Asuh

Hairan Mata Anak Kerap Berkedip & Tak Terkawal, Rupanya Kena Gangguan Ini!

mata berkedip-kedip

“Mata berkedip-kedip tu, kenapa dengan anak kita ini bang?”

Mungkin terdapat dalam kalangan ibu bapa di luar sana yang sedang atau pernah berdepan situasi sebegini. Di mana, anda berasa hairan apabila melihat anak terlalu kerap mengedipkan mata beberapa kali atau mengeluarkan bunyi pelik seolah-olah tidak boleh dikawal.

Kemungkinan si manja anda sedang mengalami gangguan tics. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut mengenai gangguan ini, teruskan pembacaan anda di bawah.

Baca juga: Jangan Bagi Anak Bawah 7 Tahun Tonton Kartun ‘Skibidi Toilet’, Rosak Perkembangan Otak!

MATA BERKEDIP-KEDIP

mata berkedip-kedip

Gambar: parenting first cry

Apakah gangguan tics?

Pada satu ketika dalam hidup anda, mungkin pernah mengalami kekejangan otot tertentu yang tidak disengajakan, berterusan dan berulang. Pergerakan ini dikenali sebagai tics, sering menjejaskan kelopak mata atau muka. Walau bagaimanapun, tics boleh berlaku di mana-mana pada tubuh badan.

Dalam kebanyakan keadaan, tics tidak berbahaya dan hanya sementara. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, ia boleh menyebabkan gangguan pada kelangsungan hidup. Gangguan tics biasanya boleh diuruskan dengan rawatan dan perubahan gaya hidup.

Biarpun tics boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, namun pakar ada mengatakan tics banyak berlaku pada kanak-kanak. Di mana sekitar 20% kanak-kanak mengalami tics. Malah, tics jauh lebih banyak berlaku kepada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan.

Jenis-jenis gangguan tics

Ibu bapa juga perlu mengetahui, terdapat dua jenis tics yang berbeza iaitu motor dan vokal.

1. Tics motor adalah pergerakan sejumlah otot seperti pergerakan otot di mata atau bahagian anggota badan yang dikelaskan sama ada mudah atau kompleks.

  • Tics motor mudah: pergerakan seperti mengedipkan mata, mencuit hidung, menyentak kepala atau mengangkat bahu.
  • Tics motor kompleks: satu siri pergerakan yang dilakukan dalam susunan yang sama. Sebagai contoh, seseorang mungkin menyentuh sesuatu berulang kali.

2. Tics vokal adalah bunyi yang dikeluarkan melibatkan tekak, batuk, mencicit dan merengus.

Tics berlaku secara tiba-tiba. Di mana, ia selalunya berulang berturut-turut dalam pergerakan yang sama. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai tics mungkin berkelip mata beberapa kali atau mengedutkan hidung berulang kali.

Punca gangguan tics

Punca tics masih tidak dapat dikenal pasti dengan tepat apa yang menyebabkan ia berlaku. Adalah penting untuk diingatkan bahawa tics anak anda adalah tidak disengajakan.

Baca juga: Jangan Ambil Mudah Bila Anak Demam, Rupanya Itu SIMPTOM Influenza!

Rawatan dan tindakan gangguan tics

Rawatan untuk gangguan tics bergantung pada tahap keterukannya. Dalam banyak keadaan, tiada rawatan diperlukan dan tics akan sembuh dengan sendirinya.

Dalam kes tertentu, doktor mungkin menetapkan terapi tingkah laku, ubat atau gabungan kedua-duanya.

  • Terapi tingkah laku membantu penghidap belajar menguruskan gejala tics mereka dan mengurangkan kekerapan tics.
  • Ubat-ubatan biasanya digunakan untuk mengurangkan kekerapan tics dan meningkatkan kehidupan harian seseorang.

Ini biasanya tidak mengakibatkan pengurangan sepenuhnya gejala tics.

Selain itu, sebagai ibu bapa anda boleh cuba mengehadkan jumlah perhatian yang tertumpu pada tics. Sebagai contoh, daripada meminta kanak-kanak itu berhenti, puji mereka kerana menarik nafas dengan tenang terutama apabila sedang berasa gementar.

Perkara penting untuk diingati

Kanak-kanak dengan tics boleh berjaya dalam apa sahaja yang mereka pilih. Hal ini kerana, terdapat beberapa individu terkenal yang telah didiagnosis dengan gangguan tics, menjalani kehidupan mereka dengan berjaya. Antaranya adalah:

  • Tim Howard – pemain bola sepak profesional
  • Billie Eilish – pemenang anugerah Grammy lima kali
  • Dan Aykroyd – pelakon, penerbit, pelawak dan pembuat filem terkenal (Saturday Night Live) dan peranannya membintangi The Blues Brothers dan Ghostbusters

Kesimpulan

Walau pun tics bukan lah gangguan yang serius, jangan lupa untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan berunding dengan pakar pediatrik atau pakar mata, sekiranya ia kelihatan teruk, berterusan atau mengganggu aktiviti harian anak anda.

Baca juga: Jangan Panik! Ini Langkah Awal Ibu Bapa Boleh Buat Bila Anak Sawan Demam

Sumber: pandasnetwork / webmd / todaysparent /psychologytoday

FT Image: moleculeralabs

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×