Sebuah premis barangan bayi tampil memohon maaf selepas insiden seorang pelanggan membawa masuk seekor anjing dalam troli ketika berada di dalam premis tersebut menjadi perhatian ramai.
Kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa pengguna berkongsi gambar berkaitan insiden berkenaan, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai aspek kebersihan serta sensitiviti pelanggan beragama Islam.
Baca juga: Mama Papa…Cuti Sekolah Penggal 2 Dah Nak Mula! Semak Tarikh Ini Sebelum Rancang Percutian Keluarga
ANJING DALAM TROLI DI PREMIS BARANGAN BAYI JADI PERHATIAN RAMAI

Menerusi satu kenyataan, pihak pengurusan memaklumkan tindakan segera telah diambil sebaik menyedari kejadian tersebut.
Pelanggan terbabit telah dimaklumkan bahawa haiwan peliharaan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam premis dan diminta membawa keluar anjing berkenaan dengan segera.
Pihak pengurusan turut menjelaskan bahawa mereka mengambil serius kebimbangan pelanggan, khususnya berkaitan aspek kebersihan dan kesucian selepas insiden tersebut berlaku.
Susulan kejadian itu, pihak premis memaklumkan mereka telah mendapatkan pandangan serta panduan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Daerah Hilir Perak bagi memastikan proses pembersihan dilakukan mengikut tatacara yang sewajarnya.
Premis tersebut juga akan ditutup sementara pada 5 Ogos 2026 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan sebelum operasi disambung semula.
Mohon maaf kepada pelanggan

Dalam kenyataan sama, pihak pengurusan memohon maaf kepada pelanggan yang terkesan dan mengakui bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku.
“Kami dengan setulus hati memohon maaf atas kebimbangan, ketidakselesaan dan kesilapan yang berlaku dan kami mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap insiden ini dan amat kesal atas kejadian tersebut,” katanya.
Sebelum ini, kejadian berkenaan mendapat perhatian ramai selepas imej seekor anjing yang diletakkan di dalam troli dipercayai berlaku di sebuah premis barangan bayi tersebar di media sosial.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna internet yang menyuarakan pandangan masing-masing berkaitan isu kebersihan, pengurusan premis serta sensitiviti pelanggan.
Baca juga: Semakan Keputusan Prasekolah KPM 2027 Dibuka Mulai 5 Ogos! Ini Cara Semak & Buat Rayuan
Sumber: Malaysia Gazette & Facebook Yin Onn Teluk Intan
