“Tuntutlah ilmu walau sampai ke negara China”, merupakan ayat bijak pandai yang sesuai diumpamakan kepada kisah pelajar perantau ini, bernama Muhammad Syamil Hafiy Bin Mohammad Adnan, 20, yang kini sedang melanjutkan pelajaran di negara England.
Pelajar Masters in Mechanical Engineering di University of Manchester ini menyatakan, keseorangan berada di bumi asing merupakan pengalaman pertama kali dalam hidupnya. Ini termasuklah menyambut bulan Ramadan dan bakal meraikan bulan Syawal, tanpa keluarga tercinta di sisi.
Baca juga: Indahnya Berbuka Puasa Di Jeddah, Pilot Kongsi Pengalaman Berpuasa Selama 18 Jam!
KISAH PELAJAR PERANTAU PERTAMA KALI DI BUMI ASING
Menurut Syamil, dia merantau ke Manchester pada September tahun lalu selepas tamat mengambil A-level dalam Sains dan Teknologi di Kolej MARA Seremban. Walaupun, pada mulanya perasaan rindu pada tanah air di Malaysia sukar digambarkan namun, ia berjaya diubati dengan kehadiran rakan-rakan seperjuangan yang sama saling bergantung antara satu sama lain.
PENGALAMAN BERPUASA DI BUMI ASING
Berbicara tentang pengalaman berpuasa di sana, pemuda itu menyatakan cabaran dihadapi tidaklah begitu sukar terutamanya dalam mencari sumber makanan yang halal. Hal ini kerana, kawasan yang didiami kini mempunyai kedai-kedai yang menjual bahan halal yang mudah didapati dengan berjalan kaki sahaja.
Malah, perbandingan waktu berpuasa di Manchester dan Malaysia juga tidak jauh perbezaannya. Jika anggaran waktu di Malaysia selama 13 jam, manakala di Manchester pula lebih kurang 15 jam lamanya sebelum masuk waktu berbuka.
Cuma yang sedikit sulit buat pemuda ini adalah tidak dapat menikmati kuih pelita yang merupakan juadah puasa yang paling dirindui dan sukar didapati di sana.
PERUBAHAN MUSIM & MELAWATI 4 BUAH NEGARA
Selain itu, Syamil turut berkongsikan keasyikkan perubahan musim yang terjadi sepanjang tempoh berpuasa di negara bekas pimpinan Ratu Elizabeth II itu. Katanya, musim sejuk berlaku sewaktu awal Ramadan dan kini ia memasuki musim bunga. Sudah pastinya, itu merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Tambahnya lagi, cuti Hari Easter yang jatuh pada bulan suci itu memberi kesempatan kepada dirinya untuk pergi bercuti. Di mana, dia bersama rakan-rakannya telah pergi menjelajah ke empat buah negara iaitu Sepanyol, Belgium, Luxembourg dan Belanda selama lapan hari.
Berpuasa tidak boleh dijadikan sebagai penghalang untuk membatalkan hasrat mereka dari melawati tempat-tempat menarik sambil mempelajari sejarah di negara yang dikunjungi, katanya.
SAMBUTAN RAYA SECARA SEDERHANA
Dalam pada itu, kesempatan turut diambil oleh penulis dengan bertanyakan persediaan yang bakal dilakukan untuk menyambut Hari Lebaran nanti. Menurut Syamil, persediaan raya seperti menghias rumah dan menyediakan beberapa juadah raya telah direncanakan. Malah, ia akan disambut secara sederhana sahaja.
Hal ini berikutan kerana, sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, pelajar tahun pertama ini perlu menghadiri kelas sesudah menunaikan solat Hari Raya di Manchester Central Mosque.
Rencana raya yang seterusnya dia bakal pergi ke London pada hujung minggu bersama rakan-rakan untuk menziarahi kenalan di sana. Malah, kesempatan akan diambil untuk mengunjungi abangnya yang sedang menuntut di Queen Mary University of London.
Selain itu, bagi mengubati kesedihan di pagi raya, tidak dilupakan juga dia bakal membuat panggilan video kepada keluarga tercinta yang berada di Malaysia.
Menurut Syamil, kali terakhir dia bertemu keluarga kecilnya adalah pada bulan Mac lalu yang datang bercuti seketika. Di mana, potret bergambar memakai baju raya telah diambil awal bagi mengisi ketiadaan pemuda ini bersama abangnya.
Ujar anak kedua daripada tiga beradik ini lagi, baju raya telah pun dibeli awal oleh keluarganya dengan bertemakan warna coklat. Walaupun mereka sekeluarga berada di benua yang berbeza, namun budaya warna sedondon tetap diteruskan.
VIDEO PERJALANAN SYAMIL DARI MALAYSIA KE UK
Sumber video: Muhammad Syamil Hafiy Bin Mohammad Adnan