Asuh

Anak Mudah Menangis Tanda Kurang Percaya Diri. Ini 7 Cara Atasinya

76
SHARES

“Si Naila ni asyik nak merengek je, lagi-lagi bila ada yang tegur dia. Dahlah asyik nak berkepit dengan kita. Kenapalah susah sangat nak suruh dia main sendiri.”

Salah satu sebab anak kecil sukar berdikari dan mudah menangis adalah kerana mereka kurang percaya diri. Ada yang tak mahu bersosial, tak selesa bila bersendiri, dan asyik merengek ketika bermain dengan anak lain.

Selain “I love you,” ada banyak lagi ucapan yang perlu mereka dengarkan daripada kita setiap hari untuk membina keyakinan diri.

Bina Keyakinan Diri Anak Dengan 7 Ayat Ini

1. “Kamu sangat hebat kerana…”

Kenapa ianya efektif: 

Siapa lagi yang akan membina keyakinan diri anak kecil kalau bukan ibu bapa sendiri? Tapi, jangan sekadar mengatakan “Pandainya…” kerana anak-anak mungkin akan menjadi terlalu achievement oriented atau sukar menerima kegagalan.

Cara yang terbaik untuk memuji anak adalah dengan menjelaskan mengapa sesuatu yang mereka lakukan adalah baik. Contohnya apabila mereka cuba memakai baju sendiri (walaupun tidak berjaya memakai dengan betul). Elak daripada terlalu fokus kepada hasilnya, tetapi kepada proses dan sikap mereka.

cara ajar anak bercakap

Foto Kredit: praxisvita.de

2.“Mama sayangkan kamu walaupun ada masanya kita bergaduh.”

Kenapa ianya efektif:

Anak kecil perlu tahu bahawa kita mengambil berat tentang mereka termasuklah ketika kita tidak bersetuju dengan mereka. Dengan menidakkan keinginan mereka tidak bermaksud kita membenci mereka.

Jika mereka faham konsep ini, akan timbulnya perasaan yakin diri, jujur, dan rasa seronok untuk berkongsi sebarang masalah dengan kita walaupun ketika semakin meningkat usia nanti.

Percayalah, anak-anak juga tak pernah rasa letih diberitahu betapa kasihnya kita terhadap mereka.

tips mengajar anak kecil

Foto Kredit: parenting.com

3. “Mama dan Papa rasa bangga dengan kamu.”

Kenapa ianya efektif:

Setiap anak mahu membanggakan ibu bapa mereka. Tidak kiralah dalam hal yang kita anggap remeh seperti memakan sayur, ketahuilah bahawa mereka mungkin telah mengerahkan tenaga, mengatasi rasa takut, dan berusaha berlipat kali ganda untuk mencapainya.

Apabila kita menghargai sekecil-kecil usaha mereka, mereka akan cenderung untuk menunjukkan kemajuan, walaupun sedikit demi sedikit.

Foto Kredit: kukuriku.ru

4. “Terima kasih, sayang.”

Kenapa ianya efektif:

Sekalipun si kecil tidak mengucapkan terima kasih untuk semua perkara yang kita lakukan untuk mereka, ayat ‘terima kasih’ yang kita ucapkan berulangkali kepada mereka ini akan menjadi contoh dan tabiat baik untuk mereka ikuti.

Secara automatiknya, anak-anak juga akan merasakan setiap perbuatan mereka dihargai dan sekaligus mendorong mereka untuk turut menghargai.

5. “Abang / kakak / adik tu sayangkan kamu sangat-sangat!”

Kenapa ianya efektif: 

Apabila timbulnya pergaduhan adik-beradik, mungkin salah seorang akan bermasam muka apabila ditegur oleh ibu bapa. Ada masanya, mungkin kita tak perasan sikap kita ‘memenangkan’ salah satu pihak tanpa bertujuan berbuat demikian.

Tak kiralah sekerap mana mereka ‘berperang’ setiap hari, setiap anak tentu tidak suka dibandingkan dengan adik-beradik yang lain. Malah, ia boleh menyebabkan mereka berasa rendah diri dan cemburu terhadap satu sama lain. Sebagai ibu bapa, kita boleh menjadi ‘orang tengah’ dengan membantu mereka mengekspresikan kasih sayang dan menangkis persaingan yang tidak sihat antara mereka.

tips mendidik anak kecil

Foto Kredit: laprensa.hn

6. “Mari kita cuba bersama.”

Kenapa ianya efektif:

Anak-anak yang kurang konfiden selalunya lebih gemarkan rutin. Mereka sukar mencuba perkara baru dan tidak mahu mengambil risiko kerana takut ditertawakan.

Dengan menunjukkan cara yang betul atau mengajak mereka melakukan sesuatu bersama-sama, mereka akan cuba menangani perasaan ini sedikit demi sedikit.

anak yang sensitif

Foto Kredit: mommynearest.com

7. “Ini tugas kamu untuk hari ini…”

Kenapa ianya efektif:

Tahukah anda, sebenarnya anak seawal usia 2 tahun boleh dilatih untuk melakukan kerja rumah yang mudah seperti memasukkan baju ke dalam bakul kotor.

Apabila dididik sejak kecil, anak-anak akan mempunyai rasa tanggungjawab. Malah, ia menunjukkan bahawa kita meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk melakukan sesuatu tugas. Kajian juga membuktikan bahawa anak yang melakukan kerja rumah sejak kecil akan lebih berjaya dalam hidup dan kerjaya.

berjaya dalam hidup

Foto Kredit: goodhousekeeping.com

Jangan Lupa Menjadi Pendengar Terbaik!

Akhir kata, jangan lupa pula untuk mendengarkan apa yang mereka ingin luahkan kepada kita sebagai ibu bapa. Komunikasi 2 hala amat penting untuk membuat mereka sentiasa berasa selamat dan yakin diri.

Oleh itu, layanilah cerita mereka dan jawablah pertanyaan mereka walaupun ia kedengaran seperti tak masuk akal!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×