Apabila merancang perjalanan jauh untuk pulang ke kampung atau bercuti, ada kalanya waktu Zuhur sudah masuk ketika kita masih berada di rumah. Situasi ini mungkin menimbulkan persoalan sama ada seseorang masih dibenarkan menunaikan solat jamak dan qasar selepas memulakan perjalanan.
Baca juga: Bayi 10 Bulan Meninggal Dunia Sebelum Tiba Di Klinik, Pengasuh Ditahan Bantu Siasatan
SOLAT JAMAK DAN QASAR SEBELUM PULANG KAMPUNG

Menerusi perkongsian di media sosial, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan bahawa menurut pendapat muktamad Mazhab Syafi‘i, seseorang yang memulakan perjalanan selepas masuk waktu solat masih boleh melakukan jamak dan qasar apabila memenuhi syarat-syarat musafir yang ditetapkan syarak.
1. Boleh qasar walaupun waktu solat sudah masuk di rumah
Menurut penjelasan tersebut, waktu solat yang telah masuk ketika seseorang masih berada di rumah tidak menghalangnya daripada menunaikan solat secara qasar selepas benar-benar memulakan perjalanan sebagai musafir.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 101 yang menerangkan keharusan memendekkan solat ketika bermusafir.
Imam Abu al-Husain al-‘Imrani turut menjelaskan dalam kitab al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i bahawa perkara yang diambil kira ialah keadaan seseorang ketika menunaikan solat, bukannya semata-mata ketika kewajipan solat bermula.
Bagaimanapun, rukhsah tersebut hanya terpakai selepas seseorang keluar daripada kawasan permukiman tempat tinggalnya, bukan sebaik sahaja melangkah keluar dari rumah.
2. Boleh Jamak Takdim Zuhur dan Asar di R&R
Sebagai contoh, waktu Zuhur masuk pada jam 1.15 tengah hari ketika seseorang masih berada di rumah. Dia kemudian bertolak pada jam 2 petang untuk perjalanan sejauh 200 kilometer dan berhenti di R&R yang terletak di luar kawasan permukiman asal pada jam 2.45 petang.
Dalam keadaan ini, dia dibenarkan menunaikan solat Zuhur dua rakaat, diikuti solat Asar dua rakaat secara jamak takdim dan qasar.
Namun, syarat jamak takdim perlu dipenuhi, termasuk mendahulukan solat Zuhur, berniat jamak dalam solat pertama dan menunaikan kedua-dua solat secara berturut-turut.

3. Jamak takhir
Jamak takhir juga dibenarkan dengan syarat seseorang berniat untuk melaksanakannya selepas keluar daripada kawasan permukiman dan ketika sudah berada dalam keadaan musafir.
Contohnya, seseorang boleh berniat untuk menunaikan solat Zuhur bersama Asar dalam waktu Asar selepas memulakan perjalanan dan keluar dari kawasan permukiman.
Walau bagaimanapun, jika dia sudah tiba di rumah atau tempat yang menamatkan status musafir sebelum menunaikan solat, rukhsah qasar tidak lagi terpakai seperti ketika bermusafir.
Oleh itu, seseorang yang ingin menggunakan kemudahan jamak dan qasar perlu memastikan perjalanan dan keadaan dirinya benar-benar memenuhi syarat yang ditetapkan syarak.
Sumber: Ustazah Asma Harun
