Famili

Sedekad Tak Balik Beraya & Berpuasa, Wanita Ini Kongsi Kisah Hidupnya Di New Zealand

2
SHARES
kisah anak perantau

Kepada para pembaca, kali ini penulis ingin berkongsi kisah anak perantau yang sudah sedekad tidak balik menyambut puasa dan meraikan raya di Malaysia. Wanita cantik bernama Adeela Razali, 27, yang kini berhijrah di Dunedin, New Zealand bersama keluarga sejak 10 tahun lalu menceritakan banyak pengalaman menarik sewaktu menyambut puasa dan meraikan hari lebaran di negara itu.

Adeela merupakan graduan Bachelor of Science majoring in Psychology, minoring in Neuroscience, University of Otago di bandar Dunedin. Jadi, mari ikuti kisah perjalanan hidup Adeela sepanjang menetap di bumi ‘Land of The Long White Cloud’.

Baca juga: Pertama Kali Berpuasa Di Negara Raja Charles III, Pelajar Kongsi Pengalaman Menarik!

KISAH ANAK PERANTAU 10 TAHUN DI NEGARA NEW ZEALAND

kisah anak perantau

Gambar: Adeela di Milford Sound.

Ketika menyingkap maklumat peribadi wanita ini, dia tidak lokek memberitahu pengalaman kerjanya dalam tiga bidang berbeza. Adeela yang sudah berkahwin, menyatakan dia pernah bekerja dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) sebagai help desk selama 3 tahun di Universiti Otago.

Pekerjaannya merupakan tempat rujukan pensyarah dan pelajar di universiti berkenaan, sekiranya mempunyai urusan berkaitan IT, sebelum  Adeela berubah angin bekerja sebagai admin.

Kini, dia berkerja sepenuh masa dalam bidang sales di sebuah syarikat yang memfokuskan kepada pembelajaran dalam talian. Di mana, produk yang dihasilkan banyak digunakan oleh para guru sekolah di sekitar New Zealand dan Australia. Walaupun begitu, minat yang mendalam dalam fotografi juga membuatkan profesion itu dijadikan sebagai kerja sambilannya.

 PENGALAMAN BERPUASA MENCARI STATUS MAKANAN HALAL

kisah anak perantau

Gambar: Antara daging halal yang mudah didapati di pasaraya di Dunedin.

Bercerita mengenai pengalaman berpuasa di Dunedian, terlalu banyak yang ingin diceritakan Adeela kerana telah lama berada di sana. Katanya, sumber makanan halal mudah didapati kerana Dunedin mempunyai komuniti pelajar Islam yang besar.

Sekali gus, para peniaga di sana sudah faham mengenai istilah halal, disebabkan itu ia menjadi lebih mudah untuk mendapatkannya. Malah, banyak jenama daging halal yang dieskport ke Arab Saudi dan Malaysia. Oleh kerana, ada pasaran eksport ia menjadi lebih mudah memenuhi kriteria halal.

Tambahnya lagi, jika berkunjung ke restoran dia selalu bertanyakan status halal makanan yang dihidangkan sebagai langkah berjaga-jaga. Para pelayan di sana sudah sedia maklum mengenai kriteria makanan orang Islam dan akan memaklumkan status makanan yang dipesan.

BUDAYA BERJALAN KAKI & PERGI ‘HIKING’ DALAM BULAN RAMADAN

kisah anak perantau

Gambar: Adeela bersami suaminya yang sudah 3 tahun berkahwin, merakamkan detik indah sewaktu musim bunga di hadapan bangunan Universiti Otago.

Berkenaan solat tarawih pula, disebabkan bandarnya kecil jadi budaya di sana banyak berjalan kaki apabila ke mana-mana sahaja terutama hendak ke masjid. Cuaca yang menyenangkan itu, membuatkan wanita 20an ini lebih suka berjalan kaki yang mengambil masa 20 minit dari rumah ke masjid berhampiran.

Malah, tempoh berpuasa di sana adalah lebih kurang 12 jam dan ia tidak terlalu sukar bagi dirinya kerana sedang musim luruh yang amat nyaman. Hal ini kerana, dia bersama ayahnya mampu untuk pergi melakukan aktiviti mendaki di Pouakai Tarns Track, Mount Taranaki, selama 6 jam walaupun dalam keadaan berpuasa. 

PENENTUAN HARI RAYA MELIHAT ANAK BULAN ANTARA 2 BUAH NEGARA

kisah anak perantau

Gambar: Adeela bersama rakan-rakannya berlatarbelakangkan pemandangan bandar Auckland.

Menyusuri lagi kisah hidupnya, Adeela menceritakan mengenai pengalaman raya di New Zealand yang sudah sebanyak 10 kali itu. Peristiwa menarik yang dikongsikan anak kedua daripada lima beradik ini adalah berkenaan pengumuman raya.

Adeela berkata, cara menentukan hari raya di sana melalui kaedah tradisional dengan melihat anak bulan (moonsighting). Sekiranya nampak anak bulan pada malam sebelumnya, keesokan harinya adalah hari raya.

Menariknya lagi, disebabkan New Zealand dan Fiji berdekatan, komuniti Islam di sana akan menunggu pengumuman di antara dua buah negara tersebut sewaktu melihat anak bulan untuk menentukan hari raya. Contohnya, sekiranya anak bulan muncul terlebih dahulu di Fiji, maka orang Islam di New Zealand akan mengikut pengumuman raya di negara Fiji.

Kisah ini tidak berakhir di situ. Di mana, Adeela sendiri pernah mengalami raya ‘terkejut’ apabila negara Fiji nampak anak bulan terlebih dahulu dan tiba-tiba diumumkan raya pada 2 pagi. Maka, bersengkang mata dia sekeluarga menyediakan juadah raya.

TRADISI WAJIB RAYA AHLI KELUARGA ADEELA

kisah anak perantau

Gambar: Potret raya bersama keluarga di bandar Palmerston North, kawasan yang didiami ibu bapa Adeela sekarang.

Mengenai juadah raya pula, keluarganya amat menitikberatkan makanan Malaysia seperti kuah kacang, rendang, nasi impit, lodeh dan kuih-muih. Tradisi keluarganya pula adalah setiap ahli wanita wajib membuat satu jenis kuih raya. Antaranya adalah lidah buaya yang kerap dibuat oleh Adeela, manakala kakaknya mahir dalam membuat rempeyek.

Selain itu, pada tahun ini dia juga merancang untuk beraya di Palmerston North, di mana terletak rumah ibunya bagi membuat persiapan rumah terbuka yang saban tahun diadakan. Tambahnya lagi, oleh kerana budaya di sana gemar pergi melancong, maka dia bersama suami akan menziarahi rakan-rakan yang berada di bandar berdekatan dengan Dunedin seperti di Wellington.

Kemampuan untuk pergi melancong ke pelbagai tempat merupakan antara nikmat yang paling disyukuri Adeela. Selain berkunjung rumah ahli keluarga dan kenalan, pada masa yang sama dia dapat menikmati keindahan alam dan mengingati kebesaran Allah SWT.

VIDEO ADEELA BERSAMA AYAH & ADIK LELAKINYA HIKING

Sumber video: Adeela Razali

AMARAN: ARTIKEL INI MERUPAKAN TEMU RAMAH EKSKLUSIF SIRAP LIMAU DENGAN PIHAK TERBABIT. JADI, ANDA TIDAK DIBENARKAN MENYIAR ARTIKEL INI DI LAMAN WEBSITE YANG LAIN TANPA PEMBERIAN KREDIT YANG TEPAT.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×