Kes tikam Bandar Utama kembali menjadi perhatian selepas alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam mendedahkan kronologi kejadian yang mengorbankan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pada tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abdul Majid berkata, remaja lelaki berusia 15 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan selepas mengaku mempunyai perasaan terhadap mangsa.
Baca juga: Rezeki Tak Pernah Salah Alamat, Ibu Imani Terima RM30,000 & Sebuah Rumah Dari Vain Liew
KES TIKAM BANDAR UTAMA, PELAKU MENYAKUI SUKA MANGSA

Perkara itu dinyatakan dalam alasan penghakiman Hakim Adlin Abdul Majid berhubung keputusan mahkamah pada 14 September lalu yang melepaskan dan membebaskan remaja berkenaan daripada pertuduhan membunuh atas alasan tidak waras.
Menurut alasan penghakiman, remaja terbabit dilaporkan mula mengagumi beberapa individu yang terlibat dalam kes jenayah terkenal di luar negara, termasuk dua pelaku tragedi tembakan di Columbine High School, Amerika Syarikat pada 1999.
Dia dipercayai mengenal pasti dirinya dengan individu berkenaan kerana merasakan mereka pernah melalui pengalaman dibuli dan terasing daripada masyarakat, selain mempunyai keinginan untuk mendapatkan pengiktirafan.
“Dia seterusnya membaca secara mendalam mengenai pesalah lain yang serupa dan merujuk mereka sebagai idola atau contoh teladan, selain menulis nama mereka dalam Buku Nota Death Note,” katanya.
Nama rakan sekolah ditulis dalam buku Death Note

Dalam tempoh tersebut, remaja berkenaan turut membeli sebuah buku nota yang dikaitkan dengan Death Note.
Empat nama rakan sekolahnya kemudian ditulis dalam buku terbabit, termasuk nama pelajar perempuan yang menjadi mangsa dalam kes berkenaan.
Mahkamah sebelum ini mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan unsur ketidakwarasan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan ketika kejadian berlaku.
Susulan keputusan itu, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja berkenaan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani rawatan psikiatri bagi tempoh yang akan ditentukan dengan perkenan Sultan Selangor.
Peguam bela, Kitson Foong sebelum ini memaklumkan bahawa pembelaan berjaya membuktikan keadaan ketidakwarasan dari sudut perubatan dan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut menerima keterangan pakar psikiatri bahawa remaja berkenaan mengalami keadaan mental serius yang menyebabkan psikosis ketika kejadian.
Kes tersebut sebelum ini melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas remaja berkenaan didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada 14 Oktober 2025.
Baca juga: 8.4 Juta Rakyat Malaysia Belum Kahwin, “Siapa Nak Jaga Bila Tua?” Jadi Perdebatan Netizen
Sumber: Berita Harian & Harian Metro
