Mempunyai kerjaya sebagai juruterbang atau pilot dilihat sebagai salah satu kerjaya yang elite. Dikatakan perlu mempunyai taraf tertentu terutamanya dari segi bajet yang tinggi untuk masuk ke sekolah penerbangan antara perkara yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Tetapi, kalau dah nampak minat anak dari kecil sudah cenderung ke dunia penerbangan, sudah pasti mak ayah pun kena cari cara jadi pilot untuk panduan anak masa hadapan kan ?
Dari segi luaran kerjaya sebagai juruterbang mungkin nampak ‘high class’ tetapi ramai yang tidak tahu bahawa terdapat banyak perkara yang perlu dijadikan penelitian untuk menjadi seorang juruterbang yang terbaik dari segi kerjaya dan agama.
Oleh itu, untuk perkongsian Salam Perantauan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kali ini, kami kongsikan kisah dan pengalaman seorang juruterbang yang pernah bekerja di perantauan semasa Hari Raya dan pernah berpuasa selama 18 jam!
Baca juga: 5 Tahun Tak Dapat Beraya Bersama Keluarga, Pelajar Mesir Kongsi Pengalaman Di Perantauan
CARA JADI PILOT MACAM SFO MUIM, PENGALAMAN KENA PUASA SAMPAI 18 JAM!
Senior First Officer (SFO) Abdul Muim Bin Ismail, 30 tahun, yang berasal dari Terengganu ini ditemui oleh team Siraplimau bagi berkongsikan pengalaman beliau sepanjang 6 tahun bertugas sebagai seorang juruterbang. Lahir pada tanggal 10 Jun 1993 dan merupakan anak kelima dari lima orang adik-beradik, minat untuk melihat kapal terbang adalah dari kecil kerana selalu ‘travel’.
Setelah tamat pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Terengganu di mana beliau memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 9A dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 10A 1B, beliau meneruskan cita-cita ingin menjadi seorang juruterbang dengan masuk ke Asia Pacific Flight Training, Kota Bharu pada tahun 2011.
Mempunyai minat mendalam di dunia penerbangan bukan sahaja datang dari penelitian dunia luar, tetapi beliau juga mempunyai abang yang juga seorang juruterbang, sekali gus menambahkan minatnya untuk mengejar cita-citanya itu.
Mungkin nampak mudah perjalanannya, namun ramai yang tidak tahu bahawa untuk menjadi seorang juruterbang perlu melalui proses temuduga yang ketat dan ujian bertulis terlebih dahulu.
Memulakan kerjaya sebagai juruterbang di AirAsia pada tahun 2014 dan AirAsia X pada tahun 2017, sudah pasti ada banyak lokasi yang telah dilawati bagi mengutip pengalaman.
Bahkan, beliau juga turut berkongsi pengalaman berpuasa dalam bulan Ramadan semasa bekerja ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeddah yang memerlukan dirinya berpuasa selama 18 jam kerana perbezaan waktu yang ketara.
Namun, SFO Muim juga menyatakan bahawa Jeddah merupakan lokasi hentian pilihan yang menyajikan menu berbuka puasa paling menarik dan meriah!
Mana tidaknya, makanan seperti Nasi Arab, Lamb Mandy dan Kunafa yang menjadi ‘kegilaan’ ramai di Malaysia mempunyai rasa dua kali ganda sedap! Bukan itu sahaja, pengalaman berbuka puasa di Jeddah juga lebih meriah apabila selesai solat Tarawih dan masyarakat di sana akan mula memberi tumpuan untuk beriadah. Namun, semua ini menjadi kenangan yang indah untuk disimpan apabila beliau tidak ‘terbang’ seperti biasa ketika Covid-19 melanda dunia.
Selama hampir 2 tahun juga, SFO Muim menjadi seorang ‘pilot di darat’ dengan berkecimpung sebagai seorang pemandu e-hailing bagi meneruskan kelangsungan hidup. Berkat kesabaran dalam tempoh tersebut, industri penerbangan telah kembali hidup seperti biasa dan beliau dapat menarik nafas lega dengan meneruskan minat dalam kerjayanya.
MACAM MANA NAK TENTUKAN WAKTU BERBUKA DAN ARAH KIBLAT?
Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana juruterbang menentukan waktu berbuka puasa semasa dalam penerbangan, bukan?
SFO Muim berkongsikan salah satu aplikasi yang digunakan oleh beliau iaitu Muslim Pilot sebagai penentu waktu berbuka puasa ketika bekerja. Ini merupakan aplikasi yang dipercayai dan digunakan oleh kebanyakan juruterbang sebagai cara untuk tahu waktu berbuka puasa serta waktu solat berdasarkan kedudukan latitude dan longitude.
Namun, jika menggunakan cara normal tanpa sebarang aplikasi, juruterbang akan berbuka puasa sedikit lambat kerana akan memastikan matahari betul-betul tenggelam dan gelap.
Begitu juga apabila ditanya mengenai penentuan arah kiblat semasa berada di atas awan, SFO Muim mengatakan bahawa sistem komputer di dalam kapal terbang mempunyai fungsi untuk meletakkan arah lapangan terbang yang tertentu untuk dijadikan rujukan arah kiblat.
Dalam situasi kiblat ini, juruterbang akan menggunakan Lapangan Terbang Jeddah sebagai penentu arah kiblat supaya boleh menunaikan solat walaupun ketika terbang.
Mempunyai jadual kerja yang padat dan diperlukan pada bila-bila masa sahaja, mesti tidak terlepas dengan momen perlu menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan bukan? Sudah semestinya, SFO Muim berkongsikan pengalaman beraya di Tokyo pada tahun 2017 dan di Hangzhou pada tahun 2019.
Tidak semeriah dengan sambutan di negara-negara Islam, atas tuntutan kerja beliau turuti juga. Bahkan ahli keluarga juga sudah terbiasa apabila beliau dan abangnya tidak dapat pulang beraya pada hari pertama Aidilfitri. Jangan risau, pasti digantikan dengan cuti yang lebih lama walaupun selepas Hari Raya pertama bukan?
Jadi, untuk penerbangan musim perayaan ini, SFO Muim ada berkongsikan beberapa tips untuk memastikan perjalanan penerbangan bersama AirAsia ‘smooth’. Tips yang dikongsikan adalah:
– Tiba awal di lapangan terbang, kalau boleh 3 jam sebelum untuk penerbangan antarabangsa.
– Pre-book baggage allowance untuk lebih jimat
– Pre-book seat untuk view paling best. Untuk AirAsiaX, anda boleh pilih tempat duduk di Quiet Zone supaya perjalanan tidak diganggu.
– Pre-book makanan, terutama sekali kalau nak buka puasa atau sahur dalam perjalanan penerbangan.
– Self-check in online siap-siap sebelum ke airport.
– Tiba awal untuk check-in bag, security dan lain-lain.
*Dah baca pengalaman dari SFO Muim, ada tak mak ayah di luar sana nak anak jadi pilot juga? Seronok bukan? Jadi persiapan dari anak usia kecil perlu dilakukan ya..
Amaran: Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman website yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.