Nur

Waswas Cecair Yang Keluar Air Mani atau Air Mazi & Perlu Ke Mandi Wajib? Ini Penjelasannya!

33
SHARES
air mani

Boleh jadi seseorang wanita itu berasa waswas apabila melihat cecair yang keluar dari kemaluannya sama ada air mani ke air mazi. Jadi, perlukah dia mandi wajib?

Melalui penjelasan yang dibuat di laman Maktabah Al Bakri, individu tersebut wajib mandi sekiranya ia adalah air mani. Sebaliknya pula untuk air mazi, maka hanya perlu dicuci bersih dan jika dalam keadaan berwuduk perlu mengambil semula kerana sudah terbatal.

Bagaimana pula, sekiranya anda waswas? Anda ada pilihan ketiga. Bagaimana pula nak tahu perbezaannya? Jom baca untuk tahu dengan lebih lanjut!

Soalan: Ini 10 Kesalahan Dalam Solat Yang Mungkin Terlepas Pandang, Mari Betulkan!

AIR MANI KE AIR MAZI, WASWAS TAK DAPAT DIBEZAKAN

air mani

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Jika seorang wanita waswas terhadap air atau cecair yang keluar sama ada air mani atau tidak, dan mengambil jalan untuk mandi wajib adakah memadai? Mohon pencerahan mengenai perkara ini. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kita hendaklah mengetahui bahawa antara sebab yang mewajibkan seseorang itu untuk mandi ialah janabah. Makna asal janabah ialah jauh. Janabah juga bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan.

Oleh itu, orang yang berjunub ialah orang yang tidak suci disebabkan keluarnya air mani atau bersetubuh. Ia dinamakan sebagai junub kerana orang yang berjanabah itu menjauhkan diri daripada mendirikan solat selama mana dia berkeadaan demikian.

Perkataan junub digunakan untuk umum, sama ada untuk lelaki atau perempuan, dan sama ada untuk seorang atau ramai.

Seseorang itu dianggap junub kerana 2 perkara

Seseorang itu dianggap sebagai telah berjunub disebabkan oleh dua perkara:

  1. Keluar air mani sama ada dalam kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal.
  2. Bersetubuh sekalipun tidak keluar air mani.[1]

Baca juga: Amalkan Tasbih Ini Bila Penat Urus Keluarga, Insha Allah Berkesan!

Tidak pasti air yang keluar; air mani atau bukan

Terdapat beberapa tanda yang dinyatakan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia ialah air mani. Maka, ia wajib ke atas sesiapa yang ada salah satu daripada tanda-tanda ini untuk mandi wajib, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan.

Tanda-tandanya ialah:

  • Ia keluar dengan rasa lazat dan kepuasan syahwat.
  • Ia keluar secara memancut.
  • Mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.

Walau bagaimanapun, perlu diberi perhatian juga bahawa bukanlah tanda air mani itu mesti bewarna putih, keluarnya dengan diiringi lembiknya zakar atau rasa lemah. Akan tetapi, ia hanyalah perkara yang menunjukan kebiasaannya begitu.

Berasa waswas sama ada air mani atau air mazi seseorang itu perlu…

Oleh itu, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani ataupun air mazi selepas beronani, atau tidak terdapatnya sebarang rasa dan tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar.

Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi.

  1. Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi.
  2. Jika dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya.

Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi.[2]

Bahkan pilihan ketiga ini adalah lebih selamat (ahwat) dan keluar daripada khilaf.

Baca juga: Buat Wanita…Ini Hukum Pakaian Solat Yang Ada Bekas Darah Haid Biarpun Lepas Dicuci!

Kesimpulannya

air mani

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa seorang perempuan itu jika ragu-ragu terhadap air yang keluar dari farajnya sama ada air mani ataupun tidak.

Maka, dalam hal ini dia perlulah melihat kepada tanda-tanda yang menunjukkan kepada keluarnya air mani berdasarkan:

  • warna air tersebut
  • perasaan ketika keluarnya air itu
  • cara keluarnya
  • sebab keluarnya dan lain-lain

Jika tanda-tanda itu menunjukkan kepada air mani, maka ia dikira sebagai air mani dan wajib ke atasnya untuk mandi. Jika tidak, maka ia dikira sebagai air mazi — yakni bukan air mani — dan hanya perlu membasuhnya.

Namun, jika dia tetap juga tidak dapat memastikannya, maka kami berpendapat bahawa menghimpunkan kedua-duanya adalah lebih baik. Yakni mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi — dengan mengambil kira kedua-dua kebarangkalian iaitu sama ada air mani atau air mazi — kerana ia adalah pendapat yang lebih selamat dan keluar daripada khilaf.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Baca juga: Cara Solat Untuk Orang Yang Alami Kencing Tak Lawas, Ibadah Pasti Terjaga!

Sumber: Maktabah Al Bakri  

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×