Euforia Bola 2026
Famili

Rebah Ketika Makan Tanpa Sebab, Mak Meninggal Secara Mengejut — “Hari Itu, Aku Rasa Aku Juga ‘Mati’”

KEHILANGAN IBU

Pemergian insan tersayang secara mengejut bukan sahaja meninggalkan luka, malah mengubah seluruh kehidupan. Itulah yang dilalui oleh seorang anak, Farra Natasya Binti Md Zabri apabila kehilangan ibu, Zalilah Binti Yacob yang meninggal dunia secara tiba-tiba ketika sedang makan.

Baca juga: ‘Last Ride’ Lagi Satu Jam Sampai Rumah – Pengorbanan Ulang Alik 700KM Demi Isteri Anak Jadi Tragedi

KEHILANGAN IBU KETIKA PERGI KENDURI, MENINGGAL MENGEJUT WAKTU MAKAN

KEHILANGAN IBU

Menurut Farra, hubungannya dengan arwah ibu sangat rapat, bukan sahaja sebagai anak dan ibu, tetapi juga seperti sahabat. Ke mana sahaja, mereka sering bersama. Malah adik-beradik lain juga menjadikan ibu sebagai teman paling dekat dalam kehidupan seharian.

“Mak memang tempat kami semua bergantung. Kami memang berkawan dengan mak, bukan sekadar anak dengan ibu,” kongsinya.

Kenangan bersama arwah masih segar dalam ingatan. Mereka sering keluar bersama, makan bersama dan meluangkan masa berdua. Sehari sebelum pemergian, mereka sempat keluar menaiki motosikal bersama, satu momen yang kini menjadi kenangan terakhir yang sangat berharga.

Lebih menyentuh hati, Farra turut berkongsi beberapa ‘tanda’ yang dirasakan seperti petunjuk sebelum pemergian ibunya. Antaranya, arwah pernah meminta untuk menumpang solat di biliknya, namun kemudian berkata bahawa selepas ini dia tidak akan menunaikan solat di bilik itu lagi.

Selain itu, sehari sebelum meninggal dunia, arwah juga sempat meluahkan hasrat ingin memiliki rumah yang cantik.

Dari luaran, arwah mungkin kelihatan tegas dan garang. Namun di sebaliknya, dia seorang ibu yang sangat penyayang dan ‘sporting’. Malah ramai yang menganggapnya sebagai ibu angkat kerana sifatnya yang suka memberi makan kepada orang lain.

Arwah juga gemar memasak dan pernah berniaga di beberapa tempat dan itu membuktikan kesungguhan serta kasih sayang seorang ibu dalam membesarkan keluarga.

KEHILANGAN IBU

Detik hitam 25 Disember 2022

Pada pagi kejadian, Farra sempat berbual dengan ibunya di rumah. Namun ketika tengah hari, dia keluar menghadiri majlis pertunangan rakannya di Ampang tanpa sempat bersalaman kerana ibunya keluar ke kedai bersama adiknya.

Tidak lama selepas tiba di majlis tersebut, Farra menerima mesej daripada abangnya dalam keadaan panik dan menangis, memaklumkan bahawa ibu mereka telah pengsan.

“Saya terus tak tentu arah. Call family semua tak dapat. Masa tu semua tengah panik,” katanya.

Dalam keadaan jauh dari rumah dan bergantung kepada rakan untuk bergerak, Farra hanya mampu menunggu khabar. Ketika majlis masih berlangsung, satu mesej yang paling ditakuti akhirnya diterima iaitu ibunya telah meninggal dunia.

“Kaki saya terus lemah. Saya macam tak percaya. Orang sekeliling yang kuatkan saya untuk pastikan sendiri keadaan mak di hospital,” ujarnya sebak.

Arwah dikejarkan ke Hospital Selayang, dan Farra bergegas ke sana dari Ampang dengan bantuan rakannya. Kehilangan itu memberi kesan yang sangat besar dalam hidupnya. Farra mengakui, dia seperti hilang arah kerana ibunya adalah tempat bergantung setiap hari.

“Saya dah tak ada tempat meluah. Nak pergi mana-mana pun rasa kosong sebab dulu semuanya dengan mak,” katanya.

Dia juga lebih banyak menyendiri selepas kejadian, melalui kehidupan seorang diri tanpa kehadiran insan yang paling dekat di hati.

Bagi bapanya pula, kehilangan pasangan hidup selama 40 tahun bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Namun kasih dan rindu itu tetap diteruskan dengan cara tersendiri.

Menurut Farra, bapanya tidak pernah gagal menziarahi kubur arwah. Setiap hari Jumaat, pasti dia akan ke pusara isterinya, malah mereka adik-beradik juga sering terserempak dengan abah di sana.

“Abah sampai sekarang masih bercerita kenangan dengan mak,” kongsinya.

Dalam menghadapi kehilangan ini, Farra dan keluarganya cuba menguatkan diri dengan cara tersendiri. Mereka saling menghiburkan antara satu sama lain, malah kadang-kadang bergurau seolah-olah arwah masih ada bersama mereka.

AMARAN!

Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Siraplimau bersama pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.

Baca juga: Gambar Rasmi Agong, Permaisuri & PM Diberi Percuma! Ini Cara Nak Dapatkan Di JAPEN Daerah Anda, Stok Terhad

Sumber: Threads Paaghaaa

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×