Euforia Bola 2026
Sihat

Likat & Banyak Tak Bermakna Sihat, Duhai Lelaki Ini 5 Ciri Air Mani Yang Sihat…Isteri Pun Mudah ‘Lekat’!

air mani sihat

Ramai lelaki menganggap air mani sihat ialah yang kelihatan pekat, likat dan keluar dalam kuantiti yang banyak. Hakikatnya, menurut Dr. Raihana Ismail, tanggapan itu kurang tepat kerana kesuburan seseorang lelaki tidak boleh dinilai hanya berdasarkan apa yang dilihat dengan mata kasar.

Menerusi temu bual bersama ML Studio yang dikongsikan di TikTok, beliau menjelaskan bahawa ada lelaki yang mempunyai air mani kelihatan normal, namun sebenarnya sperma kosong, mati atau tidak mampu berenang dengan baik.

Baca juga: “Ingatkan Tukang Masak Terulung…”- Rupanya ShafiqCute Pegawai Forensik DNA, Kongsi Kos & Cara Buat Ujian Ketika Isu Curang Tengah Hangat

CIRI-CIRI AIR MANI SIHAT LELAKI

air mani sihat

TikTok ML Studio: Dr. Raihana Ismail

Justeru, apakah sebenarnya ciri-ciri air mani yang sihat?

1. Kuantiti air mani mencukupi

Menurut Dr. Raihana, bagi setiap ejakulasi, jumlah air mani yang normal ialah sekitar 1.5 mililiter.

Dalam setiap 1 mililiter, sepatutnya terdapat sekurang-kurangnya 15 juta sperma, manakala satu ejakulasi normal mengandungi sekitar 39 juta sperma.

Beliau turut memberi gambaran mudah bahawa isipadu sekitar satu pertiga sudu teh kecil masih dianggap berada dalam julat normal.

2. Warna air mani normal

Warna juga boleh menjadi petunjuk awal keadaan kesihatan lelaki.

  • Putih keladak: Kebiasaannya normal, terutama jika sudah lama tidak melakukan hubungan intim
  • Merah: Mungkin menandakan terdapat darah, kecederaan atau jangkitan dan perlu menjalani pemeriksaan doktor
  • Coklat kehijauan: Berkemungkinan berpunca daripada jangkitan bakteria, kulat atau organisma seperti E. coli yang boleh menjejaskan kesuburan

Bagi lelaki yang terlalu kerap bersama pasangan mungkin menghasilkan air mani yang lebih cair. Namun, air mani yang terlalu cair juga boleh menunjukkan kualiti sperma yang kurang baik kerana lebih banyak sperma yang tidak matang.

3. Bau air mani tidak terlalu hanyir

Selain warna, bau juga tidak boleh diabaikan. Menurut Dr. Raihana, air mani yang normal lazimnya mempunyai bau seakan-akan bahan peluntur.

Jika baunya hanyir seperti ikan atau mengeluarkan bau yang luar biasa, ia boleh menjadi petanda jangkitan kuman dan pemeriksaan lanjut oleh doktor adalah disarankan.

Baca juga: Garu Tapak Kaki Sampai Mengelupas & Bersisik? Jangan Anggap Sekadar Kering, Mungkin Tanda Kulat Kaki!

air mani sihat

Gambar hiasan: Gemini AI

4. Sperma bergerak dengan baik

Selain itu, ciri paling penting bagi air mani sihat sebenarnya hanya boleh dinilai melalui pemeriksaan makmal menggunakan mikroskop.

Daripada sekurang-kurangnya 15 juta sperma bagi setiap 1 mililiter, sekurang-kurangnya 40 peratus perlu bergerak. Daripada jumlah itu pula, sekitar 32% perlu mampu berenang ke hadapan untuk meningkatkan peluang persenyawaan.

Jika sperma hanya bergerak di tempat atau bergerak ke arah yang salah, peluang untuk menembusi ovum menjadi lebih rendah.

5. Bentuk sperma normal

Selain bilangan, rupa bentuk (morfologi) sperma juga sangat penting. Sperma yang normal mestilah berbentuk seperti berudu iaitu mempunyai kepala yang bujur (oval) dan ekor yang lurus untuk berenang ke atas.

Mengikut standard perubatan, jika seseorang lelaki mempunyai 15 juta ekor sperma dalam setiap 1 mililitir (ml) air mani, mereka sebenarnya hanya memerlukan sekitar 4% sahaja sperma yang berbentuk normal dan berkualiti Gred A untuk membolehkan isteri hamil.

Ini bermakna, walaupun baki 96% lagi sperma berbentuk tidak normal (seperti berkepala dua, berekor dua atau tiada ekor), keadaan itu masih dianggap okey dan subur. Asalkan, kumpulan 4% yang berkualiti tadi mampu berenang laju ke atas.

Baca juga: Jangan Ambil Mudah! Bayi Alami ‘Selesema Maut’ Selepas Diberi Ubat, PHM Minta Ibu Bapa Rujuk Doktor Dahulu

PARA LELAKI INGAT… JANGAN HANYA TENGOK LUARAN AIR MANI

Mengakhiri perkongsiannya, Dr. Raihana mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan tentang tahap kesuburan hanya berdasarkan rupa air mani sihat.

Menurut beliau, terdapat juga kes lelaki yang mempunyai air mani kelihatan banyak, pekat dan likat, tetapi sebenarnya sperma kosong, mati atau tidak mempunyai pergerakan yang baik.

Justeru, bagi pasangan yang sedang merancang zuriat atau menghadapi masalah untuk hamil, pemeriksaan sperma di klinik merupakan kaedah paling tepat bagi menilai tahap kesuburan lelaki, bukannya bergantung kepada pemerhatian dengan mata kasar semata-mata.

Sumber: TikTok @mlstudiomy

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×