Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, ibu bapa boleh mengamalkan doa untuk anak yang dikongsikan ini agar mereka diberikan ketenangan hati dan kemudahan menjawab setiap soalan peperiksaan dengan baik.
Selain usaha dan persediaan yang rapi, doa juga menjadi salah satu ikhtiar untuk memohon pertolongan serta keberkatan daripada Allah SWT.
Baca juga: Waris Pesara Kerajaan Boleh Tuntut RM3,000 Selepas Kematian, Ini Cara Mohon Bantuan Mengurus Jenazah
DOA UNTUK ANAK HADAPI PEPERIKSAAN, IBU AYAH BACA INI

Antara amalan yang boleh dilakukan adalah dengan memohon pertolongan Allah SWT melalui doa yang menyebut nama-nama-Nya yang indah menerusi rangkaian Asmaul Husna.
Antara doa yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk memohon agar anak-anak diberikan kemudahan sepanjang peperiksaan adalah seperti berikut:
1. Memohon kefahaman dan kebijaksanaan
Allahumma Ya Alim, Ya Hakim, Ya Roshid.
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Memberi Petunjuk.
Kurniakanlah kepada anak-anak kami keberkatan dan kefahaman terhadap ilmu yang dipelajari, kebijaksanaan untuk menjawab setiap soalan dengan betul serta kecerdasan untuk menyelesaikan kertas peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan.
2. Memohon ketenangan hati dan kelapangan dada
Allahumma Ya Baasit.
Wahai Allah Yang Maha Melapangkan, lapangkanlah dada anak-anak kami agar mereka berasa tenang ketika berada di dewan peperiksaan dan diberikan kejelasan fikiran ketika membaca setiap soalan.
3. Memohon kesihatan dan kesejahteraan
Allahumma Ya Salam, Ya Mu’min.
Wahai Allah Yang Maha Sejahtera dan Yang Maha Memberi Keamanan, kurniakanlah kesihatan yang baik serta lindungilah anak-anak kami sepanjang tempoh peperiksaan ini.
4. Mohon perlindungan daripada kelalaian dan kegelisahan
Allahumma Ya Mani’.
Wahai Allah Yang Maha Mencegah, jauhkanlah anak-anak kami daripada penyakit lupa, kelalaian, kecuaian, waswas, keresahan, kelemahan semangat dan ketakutan yang berlebihan.
Doa Rasulullah SAW moohon kefahaman ilmu

Selain doa melalui rangkaian Asmaul Husna, ibu bapa dan pelajar juga boleh mengamalkan doa yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA.
Rasulullah SAW pernah mendoakan Ibnu Abbas RA agar diberikan kefahaman dalam agama dan ilmu takwil.
فَقَالَ: اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kepadanya kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.”
Doa ini diriwayatkan dalam hadis Ahmad dan boleh dijadikan peringatan tentang kepentingan memohon ilmu serta kefahaman daripada Allah SWT.
Sebagai penutup, ibu bapa boleh memohon agar peperiksaan yang bakal ditempuh menjadi salah satu jalan untuk anak-anak terus memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Ra’uf, Ya Karim.
Jadikanlah peperiksaan ini sebagai medan untuk anak-anak kami dan kami menjadi hamba-Mu serta khalifah-Mu di bumi. Semoga kecemerlangan dalam peperiksaan membawa kami lebih dekat kepada-Mu.
Baca juga: Waktu Zuhur Dah Masuk Tapi Belum Bertolak Balik Kampung, Boleh Ke Solat Jamak & Qasar Di R&R?
Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun
