajah dan dua telapak tangan. Adapun bahagian-bahagian tubuh lainnya hanya boleh dilihat sesuai dengan kadar keperluan, terutama alat kelamin vital. Oleh sebab itu hal ini sangat perlu dijaga, terutama pada saat membantu kelahiran bayi dan mengkhitan anak perempuan yang mula dewasa.” (Syaikh Taqiyuddin Abu Bakar Muhammad al-Hishni al-Husaini, Kifayatul Akhyar)

Galakkan lebih ramai doktor wanita

doktor lelaki

Dalam penjelasan itu, pihak Kementerian Kesihatan turut disarankan supaya memperbanyakkan kepakaran doktor wanita pada masa akan datang, khususnya bagi membantu menguruskan kelahiran bayi Muslim.

Langkah berkenaan dilihat sebagai satu usaha untuk menjaga maruah dan keselesaan pesakit wanita ketika mendapatkan rawatan.

Para suami pula digalakkan membuat persediaan dari segi kewangan serta memilih tempat yang selesa untuk isteri mendapatkan rawatan dan melahirkan anak.

Dalam masa sama, persoalan berkaitan rawatan ketika bersalin perlu dilihat berdasarkan keadaan sebenar pesakit, keperluan perubatan dan pilihan yang tersedia, bukannya semata-mata berdasarkan jantina doktor.

  1. Jawatankuasa Penyelidik Isu-Isu Kontemporari Islam Negeri Sembilan (JPIKINS)
  2. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (JMKNNS)

Sumber: Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×