Mahu hantar si kecil masuk prasekolah, tetapi sedang runsing kerana tidak tahu memilih kriteria sekolah yang bagaimana untuk mereka. Walaupun, sudah masuk musim persekolahan, jangan risau masih sempat lagi untuk ibu bapa mempertimbangkan saranan yang dikongsikan OT Maryam Jamadi, berkenaan tips memilih prasekolah anak.
Berikut merupakan tips memilih prasekolah buat si kecil yang beliau pernah kongsikan pada tahun 2020, berdasarkan dua faktor penting ini. Semoga dapat membantu!
Baca juga: Bila Pulang Ke Kampung, Ajar Anak Jaga Aurat Elok-Elok, Terutama NO. 1 Itu, Jangan BUAT!
MEMILIH PRASEKOLAH?
Kalau dulu zaman kita, umur 5 tahun masuk pra-sekolah sudah dikira awal. Ada kawan-kawan lain yang darjah 1 baru belajar membaca dan mengira.
Tapi zaman anak-anak kita sekarang, daftarkan anak 3-4 tahun ke pra-sekolah sudah dikira normal. Daftar umur 5- 6 tahun sudah dikira lambat. Tak masuk pra-sekolah langsung dikira pelik.
Ditambah lagi, dengan ada sesetengah pra-sekolah yang memberi jaminan untuk anak pandai membaca, mengira dan mengaji seawal 4 tahun. Malah saya pernah jumpa ada yang memberi jaminan seawal 2 tahun!
Tetapi sebagai Occupational Therapist, saya tak kisah mak ayah nak hantar anak belajar apa-apa seawal dari bayi tetapi sangat penting untuk mak ayah mengikut minat dan personaliti anak.
Saya percaya setiap orang ada kelebihan masing-masing. Tak salah untuk mak ayah pupuk minat anak seawal dari kecil tetapi sepatutnya anak usia bawah 7 tahun perlu belajar tanpa paksaan.
TIPS MEMILIH PRASEKOLAH UNTUK ANAK
Apabila setiap hari berdepan dengan kes masalah perkembangan, menjadikan saya risau untuk memilih pra-sekolah anak saya sendiri yang tahun ini berumur 4 tahun. Maka, saya nak kongsikan beberapa tips untuk memilih pra-sekolah.
FAKTOR ANAK
1. KESEDIAAN ANAK
- Pastikan anak sudah bersedia mental dan fizikal untuk ke pra-sekolah terutamanya anak yang masih mempunyai “separation anxiety”.
- Selesaikan isu “separation anxiety” anak sebelum mendaftar pra-sekolah.
- Anak yang dipaksa ke pra-sekolah sebelum bersedia boleh menyebabkan proses pembelajaran anak semakin lambat.
- Nak ajar anak, membaca, mengira, main alat musik, melukis dan lain-lain.
“Develop” minat anak dan perhatikan anak dah ada ciri-ciri sudah bersedia untuk belajar. (Contohnya “reading readiness”).
2. JADUAL
- Saya lagi risau jadual yang padat dengan subjek yang berbeza-beza setiap waktu, daripada jadual lopong supaya anak ada masa untuk “potpet” dengan kawan-kawan dan bermain tanpa peraturan.
- Walaupun anak sudah bersekolah, “free play” sangat penting untuk perkembangan imaginasi dan kreativiti. Tak kiralah di sekolah ataupun di rumah.
3. KENALPASTI PERSONALITI ANAK
- Bahagian ini sangat penting untuk mak ayah selidik betul-betul supaya pembelajaran dan masa anak tidak terbazir.
- Bagi anak yang jenis “kinaesthetic” sangatlah tak sesuai masuk ke pra-sekolah yang mewajibkan semua pelajar duduk diam setiap masa. Disarankan cari pra-sekolah yang belajar sambil bermain. Jika ada fasiliti taman permainan mini, lebih baik.
- Ajar anak skil pengawalan diri (self-regulation), konsep berkongsi, konsep pertahankan diri, skil toleransi kekalahan (frustration tolerance) dan skil sosial mengikut umurnya.
- Bahagian ini kena ajar konsep yang betul supaya anak tak membuli atau dibuli oleh orang lain.
4. RANCANG PERJALANAN PEMBELAJARAN ANAK
- Isu ini agak sensitif sedikit tetapi bagi saya penting untuk mak ayah fikirkan.
- Jika mak ayah rancang untuk masukkan anak ke pra-sekolah yang menggunakan 100% modul dari luar negara, mak ayah perlu lihat dan selaraskan modul pendidikan dalam Malaysia. Sekiranya merancang nak masukkan anak ke sekolah kebangsaan aliran perdana, selepas habis pra-sekolah kerana perancangan pendidikannya berbeza.
- Melainkan mak ayah memang merancang untuk masukkan anak ke sekolah rendah antarabangsa. (Boleh rujuk Educational Psychologist).
- Jangan termakan dengan jaminan anak pandai seawal usia kerana ia tak menentukan anak berjaya di masa akan datang. Jauh lagi perjalanan pembelajaran yang anak perlu tempuh.
5. PERKEMBANGAN ASAS
- Pastikan anak tiada masalah kelewatan perkembangan sebelum daftarkan anak. Sekiranya ada, maklumkan pihak pra-sekolah sama ada boleh terima ataupun tidak.
- Mak ayah yang ada anak mempunyai masalah perkembangan, disarankan untuk buat senarai tingkahlaku mencabar anak (sekiranya ada). Ataupun sediakan video untuk tunjukkan pada pengusaha pra-sekolah terutamanya anak ASD dan ADHD.
- Ada pra-sekolah yang memang gurunya terlatih untuk menghadapi masalah tingkahlaku mencabar anak.
- Jangan putus asa untuk cari pra-sekolah yang serasi dengan anak.
FAKTOR PRASEKOLAH
1. GURU
Guru sangatlah memainkan peranan penting dalam pembentukan karakter dan sahsiah anak.
- Pastikan guru-guru di pra-sekolah ataupun sekurang-kurangnya ada wakil guru yang mempunyai latar belakang pendidikan yang berkaitan.
- Cuba bayangkan anak sedang bermain lego, ada rakannya datang terus rampas mainan tetapi guru memihak pihak yang salah mengikut siapa yang menangis lagi kuat. Habislah runtuh tahap keyakinan diri anak.
- Cara guru bercakap dengan anak juga penting.
- Pastikan ratio guru dan pelajar tidak melebihi ketetapan KPM (1 guru : kurang 25 pelajar). Di negara maju, nisbah guru dan pelajar adalah 1:13.
- Semakin sikit nisbah guru dan pelajar, semakin bagus. (Rujuk di komen untuk garis panduan pra-sekolah KPM.
2. AKTIVITI PEMBELAJARAN
- Kanak-kanak belajar melalui bermain, pastikan pembelajaran anak di kelas tidak terikat hanya kerusi dan meja sahaja.
- Waktu ini adalah masa terbaik untuk mak ayah kenalpasti minat dan potensi diri anak dan boleh kembangkan bakat anak seawal yang boleh.
- Tak ada masalah untuk hantar anak belajar melukis, mewarna, memasak, musik, sukan, bahasa dan lain-lain dengan lebih serius jika anak mempunyai minat yang mendalam dan atas permintaan anak.
3. PERKEMBANGAN PSIKOSOSIAL ANAK
- Mengikut Teori Erikson, tahap perkembangan psikososial anak 3-5 adalah Inisiatif VS Kesalahan.
- Normal sewaktu ini anak akan cuba buat sesuatu yang baru ataupun berinisiatif mengikut kreativitinya.
- Saat ini anak belajar untuk bertanya 1001 soalan, merancang sesuatu, buat keputusan, memulakan aktiviti dan mencipta aktiviti.
- Jika saat genting ini anak selalu dihalang untuk berinisiatif, selalu dikritik, tidak boleh membuat keputusan ataupun tidak ada peluang untuk memberikan pandangan, anak akan rasa berinisiatif adalah suatu KESALAHAN.
- Maka, guru juga sangatlah berperanan yang sangat penting untuk memastikan perasaan anak untuk berinisiatif tidak mati begitu sahaja seterusnya, menyebabkan komponen kreativiti anak hilang.
RINGKASNYA,
Apa yang paling merisaukan dan perlu dipandang serius sebelum memilih pra-sekolah adalah:
- Anak umur bawah 7 tahun masih belum boleh menapis maklumat. Apa yang dilihat dan didengar, itulah yang dirasakan betul.
- Perkembangan genting emosi dan sosial anak berlaku semasa ini. Sekiranya tersilap langkah boleh mempengaruhi masa hadapan anak.
- Anak terdedah dengan risiko masalah pedophilia dan “sexual grooming” yang mereka sendiri tak perasan boleh berlaku.
- Anak cemerlang di pra-sekolah tidak menjanjikan berjaya di masa akan datang, jauh lagi perjalanan anak.
- Yuran pra-sekolah tak menentukan “kebagusan”nya. Murah tak bermaksud tak bagus, mahal tak bermaksud bagus.
- Guru memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu dalam perkembangan skil sosial anak bersama rakan-rakannya.
- Pastikan anak belajar dalam keadaan rela, bukan terpaksa semasa 7 tahun ke bawah.
- Bincang dan rancang perjalanan pendidikan anak sebelum masukkan ke pra-sekolah. Pastikan ianya selari. (Boleh rujuk Educational Psychologist).
Jadi, nak hantar anak ke pra-sekolah yang mana satu? Bolehlah fikir-fikirkan point saya di atas.
Inilah antara yang saya fikirkan sebelum masukkan anak ke pra-sekolah. Saja tulis panjang-panjang, nak biar mak ayah lain pun pening nak pilih pra-sekolah anak macam saya. Terima kasih, silakan kongsi sekiranya bermanfaat untuk mak ayah lain.
Sumber: Facebook Maryam Jamadi