Famili

5 Tahun Tak Dapat Beraya Bersama Keluarga, Pelajar Mesir Kongsi Pengalaman Di Perantauan

4
SHARES
pelajar mesir

Nur Athirah Faqihah Mohammad Shariff, 23, penuntut tahun empat Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir yang merupakan pelajar jurusan Syariah Islamiyah meluahkan antara cabaran terbesar berpuasa selama 15 hingga 16 jam adalah cuaca yang tidak menentu.

Jelasnya, ketika tahun pertama menjadi pelajar Mesir, agak susah untuk menyesuaikan diri kerana cuaca di sana yang begitu panas sehingga mencecah 40 celcius. Ini membuatkan dia pernah terfikir untuk berbuka puasa lebih awal namun hanyalah sekadar keinginan sahaja.

Baca juga: Rebutlah Malam Lailatul Qadar Dengan Lakukan 19 Amalan Sunat Yang Dianjurkan Ini

PELAJAR MESIR KONGSI PENGALAMAN 5 TAHUN TAK BALIK KAMPUNG

pelajar mesir

Bersama rakan-rakan di Mesir

Selain itu, berbicara mengenai persiapan sahur, Nur Aisyatul Mardhiah Noor Idzwan, pelajar jurusan bahasa Arab di universiti yang sama mengatakan mereka mula menyediakan makanan sahur selepas menunaikan solat tarawih yang selesai selepas jam 11.00 malam.

Jadi, bermula jam 12.00 malam atau 1.00 pagi makanan sahur mula dimasak bersama rakan serumah dan bersahur sebelum azan subuh iaitu pada jam 3.00 pagi.

pelajar mesir

Selesai menunaikan solat tarawih

Menariknya, ketika berbuka puasa ada satu aktiviti yang dinamakan maidaturrahman iaitu menyediakan makanan secara percuma. Bukan hanya ambil makanan secara percuma, mereka juga menyediakan kerusi dan meja untuk sesiapa sahaja duduk di tempat tersebut untuk berbuka puasa.

pelajar mesir

Maidaturrahman

Walaupun pelbagai pilihan makanan disediakan seperti ayam dan daging namun Mardhiah tetap merindui ikan patin tempoyak dan durian kerana tidak dijual di Mesir.

Sepanjang lima tahun berada di sana, persiapan raya perlu dilakukan dengan lebih awal kerana sekiranya lambat barang masakan akan habis.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah ketika tahun pertama di Mesir, mereka terpaksa membuat rendang telur kerana ayam, daging dan ikan telah kehabisan.

Bergelar anak perantau bukanlah satu perkara mudah, pelbagai cabaran dan dugaan perlu dilalui dalam menempuh liku-liku kehidupan.

pelajar mesir

Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Itulah yang perlu dilalui oleh Nur Syahidah Yusop, 23, pelajar jurusan pengajian Islam dan bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir sepanjang di sana.

Antara ujian paling berat adalah ketika Covid-19 melanda dunia kerana suasana perayaan tidak semeriah sebelum ini dan terpaksa duduk di rumah sahaja.

Bagi mengubati kerinduan kepada masakan ibu, Syahidah akan memasak juadah seperti ketupat dan rendang pada malam raya supaya dapat merasai seperti makan bersama keluarga ketika raya pertama.

pelajar mesir

Juadah yang dimasak sendiri

Malah, dia juga tidak melepaskan peluang membuat panggilan video untuk merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Sanak saudara yang berkumpul turut bertanya khabar tentang dirinya yang sudah lima tahun tidak pulang ke pangkuan keluarga.

Nur Aisyatul Qani’ah Noor Idzwan memberitahu, ketika Hari Raya pertama pelajar Malaysia di Mesir akan berkumpul untuk menikmati juadah istimewa seperti rendang ayam, laksa, bihun sup dan lemang.

Hari Raya kedua pula mereka akan menziarahi rakan Nusantara dan begitu jugalah Hari Raya seterusnya di rumah rakan Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei untuk mengeratkan silaturrahim.

pelajar mesir

Raya bersama-sama

Walaupun berjauhan dengan keluarga, sambutan Hari Raya Aidilfitri tetap meriah bersama rakan-rakan di sisi.

Amaran: Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman website yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×