Euforia Bola 2026
Famili

Mula-Mula Hanya Demam Biasa, Berakhir Duka… Kisah Pilu Kehilangan Mengejut Anak Bongsu Perempuan 11 Tahun

KEHILANGAN ANAK

Pemergian mengejut seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Nur Khalishah Zahra, nyata memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada seluruh komuniti yang mengenalinya. Menerusi satu perkongsian menyentuh hati oleh Mr Wan Chai di laman Facebooknya, kisah kehilangan anak bongsu perempuan tunggal yang mesra dipanggil Ayang ini telah meruntun jiwa ramai.

Baca juga: Hari Sukan Tapi Kostum Acara Sekolah Tema Makanan Manis & ‘Fast Food’? Cikgu..Jangan Normalisasikan!

KEHILANGAN ANAK BONGSU, MULA-MULA HANYA DEMAM BIASA

KEHILANGAN ANAK

Menurut bapanya, sebelum kejadian, Ayang hanya mengalami demam biasa yang tidak menunjukkan tanda serius. Keadaannya ketika itu disertai batuk ringan, malah selera makannya juga masih seperti biasa.

Namun, pada 19 April sekitar jam 1.30 petang, keadaan Ayang secara tiba-tiba berubah apabila dia menjadi lemah dan mula mengalami muntah-muntah.

Menyedari keadaan tersebut, ibu bapanya segera membawanya ke sebuah klinik di Sungai Kapar Indah dengan menaiki kereta.

Setibanya di hadapan klinik, Ayang dilaporkan muntah dengan teruk sebelum tidak sedarkan diri. Doktor yang bertugas terus memberikan bantuan awal CPR selepas mendapati denyutan jantungnya semakin lemah.

Dalam masa yang sama, pihak klinik menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan lanjut dan tidak lama kemudian, ambulans tiba bersama pegawai perubatan yang turut memberikan CPR sebelum membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Setibanya di Jabatan Kecemasan Kanak-kanak, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan nyawa Ayang. Namun, takdir telah ditentukan, Ayang disahkan meninggal dunia pada jam 3.05 petang.

Disebabkan pemergiannya yang mengejut, jenazah perlu melalui prosedur bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan tidak dapat dituntut pada malam tersebut.

Jenazah kemudian dibawa ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat yang bermula sekitar jam 9.00 pagi keesokan harinya dan selesai pada jam 12.40 tengah hari sebelum dituntut oleh pihak UKVJ HQ.

Seterusnya, jenazah dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus di Batu Belah, Klang bagi tujuan pengurusan jenazah. Ibu bapa serta tiga orang adik-beradik Ayang turut diberi peluang serta tunjuk ajar sepanjang proses mandi dan kafan dijalankan.

Pengurusan jenazah disempurnakan oleh tiga orang bilal muslimah dari UKVJ HQ yang menyantuni Ayang dengan penuh kasih sayang, seolah-olah anak mereka sendiri.

KEHILANGAN ANAK

“Alhamdulillah, jenazah Ayang selamat disemadikan pada jam 5.30 petang dengan bantuan pihak pengurusan tanah perkuburan. Kehilangan Ayang meninggalkan luka yang amat mendalam buat si bapa. 

“Anak yang begitu rapat dan manja dengannya kini telah pergi meninggalkan kenangan yang sukar untuk dipadam. Berulang kali si bapa menyatakan bahawa Ayang adalah seorang anak yang baik,” jelasnya.

Ayang dikenali sebagai seorang pelajar yang aktif dalam bidang sukan dan sepatutnya pada hari kejadian dia terlibat dalam pertandingan bola tampar bersama rakan sepasukan.

Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata. Pemergian Ayang bukan sekadar kehilangan seorang anak, tetapi turut mengosongkan ruang dalam sebuah keluarga yang amat menyayanginya.

Kenangan bersama Ayang akan terus hidup dalam ingatan, walaupun jasadnya telah pergi meninggalkan dunia.

Baca juga: Ibu Ayah Kena Semak Cap Ibu Jari Anak Jelas Atau Tak Sebelum Buat MyKad, Elak ‘Jammed’ Kaunter JPN

Sumber: Facebook Mr Wan Chai Official

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×