Kehadiran sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, terutama melibatkan keselamatan kanak-kanak.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Mel Majilir meluahkan kebimbangan selepas mendakwa terdapat kira-kira 19 ekor anjing liar berada di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) tempat tinggalnya.
Baca juga: Semakan Keputusan Prasekolah KPM 2027 Dibuka Mulai 5 Ogos! Ini Cara Semak & Buat Rayuan
SEKUMPULAN ANJING LIAR BERKELIARAN DI KAWASAN PERUMAHAN

Menurutnya, sebanyak 13 ekor anjing liar dilihat dalam satu rakaman video yang dikongsikan, manakala enam ekor lagi dikatakan lahir baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan semakin bertambah.
Dalam perkongsian tersebut, Mel meminta orang ramai supaya tidak menyamakan situasi anjing liar dengan anjing peliharaan yang dijaga dengan baik.
Menurutnya, isu berkenaan bukan berkaitan soal agama atau hukum halal dan haram, sebaliknya lebih kepada faktor keselamatan penduduk.
Katanya, kehadiran anjing liar yang tidak terkawal boleh mendatangkan risiko, termasuk kemungkinan serangan atau gigitan yang boleh membahayakan nyawa sekiranya haiwan terbabit dijangkiti penyakit seperti rabies.
Seru pencinta haiwan ambil tindakan

Mel turut menyeru pencinta haiwan yang berminat untuk membantu supaya tampil mengambil dan menjaga anjing-anjing liar tersebut dengan cara yang sesuai.
Dia turut memaklumkan lokasi boleh diberikan melalui mesej peribadi kepada pihak yang ingin membantu.
Perkongsian itu mendapat perhatian warga maya yang turut memberikan pelbagai pandangan berkaitan isu pengurusan haiwan terbiar, termasuk kepentingan memastikan keselamatan komuniti dan kebajikan haiwan terpelihara.
Dalam menangani isu haiwan liar, tindakan seperti kawalan populasi, penempatan semula serta pengurusan oleh pihak berkaitan penting bagi mengelakkan risiko kepada penduduk selain memastikan haiwan terbabit tidak terabai.
Baca juga: Trend Susukan Anak & Selfie Di Tempat Awam Jadi Isu, Ramai Kata Perbuatan Tak Manis… Apa Kata Islam?
Sumber: Facebook Mel Majilir
