Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa waris pesara kerajaan boleh memohon Bantuan Mengurus Jenazah (BMJ) sebanyak RM3,000 sekiranya berlaku kematian pesara.
Bantuan berkenaan disediakan bagi membantu meringankan beban kos pengurusan jenazah yang perlu ditanggung oleh waris atau pihak yang menguruskan jenazah.
Baca juga: “Dia Tetap Khalisa Yang Sama” – Azmi Saat Kongsi Anak Disahkan Autisme, Akui Air Mata Mengalir..
PESARA KERAJAAN BOLEH MOHON BANTUAN MENGURUS JENAZAH RM3000

Menurut Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), BMJ merupakan salah satu kemudahan yang boleh dituntut apabila berlaku kematian pesara kerajaan yang layak.
Kadar BMJ yang ditetapkan adalah sebanyak RM3,000 dan bayaran hanya dibuat sekali bagi setiap kematian pesara.
Kemudahan ini terpakai kepada pesara kerajaan di bawah Skim Pencen dan juga pesara yang memilih Skim KWSP, tertakluk kepada syarat serta ketetapan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, BMJ ini khusus bagi kematian pesara dan tidak terpakai sekiranya yang meninggal dunia ialah pasangan, balu, duda atau anak kepada pesara.
Bagi pesara yang telah bersara, urusan tuntutan BMJ dikendalikan oleh KWAP. Ini termasuk tuntutan berkaitan pesara Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Badan Berkanun yang berada di bawah pengurusan perkhidmatan persaraan.
Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah tempoh permohonan. Tuntutan BMJ hendaklah dikemukakan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kematian pesara.
Cara membuat tuntutan BMJ

Waris atau individu yang menguruskan jenazah secara sah perlu melengkapkan borang permohonan BMJ yang ditetapkan.
Pemohon juga perlu menyediakan dokumen sokongan yang diperlukan, antaranya salinan sijil kematian, salinan kad pengenalan individu yang menguruskan jenazah serta dokumen yang membuktikan hubungan dengan pesara, bergantung kepada keadaan tuntutan.
Permohonan yang lengkap boleh dikemukakan kepada KWAP melalui e-mel [email protected] dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi KWAP di talian 03-8887 8777.
Maklumat mengenai BMJ ini wajar diketahui oleh keluarga pesara kerajaan supaya waris tidak terlepas peluang mendapatkan bantuan yang sememangnya disediakan bagi meringankan urusan ketika berdepan kehilangan insan tersayang.
Baca juga: Wang Jualan ‘Acik’ Kantin RM749 Lesap! CCTV Bongkar Pelajar Tingkatan 2 Ambil Duit
Sumber: KWAP Malaysia
