Penyanyi Azmi Saat berkongsi di laman Facebook mengenai anaknya, Khalisa, disahkan berada dalam spektrum autisme. Dia dan isteri mula menyedari terdapat beberapa perkara yang berbeza dalam perkembangan Khalisa ketika anak mereka itu berusia kira-kira setahun setengah.
Baca juga: Bapa Nak Nama Lain, Ibu Pula Dah Berkenan Nama Sendiri… Dalam Islam Siapa Berhak Tentukan?
ANAK AZMI SAAT DISAHKAN SPEKTRUM AUTISME

Menurutnya, perkara itu lebih ketara dari segi komunikasi serta beberapa aspek perkembangan lain. Si isteri yang mempunyai diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak turut menyedari keadaan tersebut dan berpendapat perkembangan Khalisa perlu diberi perhatian.
Sejak itu, mereka mula mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan anak selain membawa Khalisa menjalani terapi cara kerja dan menyertai Program Intervensi Awal (EIP).
Azmi berkata, walaupun mereka sentiasa mengharapkan perkembangan terbaik buat Khalisa, dia dan isteri menyedari perkembangan anak mereka agak perlahan berbanding kanak-kanak seusianya, khususnya dalam aspek komunikasi.
Selepas sekian lama menunggu, mereka akhirnya menerima jawapan daripada doktor apabila Khalisa disahkan berada dalam spektrum autisme.
Menurut Azmi Saat, dia dan isteri sebenarnya sudah agak bersedia dengan kemungkinan tersebut selepas banyak membaca, bertanya dan cuba memahami mengenai autisme.
“Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua. Bukan kerana kami tidak boleh menerima Khalisa. Dia tetap Khalisa yang sama sebelum dan selepas kami keluar dari bilik doktor itu. Cuma sebagai ibu bapa, macam-macam perkara tentang masa depannya bermain dalam fikiran,” katanya.
Azmi mengakui sebagai ibu bapa, mereka pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang lebih mudah.
Mahu terus belajar & beri sokongan

Dalam perkongsian sama, Azmi berkata diagnosis tersebut turut memberikan mereka arah yang lebih jelas untuk membantu perkembangan Khalisa.
Mereka kini mengetahui perkara yang perlu dipelajari, bantuan yang mungkin diperlukan serta perkara yang perlu diubah sebagai ibu bapa bagi menyokong anak mereka.
Azmi turut menjelaskan perkongsian tersebut bukan dibuat untuk meraih simpati, sebaliknya sebagai satu cara untuk berkongsi pengalaman dengan ibu bapa lain yang mungkin sedang melalui situasi sama.
Katanya, ibu bapa kadangkala terlalu berharap anak membesar mengikut apa yang dibayangkan sehingga terlupa untuk memahami keperibadian dan kemampuan anak masing-masing.
“Hari ini, Khalisa masih Khalisa yang sama. Cuma Ibu dan ayah sekarang perlu belajar lebih banyak untuk masuk ke dalam dunianya. Insya-Allah, kita belajar sama-sama, ya sayang. Doakan perjalanan kami dipermudahkan,” luahnya.
Sumber: Facebook Azmi Saat
