Bila tiba musim perayaan Aidilfitri pasti rumah akan dikelilingi dengan pelita dan sekumpulan belia di Kampung Baru Sri Gading, Batu Pahat menggelarkan diri mereka sebagai Geng Sumbu.
Hal ini disebabkan mereka menggunakan sebanyak 3,000 pelita untuk membina gerbang di laluan masuk kampung tersebut bagi memeriahkan malam tujuh likur
Baca juga: Ini Checklist Barang Penting Untuk Packing Sebelum Balik Kampung, Jangan Tertinggal!
GENG SUMBU GUNA 3,000 BIJI PELITA BINA GERBANG, MERIAH
Ketua Geng Sumbu Kampung Baru Sri Gading, Mohd Azam Isnin berkata, selain teruja untuk menyambut hari raya Aidilfitri, gerbang pelita berkenaan juga adalah simbolik meraikan kepulangan anak perantau ke kampung meraikan Aidilfitri tahun ini, lapor Harian Metro.
“Sudah dua tahun kita semua tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan meriah akibat negara dilanda pandemik Covid-19, jadi ini peluangnya untuk kita sama-sama meraikannya dengan suasana gembira dan ceria.
“Kali ini kami menggunakan sebanyak 3,000 pelita dan reka bentuk gerbang pelita yang ditampilkan pada tahun ini adalah mengambil idea reka bentuk daripada Masjid Kristal di Terengganu yang mempunyai bentuk yang lebih menarik,” jelasnya.
Jelas Mohd Azam juga, gerbang pelita itu mencecah ketinggian hampir 15 meter itu menggunakan sebanyak 90 liter diesel setiap hari bagi menghidupkan semua lampu pelita berkenaan.
“Kami akan pasang lampu pelita berkenaan selama seminggu sehingga 1 Syawal nanti dan anak perantau atau penduduk di sekitar Batu Pahat boleh singgah untuk mengambil gambar di gerbang pelita berkenaan sebagai kenangan meraikan kemeriahan Aidilfitri.
“Kami juga mengutamakan keselamatan pengunjung ketika mengambil gambar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti kod QR MySejahtera dan menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi membantu kelancaran aliran trafik di kawasan kampung,” katanya.
Diharapkan penduduk kampung dapat meneruskan tradisi menghias pelita di kawasan kampung berkenaan supaya budaya tradisi seperti ini tidak akan pupus ditelan zaman.
Sumber: Harian Metro