Harga PERODUA Axia untuk beberapa varian kini diturunkan sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta susulan peningkatan kecekapan operasi yang dilaksanakan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).
Pelaksanaan harga baharu itu melibatkan model kompak yang menjadi antara pilihan utama rakyat Malaysia, khususnya bagi mereka yang memerlukan kenderaan praktikal untuk kegunaan harian.
Baca juga: Tular Pekerja Didakwa Guna Air Liur Asingkan Pelapik Makanan, Pemilik Kedai Tampil Mohon Maaf
HARGA PERODUA AXIA TURUN SEHINGGA RM4700

Menurut PERODUA, pelarasan harga berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat berkongsi manfaat daripada penjimatan operasi yang berjaya dicapai bersama pelanggan.
Langkah itu turut mencerminkan komitmen syarikat dalam membantu mengurangkan beban kos pengguna, terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, harga baharu tersebut adalah antara inisiatif berterusan syarikat bagi membantu rakyat Malaysia menghadapi tekanan kos.
“Harga baharu ini adalah antara usaha berterusan kami untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” katanya.
Bagi pasaran Semenanjung Malaysia, Perodua Axia 1.0G menerima pengurangan harga terbesar iaitu sebanyak RM4,700, menjadikan harga baharunya RM33,900 berbanding RM38,600 sebelum ini.
Sementara itu, harga Axia 1.0X dikurangkan sebanyak RM1,500 kepada RM38,500, manakala varian Axia 1.0SE menerima pengurangan RM1,000 dengan harga baharu RM43,000.
Bagi varian tertinggi Axia 1.0AV pula, harga dikurangkan sebanyak RM500 menjadikan ia ditawarkan pada RM49,000.
Bagi pelanggan di Sabah dan Sarawak, Axia 1.0G kini ditawarkan pada harga RM35,900 selepas pengurangan RM4,700 daripada harga asal RM40,600.
Axia 1.0X pula mengalami penurunan sebanyak RM1,500 kepada RM40,500, manakala Axia 1.0SE turun RM1,000 kepada RM45,000.
Sementara itu, Axia 1.0AV kini berharga RM51,000 selepas pengurangan RM500. Semua harga yang diumumkan adalah tidak termasuk kos insurans.
Spesifikasi Axia kekal tidak berubah

PERODUA menjelaskan bahawa penurunan harga tersebut tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap spesifikasi, ciri keselamatan atau standard kualiti bagi model Axia.
Menurut syarikat itu, penjimatan yang diperoleh adalah hasil daripada usaha meningkatkan kecekapan operasi, penambahbaikan proses kerja serta kerjasama bersama pembekal dan rakan kongsi dalam industri automotif.
Datuk Seri Zainal Abidin berkata, usaha meningkatkan kecekapan kos dilakukan secara berterusan bagi memastikan manfaat dapat dikongsi bersama pelanggan serta seluruh ekosistem automotif.
“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami di atas kerjasama dalam menambah baik kecekapan kos untuk manfaat bersama bukan sahaja pemain industri tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Baca juga: Wan Sharmila Tinggalkan Dunia Seni, Kini Bergelar Mutawif Demi Menyantuni Tetamu Allah SWT
Sumber: Harian Metro
