Baru berusia lima tahun, gimnas cilik Malaiqa An Noura sudah mencipta kenangan manis apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas untuk Malaysia dalam pertandingan gimnastik berirama di Korea Selatan.
Malaiqa menyertai Shine Cup International Rhythmic Gymnastics Competition 2026 dalam kategori Under 6, yang turut menjadi penyertaan antarabangsa pertamanya.
GIMNAS CILIK, MALAIQA USIA 5 TAHUN RAIH EMAS

Menurut ibunya, Intan Liyana, anaknya pada awalnya berdepan rasa gementar kerana pertama kali menyertai pertandingan di negara asing.
Namun, perasaan itu tidak menghalang Malaiqa daripada memberikan persembahan terbaik sehingga berjaya meraih dua pingat emas selain mencatatkan skor peribadi tertinggi.
Lebih menyentuh hati, sebelum berangkat ke Korea, Malaiqa sudah menyatakan hasratnya untuk memenangi pingat emas bukan untuk dirinya sendiri, sebaliknya mahu membawa kejayaan tersebut pulang untuk Malaysia.
“Before we left Malaysia, she told me, ‘I want to win Golds for Malaysia, Mommy. Not for myself,” luahnya.
Hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Malaiqa berjaya membawa pulang dua pingat emas sebagai buah tangan istimewa buat negara.
Intan berkata, pencapaian tersebut bukan semata-mata tentang skor yang diraih, sebaliknya perkembangan positif anaknya sepanjang menyertai pertandingan.
Menurutnya, dia berasa bangga melihat Malaiqa semakin berani, kuat dan yakin setiap kali menyertai pertandingan.
“Walaupun nervous being at a different country for the first time, somehow she even managed to beat her own personal high score,” tulisnya.
Momen yang bermakna buat keluarga

Intan turut mengenang bagaimana anaknya sebelum ini merupakan seorang kanak-kanak yang mudah menangis ketika pertama kali menyertai pertandingan.
Namun, melihat senyuman Malaiqa selepas selesai melakukan rutin kali ini menjadi satu momen yang cukup bermakna buat keluarganya.
Pencapaian Malaiqa di Korea menjadi satu lagi langkah dalam perjalanan seninya sebagai gimnas cilik, selain memperlihatkan keberanian dan keyakinan yang semakin berkembang pada usia muda.
Dua pingat emas itu bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi buat Malaiqa, malah menjadi kenangan istimewa apabila impian kecilnya untuk membawa pulang emas buat Malaysia akhirnya tercapai.
Baca juga: Viral ‘Baby MAHA 2026’, Si Kecil Diberi Nama Ahmad Madani Terima Kunjungan Istimewa Mat Sabu!
Sumber: Intan Liyana
