Famili

5 Kesan Pukul Anak Yang Akan Buat Kita Menyesal Seumur Hidup

3.1K
SHARES
pukul anak

“Zarul ni dah banyak kali buat perangai sejak akhir-akhir ni. Dahlah suka menjawab, entah dengan siapa dia belajar. Tadi hampir saja aku hilang sabar. Syukurlah masih waras, bahaya kesan pukul anak ni.”

Dalam mendisiplinkan anak, tentulah tak akan pernah terlintas untuk mengasari dan mencederakan anak masing-masing. Walaubagaimanapun, ada masanya kemarahan yang melanda ditambah lagi dengan keletihan pada ketika itu menjadikan anda seperti ‘dirasuk’ dan tidak sedar apa yang berlaku. Akhirnya, anak menjadi mangsa.

Sesetengah ibu bapa menganggap mencubit, menjentik, piat telinga atau ‘pukulan kecil’ itu tidak mendatangkan mudarat kepada anak-anak. Tapi sebaliknya, kajian mengesahkan bahawa kesan pukul anak termasuklah apa-apa hukuman berbentuk fizikal mampu mendatangkan kesan negatif kepada tubuh dan minda mereka walaupun anak baru sekecil usia setahun.

kesan pukul anak

Foto Kredit: telegraph.co.uk

5 Kesan Pukul Anak Yang Akan Buat Kita Menyesal Seumur Hidup

Tindakan memukul anak walaupun hanya sekadar menjentik atau memukul tangan perlu dijauhi. Ini kerana, ia mendatangkan implikasi yang berat terhadap anak dalam jangka masa panjang.

Antaranya:

1. Anak Sukar Percayakan Ibu Bapa

Menurut laman Psychology Today, perbuatan memukul anak akan menjadikan anak ketakutan dan tidak percayakan ibu bapa mereka. Anak sering menganggap hukuman itu tidak adil kerana mereka masih belum dapat berfikir dan melihat masa depan sejauh ibu bapa mereka.

Akibatnya, mereka akan membina ‘dinding’ dan berlakulah jurang antara ibu bapa dan anak-anak. Apabila terdapatnya ‘kelopongan’ ini, maka anak-anak akan mengisinya dengan mencari perhatian orang lain. Selain itu, mereka mungkin lebih mudah percayakan seseorang yang kelihatan baik tetapi sebenarnya berniat jahat terhadap mereka. Bahaya, bukan?

Foto Kredit: imujer.com

Foto Kredit: imujer.com

2. Kurang Keyakinan Diri

Banyak kajian mendapati anak-anak yang diperlakukan sebegini cenderung untuk mengalami kemurungan, rendah nilai moral, dan bermasalah dari segi sosial. Ini kerana, sejak kecil lagi mereka kurang mendapat galakan positif dan sentiasa menganggap diri mereka ‘jahat’ akibat selalu dipukul.

Oleh itu, mereka akan membesar menjadi seorang yang tidak konfiden dan sukar membuat pertimbangan dan keputusan yang baik untuk diri sendiri.

cara atasi anak mengamuk

Foto Kredit: huffingtonpost.com

3. Mengehadkan Kemahiran Berfikir

Tahukah anda, selain kesan terhadap perkembangan emosi, ia juga boleh menjejaskan kebolehan kognitif anak. Terdapat beberapa penemuan sains yang menyokong kenyataan ini.

Apabila ibu bapa sentiasa memukul tangan anaknya dengan perlahan apabila mereka mencapai perkara yang tidak sepatutnya. Sebenarnya, tangan itu adalah salah satu cara mereka meneroka dan belajar. Sebuah perbandingan mendapati anak yang dipukul tadi mengehadkan kebolehan tangan mereka dan akhirnya menjadi kurang mahir mengendalikan persekitarannya.

Menurut Elizabeth T. Gershoff,  Professor Madya di Jabatan Pembangunan Manusia dan Sains Keluarga di Universiti Texas di Austin analisis yang dilakukannya mendapati semakin kerap seseorang anak dipukul, semakin buruk pencapaian akademiknya.

“Boleh dikatakan semua kajian berkaitan amalan memukul anak kecil memberikan impak negatif terhadap tumbesaran anak-anak tersebut, ia hanya membuatkan anak-anak tersebut berhadapan dengan masalah kepada kesihatan mental mereka,” jelas beliau.

tips didik anak

Foto Kredit: voiceofsandiego.org

4. Anak Cenderung Bertindak Agresif

Hasil kajian yang diterbitkan oleh Jurnal Pembangunan Kanak-Kanak keluaran September/Oktober 2009 mendapati bahawa pukulan kepada anak-anak sekecil usia setahun akan menjadikan mereka kanak-kanak yang agresif seiring penambahan usia mereka.

Jika dibandingkan dengan menasihati, membebel, atau menengking, anak kecil lebih cenderung memberontak terhadap hukuman fizikal berbanding apa saja teknik lain yang diguna pakai oleh ibu bapa.

kesan pukul anak

Foto Kredit: zerotothree.org

5. Ia Hanya Mendisiplinkan Anak Buat Sementara

Hakikatnya, kesan pukul anak hanyalah berkesan menjadikan anak menjauhi anda, bukannya menjauhi perbuatan yang tidak sepatutnya itu. Bahkan, ia tidak semestinya dapat menyelesaikan punca kepada masalah yang dihadapi oleh anda berdua.

Lebih teruk lagi, anak mungkin akan cuba melakukan sesuatu secara sembunyi kerana terlalu takutkan anda. Akhirnya mereka terbiasa berbohong dan terbawa-bawa dengan sikap ini hingga dewasa.

mendidik anak

Foto Kredit: quotesgram.com

Kawal Kemarahan Anda

Artikel ini bukanlah bertujuan untuk menggalakkan ibu bapa agar memanjakan anak-anak. Sebaliknya, sekadar memberi peringatan agar kita haruslah proaktif dalam memantau anak-anak dan menasihati mereka dengan konsisten sebelum menggunakan ‘shortcut’ untuk memukul. Hakikatnya, zaman kini sudah berubah dan kita sebagai ibu bapa mesti bertindak bijak dalam mengaplikasikan tindakan yang lebih relevan agar anak-anak berdisiplin.

Merujuk kepada Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan menurut beliau lagi,  kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh tahun, itupun setelah melalui proses nasihat dan didikan yang panjang. Malah, pukulan yang dibenarkan mempunyai tatacaranya dan tidak boleh menyebabkan kecederaan yang serius.

Sabda Nabi s.a.w:

“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Kesimpulannnya, walaupun dalam Islam ada menyebutkan tentang bolehnya memukul anak, namun ia bukanlah suatu tindakan yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Malah, ia terbukti boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif berbanding kesan positif.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×