Famili

10 Tips Puasa Untuk Ibu Menyusu, Mesti Boleh Puasa Penuh!

49
SHARES

Sudah tiba bulan Rejab dan ini bermakna kurang 60 hari lagi untuk umat islam berpuasa di bulan Ramadan. Ibadah puasa pada bulan Ramadan bukan sahaja dapat mengumpul pahala malah boleh menjaga kesihatan dan merehatkan diri.

Islam itu mudan dan umum mengetahui wanita yang sedang hamil serta menyusukan bayi diharuskan untuk berbuka sekiranya dikhuatiri dengan berpuasa itu dapat memberikan kemudaratan kepada ibu dan bayi.

Pun begitu, jika ibu di luar sana memilih untuk tetap berpuasa, berikut merupakan 10 tips berpuasa untuk ibu menyusu seperti perkongsian seorang kaunselor laktasi dikenali sebagai Puan Syafawati Noorhafizah.

Baca juga: [VIDEO] Patutlah Badan Asyik Berangin, Doktor Ini Kongsi Cara Nak Hilangkannya..

10 TIPS PUASA UNTUK IBU MENYUSU, MESTI PUASA PENUH

Dengan izin Allah, alhamdulillah dari 2015 sehingga 2021, saya diberi kekuatan dan semangat untuk berpuasa penuh 30 hari di bulan Ramadan dalam keadaan yang berbeza. Setiap fasa ada cabarannya yang tersendiri tambahan saya juga seorang ibu yang berkerjaya. Saya kongsikan di sini, tip-tip berpuasa untuk manfaat bersama. 

1. NIAT

Niat berpuasa atas melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Bukan kerana hendak turunkan berat, tujuan hendak cantik melaram di hari raya dan sebagainya. Perbetulkan semula niat ibu, jika terlintas seperti yang dinyatakan.

2. MINDSET

Pastikan mindset ibu supaya sentiasa positif. Dalam menjayakan penyusuan susu ibu, mindset ibu adalah yang utama. Jika mahukan hasil yang positif, ibu juga perlu sentiasa kekal positif dan sebaliknya.

Tanamkan di minda ibu bahawa walaupun ibu berpuasa tetapi insyaAllah mampu untuk terus menyusukan bayi seperti biasa. Jangan sesekali fikirkan apabila berpuasa, susu ibu akan berkurang dan tidak cukup pada anak.

3. DOA

Berdoalah pada Allah supaya dipermudahkan segala urusan kita semua. Juga doakan supaya ibu diberi kesihatan yang baik dan mampu untuk melaksanakan ibadah puasa. Sesungguhnya doa itu senjata kita sebagai seorang Muslim.

4. SAHUR

Untuk ibu yang menyusukan anak, jangan sesekali tinggalkan atau terlepas sahur. Manfaatkan sunnah supaya melambat-lambatkan waktu sahur.

5. BERBUKA

Begitu juga untuk berbuka puasa, manfaatkan sunnah supaya berbuka di awal waktu di kala azan dilaungkan.

6. MAKANAN BERKHASIAT

Pastikan juga, ibu mengambil protein yang secukupnya seperti daging, telur, kekacang, tempe. Selain dari itu, untuk pengambilan snek yang sihat, ibu menyusu boleh cuba untuk makan kurma, kismis, badam serta buah-buahan segar atau dalam bentuk kering.

Gandakan jumlah pengambilan kurma. Jika sebelum ini, ibu biasa makan 1 biji kurma tingkatkan kepada 3 biji kurma. InsyaAllah sangat membantu.

Antara menu kegemaran pada waktu sahur adalah susu kurma oat yang dikisar sendiri setiap malam sebelum tidur dan disimpan di dalam peti sejuk. Pada yang belum cuba, bolehlah cuba. Menu yang sangat ringkas dan mengenyangkan.

7. AIR SECUKUPNYA

Untuk ibu menyusu, wajib pastikan pengambilan air secukupnya dari tempoh berbuka puasa sehingga waktu sahur. Ibu juga boleh pelbagaikan kepada air jus buah tetapi pastikan tanpa gula. Bagi memastikan ibu menyusu minum cukup 8 gelas sehari, susunkan jadual seperti berikut:

  • 1 gelas ketika bangun sahur
  • 1 gelas selepas sahur
  • 1 gelas semasa berbuka puasa
  • 1 gelas selepas makan
  • 1 gelas selepas solat maghrib
  • 1 gelas selepas solat isyak
  • 1 gelas selepas solat terawih
  • 1 gelas sebelum tidur

8. PANTANG

Pantang yang dimaksudkan di sini adalah segala jenis makanan yang tidak sihat seperti makanan segera (mi segera, K*C, M*D), makanan diproseskan (sosej, nugget, daging burger).

Selain itu, ibu menyusu juga perlu kawal pengambilan kafein bukan sahaja kopi, nescafe tetapi termasuklah coklat dan juga teh. Tidak kurang juga makanan dan minuman yang tinggi garam dan gula seperti air berkarbonat, air kotak, perasa dalam makanan termasuklah makanan yang berminyak.

Ini adalah kerana makanan-makanan jenis ini akan mempercepatkan proses kehilangan air dari dalam badan dan membuatkan ibu menyusu menjadi lebih cepat terdehidrasi.

9. PENGHASILAN SUSU

Puasa juga bukan bermaksud ibu perlu mengubah rutin penyusuan pada anak. Pegang pada konsep demand vs supply. More demand, more supply.

Kerapkan menyusu anak apabila anak berada di depan mata. Jika ibu bekerja, jagalah jadual perahan setiap 2 hingga 3 jam seperti biasa.

Lebih banyak susu ibu dikeluarkan, lebih banyak susu ibu akan dihasilkan dan sebaliknya. Ibu jangan terkejut jika hasil perahan akan meningkat lebih dari hari-hari biasa berkat rezeki ibu berpuasa.

10. NIKMATI PUASA

Ramadan hanya datang setahun sekali. Jadi, ambil peluang ini untuk sama-sama beribadah dan meningkatkan kualiti ibadah kita kepada Allah. Ibu menyusu digalakkan bersedekah dan amalkan zikir. Usahalah untuk menggandakan ibadah sunat seperti solat tarawih tidak kira di masjid atau rumah, tidak kira secara berjemaah atau individu.

Diharapkan tip-tip ini dapat membantu ibu-ibu menyusu supaya bersedia untuk menjalani ibadah puasa. Ibu menyusu pun mampu berpuasa insyaAllah. Berkat ilmu, usaha dan juga dengan izin Allah.

Sumber: Facebook Syafawati Noorhafizah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×