Setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak membesar menjadi insan yang baik, berakhlak dan membawa kebahagiaan kepada keluarga. Selain usaha mendidik mereka, doa untuk zuriat juga boleh diamalkan sebagai tanda pengharapan kepada Allah SWT.
Menariknya, al-Quran merakamkan beberapa doa berkaitan zuriat yang bukan sekadar memohon anak yang soleh, tetapi turut meminta agar keturunan menjadi penyejuk hati dan dipenuhi kebaikan.
DOA UNTUK ZURIAT SOLEH & BERPOTENSI HEBAT

Gambar hiasan: Gemini AI
Berikut tiga doa yang boleh dijadikan amalan ibu dan ayah.
1. Mohon zuriat yang soleh
Doa Nabi Ibrahim AS dalam Surah al-Saffat, ayat 100 cukup ringkas tetapi mempunyai makna yang besar:
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang-orang yang soleh.”
Doa ini merupakan permohonan Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat yang soleh. Ia boleh diamalkan oleh pasangan yang mengharapkan cahaya mata, selain ibu bapa yang mahu mendoakan kebaikan anak-anak mereka.
2. Agar zuriat menjadi penyejuk hati
Seterusnya, Surah al-Furqan ayat 74 merakamkan doa yang cukup popular dalam kalangan ibu bapa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.”
Doa ini bukan hanya memohon anak yang baik, tetapi juga memohon agar pasangan dan zuriat menjadi penyejuk hati serta menjadikan diri sendiri contoh kepada orang yang bertakwa.
3. Agar kebaikan ada dalam zuriat
Satu lagi doa yang sangat menarik ialah ayat daripada Surah al-Ahqaf, ayat 15:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam.”
Antara bahagian paling menarik dalam doa ini ialah permintaan:
“dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.”
Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa ayat ini merupakan doa yang boleh dibaca, khususnya berkaitan permohonan agar Allah SWT memperbaiki dan memberikan kebaikan kepada zuriat.
Malah, doa ini turut mengingatkan ibu bapa bahawa kebaikan anak tidak boleh dipisahkan daripada usaha memperbaiki diri sendiri.
Sebelum meminta anak menjadi baik, kita juga memohon kepada Allah SWT supaya diberikan kekuatan untuk bersyukur dan melakukan amal soleh yang diredai-Nya.
Baca juga: Amalkan Satu Doa Ringkas Ini Tapi Besar Impaknya, Buat Anak Rajin Mendirikan Solat!
DOA BERSAMA USAHA MENDIDIK ANAK

Gambar hiasan: Gemini AI
Ketiga-tiga doa ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap zuriat bukan sekadar tentang kejayaan duniawi.
Sebaliknya, ibu bapa boleh memohon agar anak menjadi insan soleh, penyejuk hati dan mempunyai sifat-sifat kebaikan.
Pada masa sama, doa perlu disertai usaha mendidik, memberikan contoh yang baik dan membimbing anak dengan penuh kasih sayang.
Jadi, tidak kira anak masih kecil atau sudah dewasa, doa-doa daripada al-Quran ini boleh terus diamalkan sebagai ikhtiar memohon kebaikan buat zuriat dan keturunan.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan (1) (2) / Zulkifli Al-Bakri
