Famili

Jangan ‘Diam’ Bila Anak Buat Perangai. Ini 8 Tindakan Yang Disaran Pakar

570
SHARES

“Malas betul nak bawa anak pergi beraya. Bukan apa, takut nanti dia buat perangai tiba-tiba. Dah macam-macam cara mendisiplinkan anak kita cuba. Tapi, kenapa macam tak menjadi je?”

Tak ada ibu bapa yang mahu anak mereka buat perangai, apatah lagi di tempat awam. Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang nampak tenang, tapi dalam hati mereka hanya Tuhan yang tahu. Bukannya tak dimarah dan dinasihat, ada kalanya terlepas pandang. Atau mungkin tekniknya kurang tepat sehingga membuat anak tak ambil pusing dan tak mempedulikan langsung amaran ibu bapa dengan serius.

Apapun, sebagai ibu bapa kita tak boleh berputus asa, berpeluk tubuh, dan membiarkan anak melakukan apa yang mereka mahu tanpa kawalan. Berikut adalah 8 cara mendisiplinkan anak yang disarankan oleh pakar.

Jangan ‘Diam’ Bila Anak Buat Perangai. Ini 8 Cara Mendisiplinkan Anak Menurut Pakar

Apabila anak buat perangai dan sukar ditenteramkan, inilah 7 tindakan yang patut ibu bapa lakukan untuk mendisiplinkan anak tersebut.

1. Sentiasa Perhatikan Gerak-geri Mereka

Pertama sekali, ibu bapa mestilah kerap memerhatikan gerak-geri si anak agar sebarang ‘perangai’ dapat dielakkan dengan lebih mudah. Jika ibu bapa tidak menghalang sebarang kelakuan yang dilakukan walaupun secara sembunyi, si anak akan menganggap bahawa perbuatan itu tidak salah.

Contohnya, pastikan anak berada dalam lingkungan penglihatan kita dan jangan biarkan merayau-rayau hingga memasuki bilik tuan rumah. Bila mereka nampak sesuatu yang mereka inginkan, lebih susah untuk ibu bapa menghentikan mereka tanpa tangisan dan drama. Malah, tuan rumah juga mungkin akan rasa bersalah dan ‘terpaksa’ memberi walaupun berat hati.

Foto Kredt: scarymommy.com

2. Fokus Untuk Mendidik

Jika berlaku sebarang perkara yang tak diingini, ibu atau ayah perlulah menahan marah. Ini penting supaya kita dapat melakukan tindakan yang sewajarnya tanpa dipengaruhi oleh emosi.

Ingatkan diri bahawa ini adalah peluang untuk mendidik anak. Mereka perlu selalu diingatkan dan ada masanya mereka juga dipengaruhi emosi tertentu hingga ‘terlupa’ untuk berkelakuan baik.

Elakkan tindakan yang dipengaruhi emosi. / Foto Kredit: parenting.com

3. Asingkan Anak Dari Tempat Kejadian

Jika anak terpecahkan cawan di rumah orang, contohnya. Cepat-cepat bawa si anak ke tempat lain sementara mengarahkan suami atau ahli keluarga yang lain untuk membantu membersihkannya.

Situasi yang tegang di sekeliling anda boleh mempengaruhi emosi dan seterusnya memberi tekanan kepada ibu bapa untuk memilih cara mendisiplinkan anak yang tidak wajar seperti memukul atau mencubit. Sebaliknya, jika anak diasingkan di tempat yang terhadang atau lebih tenang, anda berdua mampu berkomunikasi secara lebih berkesan tanpa gangguan orang luar mahupun adik-beradiknya yang lain.

Foto Kredit: afamily.vn

4. Elakkan Menengking Atau Memukul

Menurut pakar psikologi, si anak perlu belajar mengetahui kesan terhadap tindak-tanduknya. Menengking atau menjerkah si anak kerana ia mungkin akan hanya memburukkan keadaan. Malah, perbuatan memukul boleh menjadikan anak lebih agresif. Dalam keadaan ini juga, anak akan berasa seolah-olah mereka sengaja dimalukan.

Dengan emosi yang sedemikian, anak-anak sukar untuk belajar bahawa perbuatan berlari di dalam rumah akan mengganggu orang, tetapi mesej yang mereka dapat adalah ‘takut’ dimarahi atau dipukul.

kesan pukul anak

Foto Kredit: thetimes.co.uk

5. Wajah Yang Serius & Nada Yang Tegas

Gunakan sesedikit perkataan yang boleh, tetapi dengan nada yang tegas dan wajah yang serius. Selalunya dalam keadaan panik atau marah, kita cenderung untuk membebel atau meninggikan suara kepada anak. Tetapi sebenarnya tindakan ini kurang berkesan, apatah lagi di khalayak ramai.

Ketika diselubungi kekalutan, kuncinya adalah ‘disengage’, iaitu tidak menunjukkan sebarang emosi positif mahupun negatif; seperti yang disarankan oleh Betsy Brown Braun, seorang pakar dalam bidang kelakuan dan perkembangan kanak-kanak. Namun, pastikan adanya ‘eye contact’ dan lebih elok lagi jika anda bercakap dengan anak pada paras ‘eye level’, seperti yang dilakukan oleh Putera William dan Kate Middleton.

Hanya selepas anda berdua kembali bertenang, anda MESTI berbincang tentang perkara yang berlaku sebentar tadi.

cara mendisiplinkan anak

Foto Kredit: boldsky.com

6. Didik Anak Bertanggungjawab

Bagi anak yang berusia 7 tahun ke bawah, fahamkan mereka tentang tanggungjawab dengan menggunakan bahasa yang mudah. Contohnya, “Ibu selalu pesan, kalau dalam rumah tak boleh main bola. Kan dah tumpah air minuman tadi. Nampaknya kamu belum faham lagi. Jadi, untuk 1 minggu ini ibu tak benarkan kamu bermain bola supaya kamu lebih ingat pesan ibu tadi.”

Bagi anak yang lebih besar pula, selain hukuman sedemikian, mereka sudah boleh diajarkan tentang tanggungjawab yang lebih besar seperti menggantikan semula gelas yang pecah dengan wang saku mereka.

Di samping itu, penting untuk mengajarkan anak agar meminta maaf kepada tuan rumah atau sesiapa saja yang terlibat dalam ‘kemalangan’ akibat kecuaiannya. Secara tidak langsung ia turut memahamkan anak supaya menghormati hak orang lain.

Foto Kredit: soltana.ma

7. Konsisten

Ibu bapa mestilah konsisten dan bukan sekadar menggertak anak dengan hukuman atau nada suara yang garang. Lama-kelamaan, mereka akan tahu bahawa anda hanya akan memarahi mereka sementara saja tanpa benar-benar serius terhadap kesilapan yang mereka lakukan.

Sungguhpun ibu bapa akan berasa ‘terseksa’ apabila melihat anak dihukum, percayalah ia adalah pengajaran berharga buat mereka. Yang penting, dalam memilih hukuman, pastikan ianya logik dan bukan berunsur penganiayaan mahupun kesakitan fizikal.

cara mendisiplinkan anak

Foto Kredit: quotesgram.com

8. Jangan Ungkit Semula Kesilapan Mereka

Kalau boleh, selepas hukuman mereka dijalankan, jangan diungkit-ungkit lagi peristiwa tersebut supaya mereka lebih berhati-hati. Sebaliknya, ingatkanlah bagaimana mereka belajar untuk bertanggungjawab dan memperbetulkan kesilapan tersebut.

Jika peristiwa tersebut sering diungkit sebagai sesuatu yang negatif, mungkin lebih sukar bagi si anak belajar untuk memahami tentang konsep tanggungjawab dan adab dengan berkesan.

Ibu Bapa Dan Anak Perlu Bekerjasama Sebagai Satu Pasukan

Akhir sekali, ingatkan diri bahawa anda perlu bekerjasama dengan anak seperti sebuah pasukan. Tidak dinafikan lagi, ibu bapa tidak boleh sekadar berdiam diri jika anak mereka melakukan kesilapan.

Sebaliknya, kita perlu sentiasa kreatif mencari cara mendisiplinkan anak kerana setiap anak adalah unik. Bukan sekadar menghukum, tetapi anak-anak perlu diajar tentang tanggungjawab dengan teknik yang betul.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×