Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut selepas tercampak dari jejambat setinggi kira-kira lima meter sebelum terjatuh menimpa seorang penunggang motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pagi semalam.
ANGGOTA TENTERA MAUT TERCAMPAK DARI JEJAMBAT

Kejadian yang berlaku sekitar jam 8 pagi itu turut menyebabkan seorang lelaki berusia 46 tahun mengalami kecederaan selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, memaklumkan bahawa anggota tentera berusia 24 tahun itu sedang dalam perjalanan dari kediamannya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi.
Bagaimanapun, ketika melalui susur jejambat berhampiran TBS untuk membuat pusingan U, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum tercampak ke jalan raya di bahagian bawah. Motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangnya pula kekal di atas jejambat.
Ketika kejadian, seorang penunggang motosikal Honda Vario berusia 46 tahun sedang bergerak dari arah Cheras menuju ke Sungai Besi sebelum mangsa yang tercampak itu menimpanya.
Kedua-dua mereka kemudian terjatuh di atas jalan raya. Sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 46 tahun turut terlibat apabila pemandunya cuba mengelak kedua-dua mangsa, namun gagal mengelak motosikal Honda Vario berkenaan.
Meninggal dunia di lokasi kejadian

Menurut Mohd Zamzuri, anggota tentera terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, penunggang Honda Vario mengalami patah tangan kiri, kecederaan pada muka serta pendarahan di kepala. Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemandu lori yang terlibat dalam kejadian itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Baca juga: “Badan Berasap”- Baru Dapat Dua Ekor Ikan, Ziad Maut Dipanah Petir Ketika Nak Pulang Dari Memancing
Sumber: Berita Harian
