Deko & Hias

Cara Tanam Pokok Kantan Berbunga Lebat, Panduan Jelas Dari A-Z!

78
SHARES
cara tanam pokok kantan

Pokok kantan boleh ditanam sebagai tanaman hiasan, selain bunganya dimanfaatkan sebagai ramuan penting dalam masakan. Menariknya, ia sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah, asalkan kawasan penanaman adalah bukan kawasan takungan air. Kalau nak tahu sebabnya, ikuti perkongsian tips dan cara tanam pokok kantan dari Puan Siti Rokiah Che Hat ini.

Baca juga: Nak Pokok Bunga Matahari Kembang Cantik, Buat Tips Ini & Dapat Sama Makan Kuaci!

CARA TANAM POKOK KANTAN

cara tanam pokok kantan

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

CARA TANAM BUNGA KANTAN YANG BETUL

Perkongsian ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan cara tanam bunga kantan dari segi syarat penanaman hingga kawalan penyakit dan perosak.

Kantan ialah sejenis tanaman ulam tradisional di Malaysia. Ianya merupakan pokok herba yang tumbuh membiak dan merimbun secara berkelompok. Bunganya merupakan bahagian utama yang digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti dalam masakan.

Bagi masyarakat Melayu, bunga kantan ini adalah sinonim dalam masakan sebagai perasa di dalam penyediaan asam laksa, asam pedas dan juga nasi kerabu.

Baca juga: Tips Tanam Pokok Mulberi Atas Tanah Membesar Rendang & Tak Meninggi, Baru Senang Petik!

1. Keperluan asas tanaman

Dari segi faktor iklim, tanaman ini sesuai ditanam di kawasan yang bersuhu sekitar 24°C -33°C dan menerima taburan hujan antara 1800-2200mm. Manakala, faktor tanah pula ianya sesuai ditanam pada berbagai-bagai jenis tanah asalkan kawasan penanaman adalah bukan kawasan takungan air.

Sekiranya pokok kantan ditanam pada kawasan tersebut, dikhuatiri bahawa ianya akan menyebabkan pertumbuhannya terjejas. Disamping itu, mengakibatkan akar dalam tanah membusuk dan menyebabkan pokok mati.

Jenis tanah yang paling ideal digunakan untuk tanaman ini adalah jenis loam berpasir.

2. Penyediaan bahan tanaman

cara tanam bunga kantan

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

Pokok kantan boleh ditanam menggunakan rizom atau biji benih. Kebiasaannya, ramai yang menggunakan rizom kerana ianya lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan penggunaan biji benih.

Bagi pemilihan rizom sebagai bahan tanaman:

  • Pertama sekali perlu mencangkul keluar rizom yang mempunyai sulur dari perdu pokok
  • Kemudiannya, rizom yang diperolehi akan dipotong dan setiap potongan rizom seeloknya mempunyai 2-3 mata tunas dan akar serabut untuk menggalakkan pertumbuhan

Baca juga: Petua Halau Haiwan Liar Dari Masuk Ladang, Kaedah Mesra Tanpa Menyakiti Makhluk Lain!

3. Penyediaan tanah

Penyediaan tanah atau kawasan, perlu diketahui terlebih dahulu skala penanaman yang ingin diusahakan.

  • Jika hendak diusahakan secara kecil-kecilan, penanaman di sekeliling kawasan kediaman sudah memadai.
  • Manakala untuk penanaman secara komersial, boleh menjalankannya sebagai tanaman selingan di dusun buah-buahan.

Disebabkan pokok ini adalah jenis pokok yang berasal dari hutan, sudah menjadi habitatnya tumbuh pada kawasan yang bersemak. Oleh itu, penyediaan kawasannya juga tidak perlu dibersihkan secara menyeluruh.

Bagi penanaman di kawasan baru, lorong-lorong penanaman sahaja yang perlu dibersihkan. Ini bertujuan bagi memudahkan proses penentuan corak penanaman.

  • Kebiasaannya, jarak tanaman yang disyorkan ialah 2m di antara barisan dan 1m di dalam barisan.
  • Manakala untuk lubang penanaman pula, adalah berukuran 20cm x 20cm x 20cm.

Kedua-dua langkah ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerja penanaman dijalankan.

4. Penanaman

Dengan menggunakan rizom yang telah disediakan,

  • Masukkannya ke dalam lubang yang telah digali lalu dipadatkan dengan tanah
  • Kemudian, gunakan daun-daun kering untuk dijadikan sebagai sungkupan bagi mengelakkan tunas-tunas muda daripada kekeringan
  • Waktu penanaman sebaiknya diselaraskan dengan musim hujan bagi mendapatkan pertumbuhan yang sempurna

Walaupun tanaman ini tidak memerlukan penjagaan rapi, namun begitu amalan pertanian yang baik seperti pembersihan kawasan, pembajaan, kawalan musuh dan penyakit masih perlu diberi tumpuan dari semasa ke semasa.

Baca juga: Buat 5 Petua Ini Agar Pokok Mangga Berbuah Lebat Dalam Pasu, Ramai Lagi Tak Tahu Rupanya!

5. Pemangkasan

Tanaman ini perlu dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan sulur daun yang baru dan meningkatkan pengeluaran bunga. Bahagian yang dipangkas kebiasaannya adalah bahagian daun yang telah tua ataupun kekuningan.

Bagi pengurusan sisa yang teratur,

  • Bahagian yang dipangkas itu tidak perlu dibuang atau dibakar kerana masih berguna terhadap tanaman ini
  • Bahagian yang dipangkas boleh dijadikan sungkupan bagi mengawal pertumbuhan rumpai
  • Apabila bahagian tersebut mereput, ianya memberi manfaat lain kepada tanaman iaitu sebagai sumber bahan organik kepada pertumbuhan kantan

6. Pengurusan air

bunga kantan

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

Dari segi pengurusan air, tiada maklumat mengenai keperluan air bagi tanaman ini bagi mendapatkan pengeluaran hasil yang optimum sehingga kini. Ianya didapati hidup subur di bawah naungan tanaman lain.

Namun begitu, tanaman ini tidak sesuai ditanam pada kawasan air bertakung untuk tempoh masa yang lama.

Sebagai langkah keselamatan, laksanakan sistem perparitan yang sistematik bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran air. Dengan ini, lebihan air dapat disalirkan ke parit utama dan tiada lagi masalah ketidaksesuaian kawasan penanaman.

Baca juga: Tanam Sayur Bayam Guna Penapis Je Bercambah Lebat, Sesuai Untuk Rumah Tiada Laman!

7. Kawalan rumpai, penyakit dan perosak

Kawalan rumpai bagi tanaman ini perlu diberi perhatian pada tahun pertama penanaman.

  • Bagi perlaksanaan kerja ini, semburan racun rumpai glyphosate perlu dijalankan secara berhati-hati bagi mengelakkan tempias racun terkena pada pokok kantan
  • Selepas tahun pertama, kebiasaannya naungan daripada kanopi rumpun kantan akan merimbun pada masa yang sama mengawal pertumbuhan rumpai secara tidak langsung

Manakala dari segi penyakit dan perosak pula, sehingga kini masih tiada lagi gejala serius yang menyerang tanaman ini.

  • Paling merisaukan para pengusaha pada hari ini adalah serangan anai-anai berikutan daripada kawasan penanaman yang mempunyai banyak kayu reput
  • Akibat daripada serangan anai-anai akan menyebabkan pokok menjadi layu dan kekuningan
  • Lambat-laun sekiranya tidak dikawal akan mengakibatkan keseluruhan pokok dalam rumpun yang sama juga terjejas
  • Bagi mengatasi masalah ini, laksanakan semburan racun serangga chlorpyrifos pada bahagian yang terkena serangan anai-anai

8. Penuaian hasil

cara tanam bunga kantan

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

  • Pokok kantan mula mengeluarkan bunga setelah berumur 9 bulan
  • Bunga kantan yang belum kembang akan dipetik dengan memotong pada bahagian pangkal sulur sepanjang 30cm
  • Pokok kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun, oleh itu ianya hendaklah dipungut setiap hari bagi mengelakkan kudup bunga menjadi kembang
  • Kebiasaannya, bunga kantan yang dijual di pasaran adalah mempunyai kudup yang masih tertutup
  • Selepas itu, bunga yang dipetik akan dimasukkan di dalam bakul plastik dan disimpan bagi mengelakkan daripada terkena sinaran matahari, kerana suhu yang tinggi boleh menjejaskan kualiti bunga kantan yang dipetik.
  • Bagi peringkat jualan, bunga kantan akan diikat terlebih dahulu pada pangkalnya yang mengandungi 20 keratan bunga dan disimpan secara berdiri supaya tidak mudah rosak

Diharapkan perkongsian cara tanam bunga kantan ini akan membantu para pembaca untuk melakukan penanaman bunga kantan dengan betul. Selamat mencuba!

Baca juga: Cara Tanam Betik Sekaki, Lepas 5 Bulan Dah Berbuah & Saiz Panjang Puas Makan!

Sumber: Siti Rokiah Che Hat via Jom berkebun dirumah(untuk beginner)

FT Image: Siti Rokiah Che Hat

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×