Tiada siapa menyangka kebahagiaan pasangan pengantin baharu itu hanya bertahan seketika apabila dua hari selepas diijabkabulkan, Muhammad Alif Ahmad Rozaini, 24, maut dalam kemalangan di Tampin, Negeri Sembilan.
Allahyarham yang juga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) meninggal dunia di hospital pada pagi Rabu selepas motosikal yang dinaikinya bersama isteri, Noor Azilah Hanim Mohd Tajuddin, 24, terbabit kemalangan dengan dua kereta pada Selasa lalu.
BARU DUA HARI BERGELAR SUAMI, MUHAMMAD ALIF MAUT KEMALANGAN

Gambar ihsan keluarga: Muhammad Alif Ahmad Rozaini dan isteri, Noor Azilah Hanim Mohd Tajuddin.
“Tolong doakan kami kekal hingga ke Jannah”
Lebih memilukan, pasangan itu baru sahaja melangsungkan majlis pernikahan dan persandingan pada Ahad, 23 Ogos.
Kakak ketiga Allahyarham, Umminadhrah Ahmad Rozaini, 29, berkata keluarganya masih terkejut dengan kehilangan Muhammad Alif yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik.
Menurutnya, Muhammad Alif yang dikenali sebagai seorang yang pendiam menunjukkan sisi berbeza pada majlis persandingan mereka apabila tampil memberikan ucapan kepada tetamu.
Antara kata-kata yang paling diingati keluarga ialah permintaannya supaya tetamu mendoakan rumah tangga mereka berkekalan hingga ke syurga.
Umminadhrah berkata, suara adiknya ketika menyampaikan ucapan berkenaan juga kedengaran bergetar, malah Muhammad Alif turut menitiskan air mata ketika lafaz nikah dan taklik.
“Kebiasaannya dia seorang yang pendiam tetapi pada hari itu, dia beri ucapan kepada tetamu dan antaranya dia cakap ‘tolong doakan kami kekal hingga ke jannah.
“Ayat itu juga kerap disebut beberapa kali seolah-olah tanda dia mahu ‘pergi’. Daripada gambar pernikahannya juga, kami dapati Allahyarham banyak termenung,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Belum sempat tengok hasil gambar hari bahagia

Gambar ihsan Izzat Najmi Bederulhisham: Izzat (kiri) sempat berswafoto bersama Allahyarham Muhammad Alif pada hari pernikahannya.
Kisah pasangan itu turut meninggalkan kesan kepada jurugambar yang merakam detik bahagia mereka.
Izzat Najmi Bederulhisham, 29, berkata dia masih terkejut selepas mengetahui Muhammad Alif meninggal dunia kerana baru beberapa hari sebelum itu mereka bertemu untuk sesi fotografi majlis nikah dan persandingan.
Lebih menyedihkan, Allahyarham langsung tidak sempat melihat hasil gambar dan video yang dirakam pada hari bahagianya.
“Saya tak tahu macam mana nak ‘edit’ (sunting) gambar dan video mereka. Hendak mula menyunting pun air mata dah menitis,” katanya.
Menurut Izzat, Muhammad Alif sudah menempah khidmatnya sejak kira-kira setahun lalu, selepas pasangan berkenaan bertunang. Katanya, Allahyarham begitu bersungguh-sungguh mahu detik istimewa bersama isterinya dirakamkan dengan sebaiknya.
Izzat turut mengakui pertemuan pada hari perkahwinan itu meninggalkan kenangan tersendiri apabila dia sempat berswafoto bersama Muhammad Alif.
“Saya turut tergerak untuk berswafoto dengan arwah pada awal pagi majlis biarpun tidak pernah berbuat demikian dengan pelanggan lain sepanjang 10 tahun terbabit dalam bidang ini.
“Saya juga sempat merakamkan ucapan arwah untuk isterinya. Ketika itu, semuanya dilakukan seperti biasa tanpa saya sangka ia menjadi antara rakaman terakhirnya,” katanya.
@izzatpawana.com Hanim, kuatlah untuk hari-hari yang mendatang. 🥀 Baru sahaja mengecap bahagia sebagai seorang isteri, kini terpaksa menerima kehilangan yang tidak pernah disangka. Semoga hati Hanim terus kuat walaupun air mata tak pernah berhenti. 🥹 Semoga seluruh rakyat Malaysia sama-sama menitipkan doa dan memberikan kekuatan buat Hanim serta seluruh keluarga dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini. 🤲🏻 #fypシ #foryou Bride :@𝘕im ♬ Bintang – Budak Kaca Mata
Izaat mengakui perasaannya untuk membuat suntingan gambar dan video arwah bersama isterinya sangat berbeza kerana ini kejadian pertama kali berdepan pengalaman seumpama itu sepanjang 10 tahun menjadi jurugambar.
“Saya masih terbayang bagaimana kegembiraan dan wajah bahagia arwah bersama pasangannya yang sedikit sebanyak menjadi pengajaran kepada saya untuk sentiasa menghargai orang tersayang.
“Apapun saya akan buat yang terbaik demi arwah dan kenangan terakhir buat keluarga serta isterinya,” katanya.
Majlis bertandang bertukar majlis tahlil

Perkongsian gambar dipercayai abang (Husky matcha strawberry) kepada Noor Azilah Hanim di ruangan komen TikTok @izzatpawana.
Dalam pada itu, Noor Azilah Hanim yang turut terbabit dalam kemalangan mengalami patah kedua-dua kaki dan tangan.
Dia kini masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan dijadualkan menjalani pembedahan pada kaki kirinya semalam.
Menurut Umminadhrah, pasangan itu ketika kejadian dalam perjalanan ke bank bagi menguruskan urusan berkaitan majlis bertandang keluarga Muhammad Alif yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos.
Namun, perancangan tersebut tidak lagi dapat direalisasikan selepas Allahyarham pergi buat selama-lamanya.
Jenazah Muhammad Alif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kalumpang, Hulu Selangor selepas solat Asar pada Rabu dengan istiadat ketenteraan.
Lebih memilukan, majlis yang sepatutnya menjadi sambungan hari bahagia keluarga itu pada Ahad ini kini digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat.
Sumber: Harian Metro (1) (2) / Berita Harian
FT Image: Harian Metro / TikTok @izzatpawana
